SI gadis membuka matanya perlahan-lahan saat tubuh kecilnya terasa dingin titisan air. Bibirnya terbelah perlahan, mencari lebih banyak oksigen supaya dirinya dapat terus bernafas. Dadanya berombak perlahan manakala jari jemarinya berusaha untuk bergerak. Setitik demi setitik air hujan jatuh menitik ke tubuhnya.
Pedih. Kesakitan yang dia tanggung sekarang sangat tidak terperi. Tubuhnya penuh dengan kesan lebam dan luka. Si gadis sedar akan darah yang mengalir di dahinya, darah segar dari kesan luka besar di kepalanya.
"Ya Allah." Si gadis memanggil nama penciptanya, berharap supaya ada sedikit kekuatan disalurkan kepadanya apabila dia meminta tolong kepada tuhannya yang Maha Esa.
Air matanya tidak henti-henti mengalir. Kekecewaan, kekesalan, kesedihan dan kemarahan yang dirasai sekarang tidak cukup untuk diluahkan dengan kata-kata, tidak dapat digambarkan dengan mana-mana lukisan dan tidak mampu diceritakan kepada siapa-siapa.
Si gadis menutup rapat kelopak matanya, cuba melupakan segala yang menyakitinya, yang membuatkan dia tidak mampu berdiri semula. Dia harus melupakan semua itu.
Ya! Dia harus lupakan segala memori itu untuk terus hidup. Dia tidak mahu terus jatuh jauh ke dalam neraka yang mereka cipta padanya. Dia tidak mahu mengalah, dia lebih layak untuk hidup dan bahagia! Dia tidak mahu hayatnya berakhir dalam keadaan yang tragik sebegini.
Hampir setengah jam berlalu, setelah si gadis percaya dirinya sudah mampu bangkit kembali, perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya dan sedia dalam posisi merangkak. Namun akibat tangannya yang penuh dengan luka berdarah, si gadis kembali jatuh tersembam.
Namun si gadis tidak berputus-asa, azamnya untuk terus hidup sangat tinggi. Oleh kerana dia tidak ada kekuatan untuk merangkak mahupun berdiri, si gadis mengesotkan tubuhnya. Mungkin dia tidak kuat untuk berlari namun dia masih ada kekuatan yang tersisa untuk mengesot. Dia benar-benar mahu terus hidup, dia perlu terus hidup.
Semoga Allah memberi kekuatan dan selalu ada berasama dirinya.
Semakin lama, si gadis sedar yang tanah semakin meninggi. Dan pada saat itu, memori si gadis kembali disembahkan pada mindanya.
"Mereka campak aku ke dalam gaung tanpa balas kasihan," tutur si gadis dalam hatinya.
Pada saat itu, hujan turun menyembah bumi, lebat dan kencang anginnya. Si gadis ditemani kelam malam yang sedingin salju. Terkapai-kapai dia dalam ribut yang melanda.
"Ya Allah, kejamnya mereka sehingga mereka sanggup menganiaya aku sebegini rupa." Hati si gadis meronta, meluahkan kekecewaannya kepada Illahi. Bibirnya dikemam rapat, esakan tangisannya terlepas jua. Dada si gadis dihimpit seribu satu rasa.
Tangan kirinya memegang erat akar pokok tunjang berdekatan manakala tangan kanannya mengenggam kuat tanah yang sudah lembik akibat hujan yang semakin lebat.
Si gadis mengerang kesakitan taktala lengan kirinya dihiris duri berdekatan namun dia gagahkan juga dirinya demi mencari bantuan di atas sana.
Si gadis masih ingat bagaimana dirinya dicampakkan ke dalam gaung di jalan raya sepi ini. Jalan sangat lengang sehinggakan hanya kereta mereka sahaja yang lalu di jalan raya tersebut.
YOU ARE READING
[COMPLETED] DERITA YANG KAU BERI.
Romance⚠️ Perlukan ketahanan mental yang tinggi. ━ #𝐇𝐄𝐑 𝐕𝐄𝐍𝐆𝐄𝐀𝐍𝐂𝐄. ❴ THE FIRST OF HER SERIES, #1 ❵ ❛ Antara kita... Siapa lebih derita?❜ 𝑬𝒍𝒗𝒊𝒏𝒂 𝑴𝒂𝒓𝒊𝒔𝒔𝒂, dia protagonist dan dia jugalah antagonist dalam suratan takdir hidupnya. Dia...