MESEJ yang timbul di skrin telefon pintar Elvina membuatkan wanita itu tersenyum girang. Telefon dicapai lalu skrin ditekan demi membuka aplikasi tersebut.
Mesej daripada Fateh itu berjaya mengundang tawa Elvina. Tidak sangka pula Fateh benar-benar sanggup menghantar gambar lelaki itu sedang di dalam tandas ofis dan membuat gaya sama seperti gambar yang Elvina muat naik di laman instagram milik wanita itu pada beberapa hari yang lepas.
Elvina tekun membalas mesej Fateh sehingga bahunya terjungkit akibat daripada bunyi telefon ofis yang sedang berdering itu.
Ganggan telefon diangkat lalu dibawa hingga ke telinga kiri. Tidak bersuara, Elvina hanya menunggu yang di sebelah sana dahulu yang memulakan bualan.
"Cik Elvina! Ada perempuan datang nak serang Cik Elvina sekarang ini juga! Pengawal keselamatan kita semua sedang tahan dia tapi dia boleh pula buat perangai dan tak mahu tinggalkan AYSA, Cik Elvina..." Sambil pembantu peribadinya itu membebel panjang, sambil itu jugalah jari-jemari Elvina lincah menekan papan kekunci Imac serta mouse pad sehingga skrin menunjukkan rakaman CCTV syarikatnya.
Warda yang sedang mengamuk itu Elvina pandang dengan senyuman sinis di bibir. Wanita itu sedang meronta-ronta minta dilepaskan namun gagal oleh kerana kegagahan pengawal peribadi syarikar Elvina.
"Cik Elvina nak saya jadikan kes polis atau..." Belum sempat Olivia, selaku pembantu peribadi Elvina menamatkan ayatnya, Elvina terlebih dahulu memotong.
"Lepaskan dia, Via." Olivia terkejut oleh kerana betapa tenangnya suara majikannya itu ketika ini.
"Baik Cik El... Tapi biar saya teman Cik-" Sekali lagi, Elvina mencantas percakapan Olivia.
"Tak perlu. You cuma perlu call Eshan dengan Emyr sahaja. Sekarang." Arahan Elvina Olivia terima dengan senang hati. Lega sikit hatinya jika Tuan Eshan dan Encik Emyr ada nanti. Kalau tidak, memang tidaklah dia mahu perempuan gila itu mengasari Cik Muda kesayangannya itu.
"Baik Cik El."
"Jangan lupa call Tuan Fateh Rayhan juga ya, Via? Terima kasih." Elvina akhiri dengan suara lemah lembut dan penuh dengan kasih sayang untuk Olivia.
Elvina letak semula ganggan telefon ke tempat asalnya lalu bangun dari kerusi empuknya. Elvina berjalan le hadapan meja lalu hujung punggungnya mendarat ke atas meja kerja lalu kedua belah tangan disilangkan ke paras dada.
Elvina hanya memandang pintu bilik ofis utamanya. Sesekali, wanita itu mengerling ke arah jam tangan berjenama PIAGET, edisi Limelight Stella Moonphase yang terletak elok di pergelangan tangannya.
Lama juga perempuan tu ambil masa untuk sampai ke biliknya. Elvina mula rasa menyampah.
Sebaik sahaja tombol pintu dikuak dari luar, Elvina memaniskan lagi senyuman. Elvina nampak kaki itu laju mendekatinya namun Elvina masih berdiri tegak dan langsung tidak gentar.
YOU ARE READING
[COMPLETED] DERITA YANG KAU BERI.
Romansa⚠️ Perlukan ketahanan mental yang tinggi. ━ #𝐇𝐄𝐑 𝐕𝐄𝐍𝐆𝐄𝐀𝐍𝐂𝐄. ❴ THE FIRST OF HER SERIES, #1 ❵ ❛ Antara kita... Siapa lebih derita?❜ 𝑬𝒍𝒗𝒊𝒏𝒂 𝑴𝒂𝒓𝒊𝒔𝒔𝒂, dia protagonist dan dia jugalah antagonist dalam suratan takdir hidupnya. Dia...