Bab 8

102 7 0
                                    

POV Sara

"Tahu tak sekarang dah pukul berapa?" Sabrina bersuara. Tajam matanya memandang Sara dan Eshan bersilih ganti. Melihat Eshan dan Sara yang datang lewat bersama-sama menambahkan lagi rasa geram di hati Sabrina.

"Pukul lima petang,"jawab Eshan. Matanya tidak memandang Sabrina, malah dia berdiri sambil kedua-dua tangannya diselukkan ke dalam saku seluarnya. Dia menayang riak wajah selamba untuk menunjukkan bahawa dia tidak peduli sama sekali dengan kemarahan Sabrina. Apa yang pasti, hatinya dah senang dan lapang lepas dapat meluangkan masa bersama dengan Sara di Zoo Negara tadi.

"Maaf, Sabrina. Aku dengan Eshan betul-betul terlupa tadi,"kata Sara. Dia memohon maaf atas kesalahan yang dilakukannya. Sesekali, dia mengerling ke arah Eshan yang masih tenang. Geram!

Tadi, Sabrina dan kawan-kawan yang lain ada telefon mereka beberapa kali. Namun, Eshan pula yang tidak membenarkan dia untuk menerima panggilan tersebut.

Memang Eshan sengaja mahu ponteng latihan kumpulan mereka. Akhirnya, Sara pun terikut sekali buat kerja tak bermoral macam ni.

Inilah dia pengaruh rakan sebaya. Tolong jangan ikut ya!

"Terlupa? Aku dengan kawan-kawan yang lain dah jenuh telefon kau dengan Eshan. Aku tahu, kau cuma penulis skrip untuk kumpulan kita. Eshan pula hanya cameo dalam persembahan kita ni. Tapi, kau dengan Eshan tak boleh la ambil mudah macam ni. Kita kena berlatih sama-sama. Baik kau jujur aje. Kau pergi mana tadi, Sara?"soal Sabrina sekali lagi.

Dia menghela nafas panjang. Bukan mudah untuk jadi ketua kumpulan. Lebih-lebih lagi, ada ahli kumpulan yang suka buat kerja secara remeh macam ni. Memang payah.

Sara mendiamkan diri. Dia tak tahu nak 'goreng' apa lagi dah. Dia hanya mengerling ke arah Eshan dan menjeling lelaki itu. Semua mamat ni punya pasal!

"Aku bawa dia pergi zoo tadi. Ada masalah ke?"ujar Eshan, tanpa sebarang rasa bersalah. Dia memandang Sara sekilas sebelum dia memandang Sabrina semula.

Memang nampak wajah Sabrina yang menjadi merah padam akibat menahan marah.

"Zoo? Buat apa dekat sana?"soal Sabrina. Nada suara Sabrina naik kepada satu oktaf lebih tinggi. Terkejut campur bingung agaknya. Berkerut-kerut dahinya memandang Eshan dengan perasaan tidak puas hati, sekaligus perasaan cemburu yang menggunung.

"Aku suruh dia teman aku tengok haiwan dekat sana. Aku minta maaf kalau aku dah timbulkan masalah pada kau dan kumpulan kita,"kata Eshan lagi. Dia mengukir senyuman pendek walaupun dia tak ikhlas untuk tujukan senyuman itu pada Sabrina. Dia mengukir senyuman itu sekadar untuk merendahkan rasa ego dan mengakui kesilapannya.

Sabrina terkedu. Ponteng latihan semata-mata untuk teman Eshan pergi zoo? Hati Sabrina semakin panas. Bagaikan api yang membara disimbah lagi dengan minyak.

Sabrina meraup wajahnya dan dia terus menuding jari telunjuknya ke arah Sara dan Eshan.

"Ini amarah terakhir aku. Kalau kau dengan Eshan ponteng lagi, aku akan laporkan pada Cik Jiha."

Sabrina terus mengambil beg galasnya dan melangkah keluar dari bilik latihan mereka. Suasana terus bertukar menjadi sunyi dan sepi. Kawan sekumpulan mereka yang lain pun sudah bersurai sebaik sahaja Sara dan Eshan tiba tadi.

Jadi, memang wajarlah kalau Sabrina naik angin.

Sara mengeluh. Kalau ayahnya dapat tahu yang dia sudah pandai memonteng kelas, memang kena kejar dengan tali pingganglah jawabnya. Kalau abangnya dapat tahu, mungkin akan jadi lebih teruk. Sikap baran ayah dan abangnya memang tak boleh dijangka. Disebabkan itulah, Sara memang tak berani nak buat kerja tak bermoral macam ni.

Aku PengantinnyaWhere stories live. Discover now