"KAU memang dah gila, Mukhriz!"
Sara memegang pergelangan tangannya. Terasa sakit selepas Mukhriz menggenggam kuat pergelangan tangan dia untuk memaksa Sara masuk ke dalam sebuah rumah teres yang tidak berpenghuni.
Tajam mata Sara mencerlung wajah Mukhriz yang sempat melukis senyuman sinis.
"Tak ada gunanya kau datang sini kalau kau nak ugut suami aku. Suami aku tu bukan calang-calang orang. Dia lelaki yang berani. Bukan macam kau. Pengecut!" ujar Sara. Nafasnya bergelora menahan amarah. Kalau sekali lagi lelaki ini menyentuhnya, memang dia buka silat!
"Aku tak tahulah apa yang kau pandang sangat pada suami kau tu. Rupa? Harta? Kalau nak dibandingkan dengan aku, suami kau tu jauh ketinggalan la. Aku jauh lebih baik. Tapi yang aku pelik, kenapa semua orang suka sangat dengan dia walaupun mulut dia macam puaka?" soal Mukhriz. Dia menghempas tubuhnya di atas sebuah sofa yang sudah usang.
"Lah, takkan kau tak sedar lagi? Perangai kau yang hauk! Walaupun mulut laki aku macam puaka, tapi hati dia baik. Bukan macam kau. Dengki dengan kawan sendiri. Hati tu busuk. Bangkai pun lebih wangi dari hati kau," balas Sara. Puas hati dia dapat kutuk Mukhriz depan-depan.
Mukhriz hanya tersenyum walaupun hati dia 'terbakar' mendengar tomahan yang dilempar oleh Sara. Memang nak kena perempuan ni.
"Lagi satu. Kalau betul suami aku tu ada skandal dengan Sabrina, aku boleh aje tinggalkan dia. Aku pun tak hamak dengan lelaki yang tak reti hargai perempuan. Lagipun, itu urusan aku. Bukan kau. Jadi, kau tak perlu susah payah sebarkan aib suami aku. Buruk macam mana pun kisah silam dia, aku akan pandang dia yang sekarang.
Aku lebih rela terima lelaki macam Eshan daripada aku terima lelaki macam kau. Hipokrit. Sakit jiwa. Siapa yang nak lelaki macam kau ni? Orang gila pun tak nak!" kata Sara lagi bersama tawa.
Memang dia puas hati sangat bila dapat lepaskan geram. Selama ni, dia pendam bakat mengutuk orang. Sekarang, dia boleh serlahkan bakat dia untuk mengata Mukhriz sepuas-puasnya!
"Dasar!" Mukhriz bingkas bangun dan terus melemparkan tamparan tepat pada pipi mulus Sara sehingga membuatkan perempuan itu terjatuh. Tidak cukup dengan tamparan, malah bahagian perut Sara pula ditendangnya untuk melepaskan geram.
"Aku benci kau dengan dia! Dua-dua mulut macam puaka! Aku sumpah, aku tak akan lepaskan kau dengan dia!" Pipi Sara pula dicengkamnya dan satu tumbukan dihayunkan pada wajah Sara.
"Ya! Memang aku gila, Sara! Aku gila disebabkan suami kau tu!"
Mukhriz bertinggung di hadapan Sara yang sudah mula kelihatan lemah dan tidak berdaya untuk melawan. Malah, air matanya juga mula deras menuruni pipi.
Mukhriz mengeluarkan telefon dan mula menekan punat merah untuk merekod segala kesan yang ditanggung Sara.
"Pandang sini." Sara dipaksa melihat ke arahnya.
"Apa yang jadi pada kau sekarang ni, kau jangan salahkan aku. Kau salahkan laki kau tu. Disebabkan mulut puaka dia dulu yang suka maki aku, kau yang tanggung akibatnya. Dia sekeluarga memang tak pandai hargai orang lain. Bapak dia pun sama aje. Dia buang mama aku macam tu aje. Kau pun boleh kena buang dari keluarga tu kalau dia orang dah tak nak kau. Ingat tu!" kata Mukhriz seraya menunjal kepala Sara dengan kasar.
"Kau cakap dengan suami kau.." Mukhriz merapatkan jarak wajahnya dengan Sara. Suara yang kuat tadi mula perlahan seolah-olah dia berbisik.
"Lain kali, jangan jadi kurang ajar. Tak pasal-pasal, orang lain yang perlu tanggung akibatnya disebabkan mulut jahat dia tu."
Mukhriz tersenyum sinis lagi.
"Aku puas, Sara. Aku puas! Kalau ikutkan hati aku, memang aku bunuh aje kau dengan dia sekaligus!"
YOU ARE READING
Aku Pengantinnya
RomanceDia memang bukan lelaki yang romantik seperti Romeo. Dia kasar dan pandangannya matanya juga dingin sedingin ais batu. Itulah dia Eshan Hadid. Namun, setelah pertemuannya dengan Sara selepas mereka bertemu dalam dua tragedi membuatkan pandangan Esha...