Bab 21

90 6 0
                                    

POV Eshan

Kaki yang dilunjurkan di atas katil hanya dipandang sepi. Sesekali, tangan kasarnya mengusap kaki kirinya. Hatinya terus dipagut rasa sayu. Fikirannya terus terimbas wajah perempuan yang disayanginya.

"Aku minta maaf, Sara,"luahnya bersama perasaan yang memberi rekahan pada hati lelakinya. Eshan kemudian melangut pandang ke atas syiling bilik tidurnya. Sudah dua hari dia pulang ke rumah selepas lebih seminggu dia bermalam di hospital.

Pelekat bintang 'glow in the dark' yang masih tertampal elok pada dinding syiling atas dipandang lama. Sendu. Sunyi. Rasa takut mula menyerang hati dia yang kini mudah rapuh.

"Masih layak ke Esh untuk Sara, mak? Esh dah tak sempurna. Sara perlukan lelaki yang boleh lindungi dia. Mampu ke Esh untuk lindungi dia dalam keadaan macam ni?"gumamnya perlahan. Mengadu seolah-olah arwah mak dia masih ada di sisi dia. Rasa sepi kian bercambah.

"Esh dah janji nak bagi dia majlis yang istimewa untuk dia. Esh dah janji nak jadikan dia puteri Esh. Dia perempuan sempurna bagi Esh, tapi Esh pula?" Eshan menundukkan kepalanya menahan sebak. Bukan ini yang dia mahukan.

Dia tahu, dia boleh sembuh sepenuhnya. Tapi, entah kenapa, semangat dia terus hilang melayang dibawa pergi selepas dia menerima khabar mengenai keadaan kaki kiri dia. Harapan yang dia tanam untuk bersama dengan Sara sebagai pelindung dan pembimbing juga menjadi samar-samar apbila dia sendiri tidak yakin dengan diri dia sendiri.

Sepatutnya, majlis akan dijalankan dalam tahun ini juga. Hujung tahun. Sempat ke dia pulihkan segalanya?

Mengenai hubungan dia dan Sara pula..

Haih! Runsing!

Sejak dia keluar dari hospital, Sara tak pernah menghantar atau membalas apa-apa mesej daripada dia. Nak jawab panggilan telefon Eshan jauh sekali.

Mesti Sara merajuk. Berjauh hati dengan Eshan selepas Eshan menghalau Sara tempoh hari. Selepas diherdik dan dihalau, siapa saja yang tak berjauh hati?

Ya Tuhan.. Apa aku dah buat ni?

"Risaukan Sara?" Suara Kak Lina menyapa halwa telinga Eshan. Dia berdiri di ambang pintu bilik Eshan. Sejak tadi, dia hanya memerhatikan adik lelakinya termenung memang pelekat bintang yang ada pada syiling atas.

"Boleh akak masuk?"soal Kak Lina. Eshan menoleh dan hanya mengangguk sebagai jawapan.

Kak Lina tersenyum seraya kakinya menapak masuk ke dalam bilik adik lelakinya. Perlahan-lahan, dia melabuhkan punggung di birai katil Eshan.

Wajah Eshan yang sugul itu hanya dipandang tanpa berkata apa-apa. Dia tahu, Eshan sedang bersusah hati. Risau sekiranya Sara benar-benar bersetuju untuk memutuskan pertunangan mereka berdua.

Bahu Eshan disentuh lembut. Bibir Kak Lina mengukir senyuman demi menyalurkan semangat untuk Eshan. Dia nampak juring mata adiknya sudah ditakungi air mata. Tunggu masa mahu tumpah saja. Nampak benar Eshan sedang bersusah-payah berperang dengan perasaan sendiri.

"Tak perlulah risaukan Sara. Kalau ada jodoh, memang Esh dan Sara akan bersatu." Kak Lina menepuk perlahan bahu Eshan.

"Esh tak nak hilang Sara,"luah Eshan. Ikhlas dari lubuk hatinya. Hampir tidak terkeluar suara dia untuk menyuarakan isi hati dia yang sebenar. Takut akan dimarahi kerana membuat keputusan yang tidak menentu.

Pendek kata, Eshan berasa rendah diri. Terasa diri sendiri bagaikan beban untuk keluarga.

Kak Lina menghela nafas perlahan. Dia faham perasaan Eshan sekarang. Adiknya sedang dilanda rasa dilema. Mahu bersama dengan kekasih hati, tapi pada masa yang sama, dia juga mahukan yang terbaik untuk si dia.

Aku PengantinnyaWhere stories live. Discover now