Bab 33

89 6 0
                                    

"SAYANG. Makan sikit ya?"

Eshan menyua satu sudu nasi ke mulut Sara. Namun, Sara hanya diam. Sejak dia sedar dari koma dua minggu lepas, Sara memang tak bercakap langsung. Dia hanya termenung memandang ke arah tingkap. Hanya sesekali dia meracau semasa tidur. Trauma dengan apa yang Mukhriz lakukan pada dia gamaknya.

Susah untuk dia terima dua benda sekaligus. Hilang anak dan hilang rahim. Otak pun tak dapat nak proses dengan baik lagi untuk terima berita semua yang menimpa dia.

"Sayang.." Eshan memanggil Sara sekali lagi. Lembut dia memanggil Sara. Sabar menanti Sara kembali menjadi Sara yang dulu. Yang selalu tersenyum untuk dia. Yang selalu berleter dan menjeling dia.

"Abang rindu."

Eshan mengukir senyuman nipis. Tangan Sara dicapai dan dikucup perlahan. Tangan ini yang dia tak akan lepaskan lagi.

"Abang rindu Sara walaupun Sara ada depan mata abang." Pipi Sara diusap dengan penuh kasih. Terbayang-bayang senyuman Sara yang dulu. Kini, senyuman itu sirna. Hilang seri dalam hidup lelaki ini.

"Abang suap ya? Sara makan nasi ni sikit. Bila dah sihat, Sara boleh keluar dari sini. Abang bawa Sara jalan-jalan. Kita pergi zoo lagi nak?" soal Eshan, cuba untuk meraih perhatian isterinya sekali lagi.

Namun, jawapannya tetap sama. Sara tetap mendiamkan diri dan pandangan yang dilemparkan ke luar tingkap bagaikan tidak berisi. Hanya sebuah pandangan kosong.

Eshan menghela nafas berat.

Nasib baiklah mamat gila tu dah kena cekup dengan polis. Kalau tak, memang aku dah lunyaikan muka dia! Bisik hati Eshan. Geram dan marah yang tidak berpenghujung.

Kalau tak puas hati sangat dengan aku, jumpalah aku. Lepaskan pada aku. Kenapa perlu lepaskan pada perempuan? Dasar pengecut! Hati Eshan mendongkol geram sekali lagi.

Telefon Eshan berbunyi mengalihkan perhatian dia. Tangannya menyeluk saku seluar dan mengeluarkan telefon yang disimpan elok di dalam saku seluarnya. Melihat nama yang tertera pada skrin telefon, dia terus menggesek punat hijau ke kanan untuk menerima panggilan masuk tersebut.

"Ya, abah?"

Sudu yang dipegangnya tadi diletak semula. Fokus berbicara dengan bapanya.

"Sara macam mana?" Di hujung talian, kedengaran suara Encik Halim yang masih risau dengan keadaan menantu perempuannya. Walaupun dah balik ke rumah, namun dia tetap tak tenang selagi Sara masih ditahan wad.

"Dia okey, abah. Cuma, macam ni la dia. Masih tak nak bercakap dengan sesiapa. Esh dah cuba pujuk, tapi dia tetap termenung." Eshan memandang Sara.

Walaupun Eshan sedang berbual mengenai Sara, Sara tetap buat tidak endah. Fikirannya kosong, bagaikan dia berada di dalam dunia dia sendiri.

"Dia ada menangis lagi?" soal Encik Halim lagi.

"Menangis tu tak ada, cuma kadang-kadang dia meracau dalam tidur. Esh risaukan dia, abah. Esh tak tahu nak buat apa. Doktor cakap, kita kena bagi dia masa untuk dia terima semua ni. Tapi, sampai bila? Esh tak tenang selagi dia tak bersuara." Eshan mengeluh. Tangan Sara diusap sekali lagi. Sesaat pun dia tak berenggang dengan isteri dia.

"Tak apa. Kita bagi dia masa dulu. Esh kena sabar. Kena kuat. Abah tahu, anak abah ni kuat."

Eshan mendiamkan diri. Matanya tidak lepas memandang wajah Sara yang masih pucat. Tiada seri langsung. Berbeza dengan wajah Sara sebelum ni.

"Oh ya, sebelum abah terlupa. Tadi, Cik Jiha ada datang rumah kita."

"Cik Jiha? Dia nak apa lagi?"

Dahi Eshan mula berkerut. Bila semua dah selesai dan Mukhriz pun dah kena cekup, ingatkan boleh la terlepas dari Cik Jiha punya gangguan. Rupa-rupanya, dia masih lagi datang berjumpa dengan abah dia.

Aku PengantinnyaWhere stories live. Discover now