ERVAN menuruni anak tangga untuk menuju ke ruang tamu. Bayang Puan Sri Edelin dicari di sekeliling ruang itu. Namun, tidak pula kelihatan. Pasti mummynya masih bersiap di bilik. Maklumlah, kaum wanita bersiap memang lama. Dia sudah lali kerana kakak dan adik perempuannya selalu menjadikan dia mangsa untuk menunggu. Bukan satu jam, tapi tiga jam.
Ervan melabuhkan duduknya di sofa kulit ruang tamu. Pagi ini mereka perlu ke butik Primrose bagi proses fitting baju-baju yang akan diperagakan ketika sesi penggambaran yang akan berlangsung minggu hadapan.
Tangan panjangnya mencapai sebuah majalah yang terletak di hujung meja. Lebih baik dia membaca sementara menunggu mummynya turun ke bawah. Membaca itukan jambatan ilmu.
'Ayana rebutan industri fesyen.'
Terpapar wajah Ayana sebagai penghias kulit pada majalah fesyen tersebut. Ervan pantas sahaja menyelak ke halaman yang berkaitan diri Ayana. Aksara yang tertulis pada setiap halaman itu dibaca penuh minat.
'Huh, rebutan ya...'
Terbit rasa tidak puas hati di lubuk hati Ervan apabila Ayana dikatakan permata yang menyinari industri modeling muslimah di Malaysia. Entah celah mana yang permata kalau kata-kata Ayana terhadap dirinya ibarat kaca yang mengguris hatinya.
"Pak Ngah tengok apa tu?" Kedengaran suara kecil menegur.
Akibat terkejut, Ervan mencampakkan majalah ke hujung meja semula. Anak buahnya yang berusia enam tahun berjalan ke arahnya dengan memegang patung beruang di tangan. Effie adalah anak lelaki kepada Elana dan satu-satunya penyeri dalam keluarga mereka.
"Eh Effie..." Tangan didepakan untuk menyambut Effie ke atas pangkuan ribanya.
"Effie terkejutkan Pak Ngah ke?"
"Sikitlah... nasib Pak Ngah tak ada sakit jantung." Ervan meletakkan tangan kanannya ke dada.
"Overlah Pak Ngah ni." Effie mencebik. Dia sudah masak dengan perangai main-main Pak Ngah kesayangannya itu.
Ervan ketawa kecil sambil mengusap pipi si cilik yang putih gebu.
"Effie dari mana ni?"
"Effie dari dapur. Effie baru lepas makan honey star. Lepas tu Effie keluar dan nampak Pak Ngah dekat sini." Jelas Effie.
Ervan tersenyum. Nasib baik Effie cuti hari ini, boleh juga dia berborak-borak dengan si cilik itu.
"Pak Ngah baca majalah apa tadi? Effie tengok Pak Ngah tak berkelip mata baca majalah tu?" Effie ingin tahu apabila pertanyaannya tadi tergantung sepi.
Erk? Senyuman Ervan terus mati.
"Oh, Effie dah tahu." Effie mencapai majalah yang dibaca oleh Ervan tadi.
"Tahu apa?"
"Pak Ngah tak berkelip mata sebab aunty dalam majalah ni cantik kan?"
"Eh, mana ada. Pak Ngah saja-saja baca aje lah." Gabra Ervan membetulkan tanggapan anak buahnya itu. Memandai pula budak kecil ini.
"Eleh Pak Ngah ni... Effie nampak Pak Ngah tengok gambar aunty ni sampai nak tembus majalah tu." Ejek Effie. "Tapi, aunty ni memang cantik. Tak hairanlah kalau Pak Ngah tengok Aunty Ayana ni lama-lama."
"Effie kenal aunty ni?" Soal Ervan apabila satu nama itu meniti di bibir Effie.
"Kenal. Effie selalu jumpa Aunty Ayana setiap kali pergi ke butik Nanny."
Ervan mengangguk faham.
"Aunty Ayana ni baik. Dia selalu belikan Effie aiskrim." Puji Effie ikhlas.
Ervan meragui kebaikan Ayana dalam hati. Baik di mata Effie, tapi tidak di matanya. Bagi Ervan, wanita itu hanya berpura-pura baik di hadapan orang lain dan taring sebenar wanita itu keluar bila di depannya.
YOU ARE READING
My Role Model [TERBIT]
RomancePertemuan yang tidak disengajakan telah mencetuskan pergaduhan di antara model muslimah terkenal dan model lelaki antarabangsa yang berdarah kacukan Scotland. Pantang berjumpa, ada sahaja usul yang hendak digaduhkan. "Apa pandang-pandang?" - Qaseh...