BUNYI air dari kolam ikan dan air terjun buatan di hadapannya langsung tidak membuatkan Ervan terganggu. Sudah hampir dua jam dia menghabiskan masanya dengan duduk sendirian di gazebo.
Dia perlu menenangkan dirinya yang sedang berperang hebat memikirkan soal dia dan Ayana. Dia sendiri tidak faham mengapa sejak pulang dari kampung, dia menginginkan gadis itu sentiasa di sisinya.
Walaupun sudah seminggu berlalu, fikirannya masih segar mengingati setiap kenangan yang berlaku antara dia dan Ayana di kampung. Segala ejekan dan gelak tawa Ayana bagai terngiang-ngiang di telinganya.
'Takkanlah dia dah jatuh cinta dengan Ayana?'
Ervan cuba menepis perasaan itu. Tidak mungkin semudah ini perasaanya kepada Ayana timbul. Dari awal dia dan Ayana tidak seteru. Mana mungkin dia jatuh cinta kepada Ayana dalam masa terdekat.
Ya, betul. Ini hanya mainan perasaan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perasaan buruk padahnya. Eh, silap, terlajak kata buruk padahnya.
"Pak Ngah..." Effie yang datang dari arah belakang menegur Ervan yang dilihat sedang bercakap sendirian. Pelik juga dia melihat bapa saudaranya sekejap menggeleng dan sekejap mengangguk.
"Errr, ya Effie?" Ervan tersentak. Dia buat-buat membetulkan duduknya.
"Effie bosanlah... boleh tak Effie nak pinjam iPad Pak Ngah?" Tunjuk Effie pada tablet yang diambil di ruang tamu tadi.
"Boleh Effie... gunalah." Ervan memberi keizinan.
"Apa password dia, Pak Ngah?"
"4Y4N4F0RLYF3."
Jari kecil Effie memasukkan angka-angka nombor yang diberitahu oleh Ervan. Skrin yang dikunci berjaya diakses oleh Effie.
"Pak Ngah..." Panggil Effie lagi. "Pak Ngah rindukan Aunty Ayana ke?"
Kepala Ervan terus ditoleh memandang Effie yang duduk di sebelah. Eh, mana budak kecil ni tahu? Effie boleh baca fikiran dia ke?
"He he he, betullah Pak Ngah rindukan Aunty Ayana kan? Sebab tu Pak Ngah tengok gambar-gambar Aunty Ayana ni." Ujar Effie dalam nada usikan.
Gelabah Ervan cuba mengambil tablet dari tangan Effie semula. Aduh, macam mana boleh terkantoi dia membuka tab skrin media sosial milik Ayana.
"Ish, mengarutlah kamu ni Effie." Ervan buat-buat marah bagi menutup rasa malunya.
"Eleh... mengaku ajelah Pak Ngah..."
"Mengaku apa?"
"Mengaku yang Pak Ngah rindukan Aunty Ayana." Sengih Effie seperti kerang busuk. "Tapi kan Pak Ngah... Effie pun rindukan Aunty Ayana... Effie teringinlah nak jumpa Aunty Ayana lagi..."
"Aunty Ayana busylah..."
"Alaaa, Pak Ngah cubalah tanya Aunty Ayana dulu. Manalah tahu, Aunty Ayana nak jumpa kita juga."
Tangan Ervan sudah naik garu kepala yang tidak gatal. Parah ni, bagaimana dia ingin berhubung dengan Ayana memandangkan dia tiada nombor telefon Ayana dalam simpanan. Takkan dia nak direct message di media sosial Ayana?
"Yaaa, nanti Pak Ngah tanya Aunty Ayana ya?"
"Yeayyyy! Pak Ngah janji tau?"
"Ya... ya... Pak Ngah janji. Dah, Effie pergi masuk dalam rumah dulu." Arah Ervan sebelum Effie membuat permintaan yang bukan-bukan lagi. Permintaan yang satu ini pun belum tentu dia dapat tunaikan.
Ervan melepaskan keluhan setelah bayangan Effie mulai hilang di sebalik teratak keluarganya. Akal ligat membuat kira-kira bagaimana cara untuk menjayakan permintaan si cilik Effie tetapi dia buntu. Hmmm, apa perlu dia buat ya?
YOU ARE READING
My Role Model [TERBIT]
RomancePertemuan yang tidak disengajakan telah mencetuskan pergaduhan di antara model muslimah terkenal dan model lelaki antarabangsa yang berdarah kacukan Scotland. Pantang berjumpa, ada sahaja usul yang hendak digaduhkan. "Apa pandang-pandang?" - Qaseh...