BAB 9

18.3K 801 5
                                    

AYANA mengatur langkah turun ke lobi hotel setelah selesai bersiap untuk menghadiri acara festival yang diadakan tidak jauh dari hotel penginapan. Dia hanya bersiap ala kadar dengan mengenakan blouse ropol putih di kedua bahagian tangan dan tudung chiffon warna merah jambu lembut dipadankan dengan seluar slack hitam.

Wajah pula dikenakan solekan nipis sahaja. Tidak terlalu tebal, cukuplah wajahnya kelihatan berseri untuk bertemu dengan peminat nanti. Dia sedikit kurang bersemangat kerana masih menanggung kesakitan di bawah perutnya. Semalaman dia tidak dapat tidur lena gara-gara kekejangan yang dirasai di bahagian pinggang dan kaki.

"Apesal lambat? Tak reti tengok jam dah pukul berapa ni?" Tegur Ervan yang sedang menunggu di ruang legar hotel.

Seawal pagi Ayana sudah membuat darahnya naik apabila dia harus menunggu wanita itu selama setengah jam. Pun begitu, dia tetap menunggu memandangkan tanggungjawab yang digalas di sini adalah untuk menjaga Ayana. Risau jika dia bergerak tanpa Ayana akan diketahui oleh Puan Sri Edelin.

"Maaf..." Sepatah Ayana mengungkapkan kata maaf. Dia tidak berdaya untuk membidas kata-kata Ervan hari ini. Tenaganya habis digunakan untuk menahan kesakitan yang dia rasakan.

Terkedu Ervan apabila Ayana beralah tanpa melawan. Selalunya, ada sahaja balasan demi balasan yang akan keluar dari bibir mungil itu.

Ervan memerhati keadaan Ayana yang kurang bersemangat, tidak seperti kebiasaannya. Malah, wajah Ayana turut ditenung lama sebelum dia perasan akan sesuatu.

"Kau pehal lembik semacam ni? Takkan dah menopause?" Laser mulut Ervan bertanya.

Ayana menarik nafas, cuba mencari secarik kesabaran dari berbalah dengan Ervan yang suka bercakap lepas. Tiada tapis-tapis langsung.

"Tak ada apa-apa. I'm good." Balas Ayana cuba menyorokkan kesakitan yang ditanggung.

Kalau dia beritahu pun, belum tentu Ervan akan memahami keadaannya. Buktinya, belum sempat dia memberitahu, lelaki itu terlebih dahulu menyanggah keadaannya. Sesedap mulut lelaki itu jer tuduh dia menopause. Jahat mulut...

"Dah, jomlah kita gerak. Nanti lambat pula..." Ayana mengorak langkah meninggalkan Ervan. Malas dia mahu bersoal jawab dengan lelaki itu lama-lama.


***


BUNYI seretan tayar Audi R8 Spyder berwarna hitam yang bergema di perkarangan festival menarik perhatian orang ramai untuk menyambut ketibaan pasangan model yang jelita
dan kacak itu.

Ervan dan Ayana bersama-sama keluar dari kereta. Mereka diiring masuk oleh pasukan keselamatan untuk ke tapak reruai yang menempatkan reruai Primrose dipasang. Para peminat yang sedari tadi menunggu mereka terus menyerbu dan menjerit-jerit memanggil nama mereka untuk diajak bergambar.

Koleksi baru Primrose pula hampir habis dijual dek penangan mereka berdua. Tidak lekang senyuman di bibir Ayana dan Ervan melayani peminat-peminat, ada yang berjam-jam menunggu mereka dan ada juga yang datang dari jauh. Hebat sungguh pengaruh mereka sehingga peminat-peminat merestui hubungan mereka andai mereka bercinta.

"Hai Ayana... you look gorgeous today." Seorang model lelaki berdarah Uzbekistan menghampiri Ayana.

Ayana melemparkan senyuman kecil sebagai tanda dia berbudi dan tidak mahu dicop sombong oleh model-model lelaki memandangkan pergaulan Ayana dengan model berlainan jantina sangat terbatas.

"Busy betul you ni, sampai tak nak pandang I pun."

"Ha'ah, tahu tak apa. Saya memang busy ni, kesian peminat beratur depan booth tu. Jadi saya perlu layan peminat dulu. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Tanya Ayana tanpa menoleh kepada model lelaki yang dikenali sebagai Zubayr.

My Role Model [TERBIT]Where stories live. Discover now