Sebelum baca

2.9K 58 0
                                    

Hi, sebelum baca nak beritahu siap-siap yang cerita ni dah edit. Typo tu kalau ada juga, minta maaf sangat, tapi apapun terima kasih kalau sudi baca.

✨✨✨✨✨✨

Prolog

2006,

Awan bergulung hitam, berarak mendung dari utara, seperti memberi isyarat hujan akan menyiram dengan lebat tidak lama lagi. Angin dingin mula membelai dedaun pokok, bermula dengan lembut namun lama-kelamaan menggoncang hebat. Jelas di pelupuk pendengaran angin kuat yang datang dari pelbagai arah tanpa tujuan yang tepat.

Belum sempat batang pokok yang beralun kembali tegak, butiran hujan mula gugur, sedikit renyai lantas memutih di pandangan. Guruh serta kilat  berdentum memukul dada langit yang tidak lagi berwarna biru.

Mama……Mama……Ma…Maaaa

Datin Seri Zaitun tersentak daripada lena di atas hamparan sejadah. Dirinya juga masih bertelekung putih, tak sedar dibuai mimpi setelah selesai solat asar beberapa jam yang lepas.

“Allah…..” Datin Seri Zaitun bangun lalu menapak ke arah pintu beranda yang terbuka luas. Tempias air hujan terkena muka tatkala tangannya terkial-kial menolak langsir yang beralun.

Ketika itu juga, matanya terpandang kelibat seorang kanak-kanak perempuan yang berdiri di hadapan pintu pagar rumah banglonya.

“Luna Tihani! Luna!”

Datin Seri Zaitun berlari anak meninggalkan bilik tidurnya sehingga ke ruang tamu rumah. Pintu berwarna coklat ditarik lantas butang hijau yang melekat di dinding ditekan. Di dalam hujan yang lebat, wanita itu berkaki ayam, berlari tanpa payung ke arah sosok yang sangat dikenali.

“Nenek,,,,” rintih Luna dalam tangisan. Bahunya turun dan naik menahan sendu yang berlagu.

“Luna, kenapa Luna berdiri di sini?” Datin Seri Zaitun melutut di hadapan Luna. Kepala Luna diusap penuh kasih sayang.

“Mama,,,,,, Luna tunggu mama...” jawab Luna perlahan

Datin Seri Zaitun mula tidak sedap hati. Dia perasan satu beg besar berwarna hitam di belakang Luna.

“Jom masuk!” Tanpa berlengah Datin Seri Zaitun memimpin tangan Luna. Beg hitam yang disangka milik Luna juga diambil. Lencun mereka berdua disiram air hujan yang dingin.

“Luna duduk sini, nenek ambilkan tuala untuk Luna. Tunggu,” arah Datin Seri Zaitun. Dia menanggalkan telekung yang basah untuk memudahkan pergerakan.

Luna pula hanya menurut. Tubuhnya mula menggeletar kerana kedinginan. Luna menggosok bahu dengan harapan badannya akan sedikit hangat. Luna memalingkan muka, memandang ke arah pagar besi yang tertutup rapat.

“Mama…….” Kolam air mata Luna pecah lagi. Takut! Itulah yang dirasakan sekarang. Sepertinya, semua telah berakhir, kebahagiaan yang dikecapi ini telah hilang begitu sahaja, seperti hujan yang telah pun reda di luar sana.

“Luna, jangan menangis lagi. Nenek ada di sini.” Datin Seri Zaitun yang datang membawa sehelai tuala memeluk Luna buat seketika. Tubuh Luna yang basah dibaluti dengan tuala putih. Air mata di mata diseka dengan hujung jari.

“Luna, boleh beritahu nenek kenapa Luna boleh ada di luar. Mama? Mana mama Luna? Luna tunggu mama?” soal Datin Seri Zaitun. Dia keliru dengan situasi yang berlaku. Padahal baru pagi tadi, Puan Fatin meminta izin untuk mengambil cuti beberapa hari dengan alasan untuk membawa Luna bercuti di kampung.

“Luna jalan dengan mama, nak pergi stesen bas. Tapi tadi mama kata mama tertinggal barang di rumah. Mama suruh Luna tunggu. Dah lama, mama tak datang pun nenek,” cerita Luna. Bahu Datin Seri Zaitun disentuh perlahan. Petah Luna yang baru menginjak usia sepuluh tahun bercakap.

“Macam itu rupanya. Tak apa, Luna tunggu mama di sini, nenek temankan Luna. Mungkin mama ada hal di rumah, nanti mama mesti datang cari Luna di sini.”

“Mama sayangkan Luna, tak mungkin dia tinggalkan Luna. Boleh Luna tunggu? Jangan menangis lagi, sayang.” Bibir Datin Seri Zaitun menguntum senyum. Rambut panjang Luna yang basah disikat dengan jari.

“Betul nenek?” Luna memohon kepastian.

“Nenek tak pernah tipu Luna kan?” soal Datin Seri Zaitun dibalas dengan gelengan laju oleh Luna.

Datin Seri Zaitun menghela nafas kelegaan tatkala melihat Luna mengangguk akur. Pelukan hangat Luna dibalas dengan penuh kasih sayang. Luna Tihani sudah dianggap seperti cucunya sendiri, dia ikhlas menyayangi anak yatim itu.

Namun, jauh di sudut hati wanita itu, masih ada rasa risau yang bermukim. Gilirannya pula melihat ke luar, mana tahu muncul sosok Puan Fatin untuk mengambil Luna. Tak mungkin seorang ibu sanggup meninggalkan anaknya begitu sahaja.

In Your Time - Complete ✅Where stories live. Discover now