Bab 37

709 20 0
                                    

Badan Luna terasa sangat pedih, setiap inci terasa berat, seperti ada batu besar yang menghempap ke atas badan. Walaupun berat, Luna gagahkan juga membuka kelopak mata yang terasa di gam.

“Hafiz….” Luna melihat Hafiz tertidur berlapikkan lengan. Badan lelaki itu membongkok, tentu pinggang Hafiz lenguh jika satu malam Hafiz tidur dalam posisi tidak selesa begitu.

“Abang…..” Luna mengusap kepala suaminya.

“Sayang dah bangun….” Melihat bibir pucat Luna yang menguntum senyuman, Hafiz sedikit lega. Semalaman dia berada di situ, namun Luna langsung tidak menyedari kehadirannya.

“Sayang okay? Ada rasa sakit di mana-mana tak? Nak abang panggilkan doktor?” soal Hafiz bertalu-talu. Dia membetulkan selimut yang melorot jatuh daripada dada Luna.

Luna menggeleng lemah. “Satu badan sakit. Luna penat,” adu Luna. Dia juga tak ada keupayaan untuk berpura-pura kuat.

Hafiz membawa tangan Luna ke dalam genggaman. “Sabar sayang, kalau abang boleh gantikan tempat sayang, abang sanggup. Abang sanggup menelan segala kesakitan asalkan sayang tak perlu berada di sini.”

“Luna masih boleh bertahan, abang doakan Luna,” luah Luna lalu membalas pegangan erat Hafiz.

“Abang, nanti boleh tak nanti kalau abang ada masa, ajar Luna mengaji dan solat. Untuk solat, Luna tahu tapi risau takut ada pergerakan yang tak betul. Dah lama juga Luna tak buka al-quran. Kesian abang, dapat isteri yang tak berpengetahuan agama seperti Luna. Maafkan Luna, abang.” Luna merendah diri. Dia segan dengan diri sendiri setiap kali melihat Hafiz solat. Telah lama dia berniat untuk meminta bantuan daripada Hafiz namun tidak terluah.

“Sayang, tak perlu minta maaf daripada abang. Usai abang lafazkan akad ke atas Luna, abang terima kekurangan melebihi kelebihan sayang. Buat abang, sayang ialah anugerah yang terindah untuk lelaki seperti abang yang pernah memandang dunia tanpa perasaan cinta.” Hafiz meletakkan tangan Luna di pipinya.

“Kita belajar sama-sama. Abang bimbing sayang dan pada waktu yang sama, abang turut belajar untuk perbaiki diri abang ke arah yang lebih baik. Nanti abang belikan telekung yang baru buat Luna, ya sayang,” sambung Hafiz lagi lantats mengucup tapak tangan isterinya itu.

“Terima kasih abang. Tak sabar nak jadi makmum abang bila solat.” Luna tersenyum bahagia. Begitu indah sebuah perkahwinan untuknya bersama suami seperti Hafiz. Tuhan itu Maha Baik. Fikir Luna, dia ialah pendosa namun Allah masih menghadirkan Hafiz, lelaki yang sempurna di dalam kisah hidupnya.

“Abang baliklah berehat, nanti nak pergi kerja lagi. Hari ini Cindai pun akan datang temankan Luna,” ujar Luna. Dia tidak mahu kesihatan Hafiz terjejas kerananya. Dia berkongsi Hafiz dengan negara jadi dia tak boleh tamak. Tanggungjawab Hafiz sebagai anggota polis tidak boleh dipandang mudah.

“Bila Cindai dah sampai, baru abang balik. Tak sampai hati nak tinggalkan sayang sendirian. Takut juga kalau Cindai datang lambat,” tolak Hafiz. Dia risau sekiranya Luna perlukan sesuatu namun tiada siapa yang dapat tolong. Nak berjalan ke tandas pun Luna perlu dipimpin.

“Cindai sampai, abang dah lambat pergi kerja. Nanti semua terkejar, nak mandi, nak sarapan lagi. Abang balik sekarang, Luna okay. Nurse pun ada, sekali Luna jerit, mesti ada yang akan datang sini,” jawab Luna tetap bertegas. Dia menyakinkan Hafiz bahawa dia tidak kisah bersendirian buat seketika.

“Sayang pasti?” Hafiz masih ragu-ragu.

“Ya!”

“Betul, tak tipu?”

“Tak tipu!” Luna mengangkat tangan.

“Kalau itu yang sayang mahu, abang dah tak ada alasan. Malam nanti, abang datang lagi. Sayang jaga diri baik-baik, dengar nasihat doktor dan yang paling penting, kalau ada apa-apa, telefon abang,” pesan Hafiz panjang. Dia mengucup dahi Luna yang dingin.

In Your Time - Complete ✅Where stories live. Discover now