Di dalam tandas, Luna menyimbah air dingin ke muka. Luna meneliti wajahnya, hanya mata yang masih merah. Luna keluar tanpa mengelap air di muka dengan tuala.
“Aku dah balik. Aku ada belikan nasi ayam, kuih talam, karipap dengan milo ais untuk kau. Jemput makan,” ajak Cindai.
Apabila melihat makanan, Luna kembali ceria. Dia merasa sebiji karipap, sangat sedap sehingga dia dibuai asyik. Setelah itu, Luna menikmati nasi ayam pula.
Cindai pula hanya melihat Luna menjamin selera. Dia telah makan sebelum datang ke hospital.
“Luna, aku rasa kita kena buat laporan polis dengan segera,” ujar Cindai dengan berat.
Luna melihat Cindai dengan mulut penuh. Tak mungkin Cindai tahu tentang kejadian yang berlaku tadi. Atau ada orang yang merekod amukannya dan dimuat naik di media sosial?
“Aku jumpa bunga di depan pintu. Pengirimnya ialah hati merah. Aku terus buang dalam tong sampah,” jelas Cindai. Dia menunggu reaksi daripada Luna.
“Tak payahlah. Selagi dia tak kacau hidup aku, aku malas nak ambil peduli,” balas Luna. Sejak dia mula terjun ke dalam dunia glamour, kerap kali dia menerima jambangan bunga daripada peminat rahsia itu.
“Kalau dia obses dengan aku sekali pun, aku tak boleh nak buat apa. Soalnya itu di luar kawalan aku.”
“Tak kacau apanya!” Cindai tidak bersetuju dengan keputusan Luna.
Luna meneguk rakus air milo, dia hampir tercekik tulang ayam. “Maksud aku, selagi dia tak ancam nyawa dan keselamatan aku.”
“Kali ini aku akan lepaskan dia. Kalau perkara macam ini berulang lagi, aku takkan minta persetujuan kau untuk buat laporan. Faham! Dah lama sangat Luna, aku takut dia makin besar kepala. Memanglah sekarang dia tak berani, masa hadapan nanti,” tegas Cindai. Dia tidak mahu memperjudikan nyawa Luna. Jangan di uay main dengan peminat yang obses.
“Baik! Selepas ini, pasal dia, suka hati kau nak buat apa. Kau lebih tahu apa yang terbaik.” Luna memberi tabik hormat kepada Cindai.
“Aku nak rasa nasi ayam sikit,” ujar Cindai. Belum sempat Luna memberi keizinan, Cindai menarik bungkusan nasi ke arahnya. Tiba-tiba, dia terliur melihat Luna yang sangat berselera.
“Makanlah, banyak sangat nasi yang kau beli.”
“Cindai…..”
“Hmmmm”
“Sebelum ini, kau pernah beritahu yang ada seorang pelukis di galeri mengaku sebagai peminat aku. Kau ingat lagi tak nama dia?” tanya Luna.
“Kalau tak salah, Hanim. Aku ingat dia sebab dia pernah lukis potret wajah kau. Cantik sangat,” ujar Cindai.
Luna mengangguk faham. Jadi, Hanim begitu dekat dengannya tanpa disedari. Luna tak sangka peminat yang pernah diceritakan oleh Cindai ialah Hanim. Apabila ditegur oleh Hanim tadi, fikiran Luna teringat kembali.
“Cindai, aku nak balik rumah hari ini….”
“Kau pasti?”
“Kau tak nampak cara aku makan tadi? Dah macam orang kebuluran. Kalau aku terus berlama di sini, boleh kurus keding badan aku.”
“Aku nak balik, beritahu doktor. Aku tak kira!” Luna seakan memaksa Cindai.
Luna merebahkan badan di atas katil lantas selimut ditarik sehingga menutupi kepala. Luna memejamkan mata, dia ingin tidur dan melupakan segala yang telah berlaku.
“Luna, mana selipar kau?”
Soalan Cindai mengejutkan Luna. Dia mengintai Cindai melalui selimut. “Tak tahu! Mungkin cleaner terambil waktu aku dalam tandas.”
YOU ARE READING
In Your Time - Complete ✅
RomanceLuna Tihani - Seorang pelakon terkenal dan berpengaruh di Malaysia. Walaupun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu yang secara tiba-tiba menghilang, Luna tumbuh menjadi seorang yang berjaya. Rupanya seindah nama, bakatnya tidak boleh dipandang ren...