Datin Seri Zaitun mengambil tempat di atas sofa, berhadapan dengan Zamri yang sedang bersandar. Mata wanita itu mencerlung memandang Zamri, kecewa dengan lagak dan layanan Zamri kepada Luna. Terlintas di fikiran bahawa dia gagal mendidik Zamri untuk menjadi manusia yang mengerti erti belas kasihan kepada orang yang memerlukan, seperti Luna.
“Mama janganlah pandang saya macam itu. Saya tak buat apa-apa pun.” Zamri membetulkan duduknya.
“Kenapa datang sini? Tak pernah kamu datang awal pagi, kena sampuk?” selamba Datin Seri Zaitun menerjah Zamri.
“Ishhh, sampuk apanya,” laju Zamri menidakkan.
“Zamri nak pergi airport, kebetulan lalu kawasan sini, singgahlah sekejap jenguk mama. Bolehlah kita sarapan sama-sama. Tak salahkan?”
“Patutlah! Kalau tak kebetulan, memang tak muncullah kamu di sini kan? Kamu ingat tak bila kali terakhir kamu jenguk mama? Lima bulan yang lepas, Zamri. Padahal rumah kamu ke sini bukan jauh pun, paling lama satu jam. Bini dan anak kamu lagilah. Setiap kali mama telefon, suruh datang, ada sahaja alasan. Macam-macam!” Datin Seri Zaitun meluahkan rasa kecewanya. Sejak Zamri berumah tangga dan keluar daripada rumah, Datin Seri Zaitun ditinggalkan sendirian. Ingatkan akan selalu dijenguk oleh anak menantu, bertanya khabar, namun hampa.
“Fazni sibuk sekarang uruskan butik. Faiz pula di asrama, hujung minggu baru ada di rumah. Lagipun, sejak budak perempuan itu ada di sini, kami sekeluarga banyak makan hati. Mama terlalu manjakan dia, utamakan dia lebih daripada darah daging mama sendiri. Mama sahaja yang tak sedar!” luah Zamri tanda protes, tidak puas hati dengan cara layanan Datin Seri Zaitun.
“Luna! Budak perempuan yang kamu hina itu bernama Luna. Luna Tihani!” Datin Seri Zaitun mengingatkan Zamri.
“Lantaklah mama apa pun nama dia, Zamri tak nak ambil tahu. Apa yang Zamri tahu, dia dah rampas kasih sayang mama daripada Zamri, Fazni dan yang paling penting, cucu mama, Faiz.” Zamri masih mahu berperang mulut berkenaan Luna.
Datin Seri Zaitun mengeluh lemah. Susah untuk bercakap dengan orang yang selalu berfikir dirinya sahaja yang paling betul.
“Mama tak nyanyuk lagi, Zamri. Mama tahu siapa darah daging mama. Namun sekarang, bukan soal hubungan darah tapi tanggungjawab. Fatin pernah bekerja di sini dan Luna bukan orang asing kepada mama. Berapa kali mama jelaskan kepada kamu yang mama sayang Luna seperti cucu mama sendiri.”
“Berkenaan layanan mama, tak pernah terbahagi dua. Hanya kamu yang salah faham. Mama tak pernah bermaksud nak abaikan kamu sekeluarga. Tolonglah faham keadaan mama,” jelas Datin Seri Zaitun panjang lebar.
“Sampai bila mama nak biarkan dia tinggal di sini? Atau mama nak tunggu sehingga dia tikam belakang mama? Dia kikis duit mama dan halau mama? Begitu?” Zamri masih dengan firasat jahatnya.
“Zamri!” suara Datin Seri Zaitun meninggi.
“Sampai macam tahap itu kamu fikir? Apa dosa Luna kepada kamu? Dia tak pernah buat apa-apa kan? Tolonglah buang rasa curiga, pandangan buruk daripada fikiran kamu. Kenapa? Kamu ingat semua orang dalam dunia ini pentingkan duit semata-mata?” Tahap kesabaran Datin Seri Zaitun semakin menipis.
“Kalau Luna tinggal selamanya di sini pun mama tak kisah!”
“Mama!” Zamri berdiri tegak, seperti harimau yang ingin menerkam mangsanya.
“Kalau kamu nak tahu, sejak Luna hadir dalam hidup mama, mama dah tak pernah rasa sunyi. Hidup mama semakin ceria. Setiap hari, mama pulang dari pejabat, ada orang yang sambut mama. Sebelum mama tidur, ada orang yang akan teman mama berbual. Mama bahagia sangat, Zamri.” Itulah hakikatnya. Luna seperti cahaya bulan yang datang menerangi kegelapan malam yang dilalui wanita itu.
YOU ARE READING
In Your Time - Complete ✅
RomanceLuna Tihani - Seorang pelakon terkenal dan berpengaruh di Malaysia. Walaupun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu yang secara tiba-tiba menghilang, Luna tumbuh menjadi seorang yang berjaya. Rupanya seindah nama, bakatnya tidak boleh dipandang ren...