Bab 23

611 26 0
                                    

Hafiz mendirikan khemah di halaman rumah. Bantal dan selimut yang dari awal diletakkan di tangga dimasukkan ke dalam khemah yang bersaiz sederhana itu. Hafiz duduk melunjur, angin malam  kuat menyentuh muka. Bunyi cengkerik yang bersembunyi di sebalik kehijauan daun menghidupkan suasana malam. Langit malam terang dengan cahaya bintang menandakan cuaca akan baik tanpa hujan hingga pagi.

“Hafiz, bila balik?”

Hafiz mendongakkan kepala memandang Luna yang duduk di jendela. “Baru sampai.”

“Dah makan belum?” soal Luna lagi prihatin. Dia menikmati makan malam sendirian memandangkan tadi, Hafiz berjemaah di masjid dari fardhu maghrib ke isyak.

“Mestilah, aku makan di masjid tadi. Ada orang sedekah makanan untuk solat hajat.” Setelah pulang dari gerai dengan makanan buat Luna, Hafiz tak sempat untuk makan kerana perlu membersihkan diri sebelum azan maghrib berkumandang.

“Kau yakin nak tidur dalam khemah? Kenapa tak tidur dalam kereta?” Luna berpaut pada palang jendela, mengintai Hafiz melalui celah pegangan itu.

“Khemah lagi selesa daripada kereta. Kau jangan nak komen melebih, sepatutnya kau yang tidur dalam khemah, bukan aku!” Hafiz memuncung.

“Berkorbanlah sikit untuk aku. Bukan hari-hari pun. Kata polis, mesti kau dah biasa tidur bersepah kan?” Luna memeluk tubuh.

“Hafiz……..” Mata Luna dialihkan daripada wajah Hafiz.

“Apa?”

“Kenapa kau simpan potret muka aku. Maksud aku, daripada timbunan karya arwah, kenapa lukisan itu, bukan lain?”

Hafiz mendiamkan diri buat seketika. Dia terlupa tentang lukisan itu sebelum membenarkan Luna memasuki rumah.

“Itu lukisan pertama daripada arwah. Disebabkan lukisan itu juga, arwah dapat bekerja di Sutera Putih, tempat yang dia impikan selama ini. Arwah Hanim selalu kata yang lukisan itu selalu memberi keuntungan kepada dia. Lukisan itu sangat berharga buat dia, jadi aku nak jaga. Aku rasa itu yang terbaik daripada tergantung di galeri. Boleh juga aku ubati rindu,” tutur Hafiz. Nasib baik pengurus di galeri memberi keizinan kepadanya untuk mengambil kembali lukisan itu.

“Untuk pengetahuan kau, aku tak pernah tahu yang akak bekerja dengan nenek. Bila aku jumpa dia di hospital, barulah aku tahu yang selama ini dia ada dekat dengan aku, mengagumi aku daripada jauh.” Kalaulah dia dapat tahu lebih awal, mesti dia dapat bersama Hanim lebih masa sedikit.

“Oh kejadian di hospital sewaktu kau mengamuk macam orang gila, aku ingat lagi,” lontar Hafiz sengaja mengacau Luna.

“Hafiz! Aku bukan gila, haritu aku mengamuk sebab mulut manusia yang lancang mencaci orang lain. Aku tak tahu yang aku boleh naik angin sampai macam itu sekali.” Luna lega kerana perkara itu tidak menjejaskan namanya.

“Semasa kami jumpa di rumah anak yatim, dia selalu cerita tentang kau. Seorang kawan yang sangat dia sayang dan sulit untuk ditinggalkan. Aku tak pernah sangka kawan yang dia maksudkan selama ini ialah kau. Bukan apa, aku rasa kau bukan seperti apa yang dia ceritakan.”

“Kau nak kutuk aku kan?” Luna tidak berpuas hati. Hafiz sengaja mencari pasal

“Kau yang terasa, aku tak cakap apa-apa, “ dalih Hafiz. Apabila mengenali Luna, sekarang dia mengerti mengapa Hanim menyayangi Luna. Luna tidaklah seburuk yang dia sangka.

Suasana kembali sunyi antara mereka berdua. Luna mengamati langit malam manakala Hafiz berperang dengan nyamuk yang terbang di sekeliling telinga.

“Luna, pergilah tidur. Aku pun nak zip khemah, nyamuk banyak sangat.” Hafiz menepuk udara kerana melihat nyamuk terbang namun apabila tangan dibuka, tiada yang terkena.

In Your Time - Complete ✅Where stories live. Discover now