Sebaik sahaja tiba di balas polis, Faiz terus diiring ke bilik soal siasat manakala Luna serta Cindai menunggu di ruang yang disediakan. Di dalam bilik soal siasat, Hafiz sudah menanti ketibaan Faiz bersama Nazrin.
“Aku rasa aku pernah nampak kau. Kau tunang arwah Hanim bukan?” Faiz terus bersuara usai melihat wajah Hafiz. Ternyata ingatannya tajam, dia pernah melihat Hafiz bersama Hanim di galeri.
“Itu tak ada kaitan dengan kau. Kau tahu kenapa kau ada di sini?” Hafiz melihat Faiz yang telah berubah menjadi orang lain. Melihat raut wajah Faiz yang bengis, Hafiz menerima aura gelap daripada lelaki itu.
“Aku dengar kau cakap aku pembunuh sebenar arwah Datin Seri Zaitun. Kau tahu kan aku siapa? Aku cucu arwah, takkan tergamak seorang cucu nak tamatkan riwayat hidup nenek sendiri.” Faiz masih berlagak walaupun kedua-dua belah tangannya bergari besi.
“Aku bukan jenis yang cakap kosong macam kau!” herdik Hafiz.
Nazrin meletakkan gambar lelaki yang ditangkap tempoh hari. Dia mahu menguji kejujuran Faiz. “Kau kenal siapa dia?”
Faiz menggeleng. “Siapa? Aku tak pernah jumpa dia.”
“Kau jangan tipu aku!” Nazrin menepuk meja. Faiz masih beriak tenang.
Nazrin melemparkan beberapa helaian kertas yang mencatatkan rekod transaksi wang dan juga mesej daripada Faiz kepada tahanan. “Kalau kau tak kenal, habis itu ini apa? Aku tahu kau berpendidikan tinggi sehingga belajar di luar negara, aku yakin kau tahu baca dan faham apa yang ditulis.”
“Kenapa kau bagi duit kepada dia?”
“Dia buat kerja untuk aku, aku kena bayar. Itu sahaja.” Faiz masih berselindung.
“Kiranya dia salah seorang pekerja kau? Kenapa kau bayar gaji melalui akaun peribadi kau. Dia buat apa untuk kau? Setahu aku, budak ini buat kerja haram. Dia jual video perempuan di dalam website gelap.” Nazrin mengetuk meja. Hafiz berpeluk tubuh, belum tiba masanya untuk bersuara.
Faiz menelan air liur yang tersekat di kerongkong. Pihak polis telah mengetahui latar belakang lelaki itu. “Aku langsung tak tahu apa yang dia buat. Itu bukan urusan aku. Aku hanya suruh dia baiki CCTV rumah aku, itu sahaja.”
“Kiranya setiap bulan CCTV rumah kau rosak? Yelah, setiap bulan kau bayar dia,” tempelak Nazrin.
“Dia pernah membesar di rumah anak yatim Sutera Putih. Dia banyak kali datang kepada aku untuk minta duit. Dia ugut aku kata akan sebarkan video kes buli yang berlaku di rumah anak yatim kalau aku tak bagi duit. Aku terpaksa untuk tutup apa yang berlaku. Jika video itu tersebar, nama baik keluarga aku akan terjejas.” Faiz memberi penjelasan yang diterima oleh Nazrin.
“Faiz…..” Giliran Hafiz untuk bertanya.
“Malam di mana arwah Datin Seri Zaitun dibunuh, kau ada di mana? Seingat aku, kau beritahu kami yang kau ada di rumah kau sendiri, bukan rumah orang tua kau, betul?” Hafiz masih tenang. Tangannya ligat bermain dengan mata pena.
“Malam itu, aku tidur di rumah orang tua aku.” Faiz menidakkan.
“Aku dengar kau dah jual kondo kau di Bangsar. Boleh aku tahu kenapa?”
“Sebab aku dah tak suka rumah itu. Aku pun dah lama tak tinggal di situ, jadi aku jual. Tak salah kan?” Faiz menyelesaikan urusan jual beli rumah itu melalui jalan yang betul, bukan daripada belakang.
“Orang yang beli rumah kau datang buat laporan. Dia kata ada tompokan darah yang kering di bahagian bucu almari, belah dalam. Aku hantar sample ke makmal, memang darah. Kau tahu darah siapa? Darah…..Datin Seri Zaitun…..”
YOU ARE READING
In Your Time - Complete ✅
RomanceLuna Tihani - Seorang pelakon terkenal dan berpengaruh di Malaysia. Walaupun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu yang secara tiba-tiba menghilang, Luna tumbuh menjadi seorang yang berjaya. Rupanya seindah nama, bakatnya tidak boleh dipandang ren...