Luna bersandar lesu di ruang menunggu sementara Cindai ke tandas. Hari yang sangat panjang untuknya. Dia mahu segera pulang ke rumah dan berehat.
“Nah, minum.” Hafiz menyerahkan sebotol air mineral kepada Luna.
Luna mendongak memandang Hafiz. Huluran Hafiz disambut perlahan. “Terima kasih.”
“Sejak bila kau kerja di sini lagi?” Luna membuka penutup botol. Minuman yang dingin itu diteguk untuk basahkan tekak.
“Tak adalah, aku datang sini semata-mata nak selesaikan kes Datin Seri Zaitun. Malam nanti, aku balik ke Kedah lagi. Aku ada juga buat permohonan untuk kembali ke sini, tak tahu dapat atau tak. Harapnya, ada rezeki,” cerita Hafiz. Dia mengambil tempat di sebelah Luna.
“Kiranya, dah berminat balik untuk kerja siang dan malam?” Luna mengerling Hafiz di sebelah.
“Salah satu sebab.”
“Luna, sekarang semuanya dah berakhir untuk kau. Aku harap kau tenang, kita dah dapat tangkap pembunuh sebenar arwah walaupun selama ini orang itu hanya di hadapan mata kau sendiri.” Hafiz tidak mahu Luna berpaling ke belakang lagi.
“Masih belum ada pengakhiran untuk aku, masih banyak perkara yang aku belum buat. Aku tak boleh bayangkan betapa kecewanya arwah kerana tindakan darah daging sendiri. Aku ingat Faiz tak sama dengan orang tuanya, ternyata berjuta kali ganda lebih teruk. Aku harap arwah tenang di sana.” Bagi Luna, perjalanannya masih jauh walau berbaki tiga bulan.
“Pihak polis ada beritahu keluarga dia?” Luna tidak melihat kelibat Dato Zamri atau Datin Fazni berlegar di situ.
“Mereka tak ada di Malaysia sekarang,” balas Hafiz. Dia melunjurkan kaki yang terasa lenguh.
“Patutlah.” Luna sedikit lega. Jika Dato Zamri ada, mesti sudah lama orang tua itu datang menyalahkannya atas apa yang terjadi.
“Hafiz, terima kasih sebab kau setelkan kes ini. Walaupun selepas tiga tahun, aku sangat bersyukur. Aku doakan Allah akan balas segala jasa baik kalian di masa hadapan.” Bibir Luna menguntum senyuman.
“Memang kerja aku, tak payah rasa terhutang budi sangat. Aku memang dari awal nak setelkan kes ini secepat yang mungkin. Namun, takdir berkehendak yang lain. Nasib baik, Nazrin datang jumpa aku di Kedah. Kalau tak mungkin Faiz akan terus bebas. Aku tak dapat tolak kemungkinan yang dia akan ancam nyawa kau juga. Bila manusia dah dikelabui dengan dendam, tak ada apa yang boleh menghalang,” ucap Hafiz panjang lebar. Dia menunggu respon daripada Luna, namun senyap sahaja.
Hafiz memandang Luna. Wanita itu menunduk dengan mata yang terpejam. Hafiz tergelak kecil, dia bercakap seorang diri rupanya.
Hafiz perasan Luna hampir tersungkur ke hadapan. Nasib baik tangan kirinya pantas memegang kepala Luna. Hafiz membetulkan kedudukan, belakang badan dirapatkan ke kerusi. Kepala Luna ditarik lembut lalu dilentokkan ke atas bahunya. Hafiz sempat mengusap kepala Luna sebelum mengalihkan tangan. Namun, Luna membetulkan posisikepalanya lantas lengan itu dipaut manja. Hafiz terpaku. Rambut Luna yang lembut menyentuh pipinya yang kasar.
Hafiz turut memejamkan mata. Seperti Luna, dia juga kepenatan. Tidak lama kemudian, Cindai kembali dari tandas. Dia tersenyum melihat Luna yang begitu lena di bahu Hafiz.
“Hafiz……Luna……” panggil Cindai. Dia menggoncang bahu Luna sehingga badan Hafiz turut bergegar.
“Cindai…..” Hafiz membuka mata.
“Cindai, kenapa lama sangat, penat aku tunggu,” bebel Luna. Dia tidak sedar dia menumpang bahu Hafiz.
“Maaf, aku sakit perut tadi. Salah makan rasanya,” balas Cindai dengan muka simpati.
YOU ARE READING
In Your Time - Complete ✅
RomansaLuna Tihani - Seorang pelakon terkenal dan berpengaruh di Malaysia. Walaupun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu yang secara tiba-tiba menghilang, Luna tumbuh menjadi seorang yang berjaya. Rupanya seindah nama, bakatnya tidak boleh dipandang ren...