Prolog

31 0 0
                                    


"Unie... please... jangan buat abang macam ni... Abang tak mampu nak tanggung semua ni sendiri,"

Aku menatap wajah tampan Abang Izwan dalam-dalam. Untuk apa kini kami dipertemukan? Air mata yang bergenang di tubir mata aku seka. Semalam, buat pertama kalinya setelah enam tahun terpisah, kami dipertemukan dalam suasana yang sepatutnya membahagiakan. Tapi, bila saja mata ini menatap wajahnya, rasa gembira itu hilang. Rasa pilu yang aku simpan selama enam tahun itu perlahan-lahan kembali membaluti hati ini.

Semalam Abang Izwan datang ke rumah Mak Ngah bersama Kak Reen. Mereka baru saja pulang dari membeli belah barangan untuk majlis perkahwinan mereka yang akan berlangsung seminggu sahaja lagi. Aku yang sejak dari mula tiba di rumah Mak Ngah, begitu teruja untuk mengenali bakal suami Kak Reen. Namun, bila menatap wajah lelaki yang tiba bersamanya, aku amat terkejut sekali. Tidak percaya dengan apa yang kulihat. Dunia ini kecil rupa-rupanya. Sungguh aku tidak menyangka akan bertemu lagi dengan Abang Izwan.

"Abang serba salah Unie .... majlis kami cuma tinggal seminggu saja lagi. Takkanlah abang nak batalkan semuanya dalam tempoh sesingkat ini,"

Aku tak mampu berkata-kata. Mendengarkan kata-katanya itu membuatkan aku sedar. Walaupun di awal pertemuan tadi dia meluahkan rasa hatinya yang kononnya masih tulus untukku dan katanya cintanya padaku tak pernah padam. Namun kata-kata yang terluah ini meranapkan semua harapan yang aku bina lama dulu. Jelas cintanya padaku tidak se dalam yang diucapkan. Jelas dia tidak mampu untuk menjelaskan perasaannya terhadap ku pada Kak Reen.

"Lepas STPM abang hari tu, abang langsung tak dapat hubungi Unie. Abang nak cari tapi tak tau nak cari kat mana. Bila pergi minta alamat dan nombor telefon Unie dengan kerani sekolah, dia bagi tapi tak dapat hubungi juga. Akhirnya abang give up. Dalam hati sentiasa berharap sangat kita akan jumpa balik,"

Aku diam lagi. Hanya mampu mendengar kata-kata yang keluar dari bibirnya. Terimbau kembali kenangan lalu. Kami belajar di sekolah yang sama. Waktu itu aku di tingkatan satu dan dia di tingkatan enam atas. Perkenalan terjalin semasa Program Minggu Suai Kenal pelajar tingkatan satu. Dia merupakan salah seorang ahli jawatankuasa program tersebut. Aku pun tidak tahu bagaimana aku boleh menarik perhatiannya. Mungkin kerana aku telah terpilih untuk mendapat cabutan bertuah di majlis di mana dia yang menjadi pengerusinya. Sebelum menyerahkan cenderahati itu aku telah diminta untuk menyanyikan sebuah lagi cinta. Sungguh, saat itu amat memalukan diriku. Dan selepas pada itu dia datang memohon maaf kerana mendesakku menyanyi. Sesuatu yang sungguh memalukan kerana aku memang tidak pandai menyanyi.

Selepas dari itu, dia bersungguh-sungguh menyatakan hasratnya ingin mengambilku menjadi adik angkat. Setelah hampir enam bulan dia mengejar dan memujukku, barulah aku bersetuju untuk menerimanya. Hubungan yang mulanya adik dan abang angkat akhirnya menjadi lebih serius. Dia menyatakan cintanya padaku. Aku yang waktu itu masih terlalu naif, menerimanya tanpa sebarang rasa ragu.

Waktu itu hati remaja ku rasa cukup bahagia kerana mendapat perhatian darinya, seorang pelajar senior yang tampan lagi menawan. Yang menjadi kegilaan pelajar-pelajar perempuan di sekolah. Hubungan kami aku gunakan sebaik mungkin. Di waktu petang dia pasti akan menjadi tutorku, membantu aku menyiapkan kerja-kerja sekolah yang sentiasa bertimbun. Malam pula waktu prep dia masih setia bersamaku. Kami bersekolah di sekolah berasrama penuh, menyebabkan mudah sekali untuk kami bertemu terutamanya di waktu petang dan malam. Sering aku dicemuhi taman-teman yang sememangnya cemburu dengan hubungan kami. Aku tak punya ramai kawan waktu itu. Hanya dia yang memenuhi ruang waktuku.

"Masa cuti sekolah tu kami sekeluarga kemalangan. Semua keluarga Unie, mak, ayah, adik dan abang Unie meninggal. Unie trauma lama sangat sampaikan tak boleh tinggal di asrama. Mak Ngah tukarkan sekolah Unie dan ambil Unie duduk dengan dia. Sebab tu abang tak boleh nak hubungi Unie," kataku dengan nada sebak yang hadir dalam hati setiap kali aku sebut tentang kisah duka itu.

"Oh..., sedihnya... abang turut simpati," ucapnya perlahan.

Airmata yang ku tahan sejak tadi terus meluncur laju menuruni pipi. Teringat kembali saat itu, betapa aku hampir gila kerana kehilangan semua ahli keluargaku sekaligus.

"Unie trauma masa itu. Sampaikan Unie selalu terbayang semuanya, mak, ayah, adik ngan abang Lan datang nak bawa Unie pergi. Pernah sekali Unie hampir jatuh dari beranda bangunan asrama sebab terbawa-bawa dengan mimpi Unie. Akhirnya pihak sekolah meminta supaya Unie dibawa pulang supaya keselamatan lebih terjamin. Keluarga Mak Ngahlah yang bantu Unie atasi masalah ni. Waktu itu Kak Reen berada di tingkatan empat. Dia banyak bantu Unie terima hakikat yang Unie perlu teruskan hidup tanpa ahli keluarga yang lain. Unie tak mungkin akan dapat lupakan jasa mereka sekeluarga," kataku sambil mengeluh perlahan.

Dia diam seketika. Merenung jauh ke dalam mataku. Menyerap segala rasa gundah di hatiku. Kemudian dia mengeluh perlahan.

"Unie, semalam bila abang tengok Unie, abang jadi serba salah. Selama ni abang harap sangat dapat jumpa Unie balik. Tapi, tak jumpa-jumpa juga. Mak abang dah lama suruh abang kahwin, tapi abang selalu tangguhkan. Akhirnya mak merajuk. Abang terpaksa bersetuju. Dia yang carikan calon untuk abang. Kebetulan Mak Ngah Unie tu kawan mak. Ini semua keluarga yang aturkan Unie. Abang tak pernah kenal Reen sebelum ni. Kami bertunang pun tak lama sebab mak abang dah tak sabar nak bermenantu, nak bercucu,"

"Alhamdulillah... bang, Kak Reen baik. Mesti dia boleh jadi isteri yang baik untuk abang," kataku menahan sebak di dada.

"Tapi abang cintakan Unie,"

"Jangan bang, jangan ucap kata-kata tu lagi, abang kena belajar cintakan Kak Reen. Mula dari sekarang,"

"Macamana abang boleh buat macam tu kalau hari-hari terpaksa berhadapan dengan orang yang abang betul-betul cinta? Cuba Unie beritahu abang? Macamana abang boleh lupakan Unie bila setiap kali balik rumah mak Reen abang akan jumpa dengan Unie?"

Aku menarik nafas panjang. Akukah yang perlu bertindak, melakukan sesuatu? Akukah yang perlu lari dari keadaan ini? Ah... buntu jadinya.

"Tak apa, nanti Unie pastikan yang Unie tak akan balik bila abang dengan Kak Reen balik rumah Mak Ngah,"

"Abang tak boleh lari dari hakikat cinta abang Unie," katanya dengan nada merayu.

Aku diam. Buntu memikirkan keadaan ini?

"Kita kahwin....,"

Terkejut aku mendengarkan cadangannya yang gila itu. Kahwin? Dengan dia? Dan seterusnya melukakan hati Kak Reen dan Mak Ngah? Sanggupkah aku lakukan itu?



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Untuk Pembelian Ready E-book sila hubungi :

www.wasap.my/60197657415/SemalamYangKuTinggalkan

EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKANWhere stories live. Discover now