"Itulah engkau.... nak marahkan orang tu agak-agaklah sikit....," rungut Suzana semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya petang itu.
Aku diam cuma. Fikiranku jauh melayang, mengenangkan lelaki itu. Sepanjang waktu makan dia terus memandangku dengan wajahnya yang begitu muram sekali. Hanya ketika dia berbicara dengan gadis sunti di hadapannya sahaja dia mempamerkan wajah ceria untuk gadis itu. Kemudian bila matanya kembali menatap wajahku, dia masam lagi. Perlakuan yang sungguh menggetarkan sukmaku.
"Kau ni kenapa hah... Sejak kahwin ni lain macam je aku tengok. Emo sangatlah. Pagi tadi kau menangis sedih bila aku tanya tentang Abang Izwan kau tu. Petang ni pula... tak pasal-pasal nak marahkan orang macam tadi tu," rungutnya lagi.
Aku masih lagi tidak mengendahkan kata-katanya itu walaupun aku tahu ada kebenarannya. Entah mengapa wajah kacak lelaki tadi terus-terusan memenuhi ruang ingatanku. Memang dia kacak. Kalau dalam situasi berbeza mungkin aku boleh terpikat padanya. Hish... Unie, kau tu isteri orang. Macam mana pula kau boleh berfikiran begitu? Berdosa bila hati digoda syaitan sebegitu. Berdosa lagi jika aku melayan godaan itu.
Memikirkan tentang lelaki lain selain dari suami sendiri merupakan satu dosa besar. Salah satu zina hati yang akhirnya jika dilayan mampu untuk membawa diri seseorang itu ke arah perkara yang terlarang. Cepat-cepat aku beristighfar dan membetulkan semula bisik di hati. Namun kata-kata lelaki itu sewaktu melintasi meja kami saat dia berjalan keluar dari restoran bagaikan terus menggamit memori ku untuk mengingatinya.
"You owe me an apology," katanya dengan suara tegas. Melihatkan aku terdiam sambil memandang padanya dia menyambung kata-kata, "Anyhow... mata awak cantik sangat. Dan... tahi lalat kat tepi bibir tu, memikat sangat... Saya tak akan lupakan tahi lalat tu...," katanya sambil mengenyitkan matanya kepadaku.
Kata-kata yang membuatkan aku tergamam tanpa kata. Dia berlalu pergi meninggalkan aku yang terkedu. Mataku dan mata Suzana bersatu dalam diam. Ternyata temanku itu juga terkejut dengan kata-kata itu, sehinggakan dia turut tergamam.
Mengenangkan kata-kata itu, jemariku terus menyentuh lembut pada tahi lalat sebesar kepala mancis yang elok letak duduknya di sisi kiri bawah bibirku. Senyum kembali menguntum di bibirku. Jarang sekali ada yang memujiku sebegitu. Entah mengapa, timbul rasa bahagia di hatiku.
"Hah... tu dok beranganlah tu... Ingat kawan... kau tu dah ada suami. Berdosa tau ingatkan orang lain selain dari suami sendiri,"
Kata-kata Suzana mengambalikan aku dari lamunanku yang terlarang itu. Cepat-cepat aku buang jauh lamunan itu. Aku mengeluh perlahan, sedikit kecewa kerana terpaksa melepaskan kenangan itu pergi. Namun, aku terpaksa berbuat begitu. Tidak mahu terus digoda dek syaitan yang sering menyesatkan.
"Menyampah aku... ada ke patut dia puji engkau macam tu. Aku yang minta maaf dengan dia tadi tu. Dia sikit pun tak tengok aku. Patutnya akulah yang dia kena puji. Aku kan anak dara lagi. Engkau tu dah jadi isteri orang kan...," rungutnya lagi.
"Sudahlah Su, manalah dia tahu aku ni dah kahwin. Kau pula kenapa tak pergi jumpa dia, berkenalan. Barulah dia tahu yang kau dah terpikat pada dia,"
"Dah, dia asyik dok tengok kat kau aje..., sampaikan ada orang tu perasan pula,"
Aku mencebikkan bibir.
"Aku...? Perasan...? Mengarutlah kau ni...,"
'"Habis tu... kalau tak namanya perasan... kenapa pula kau dok berangan ... Ingatkan dia ye.... Hoi.... Abang Izwan tu kau nak campak kat mana? Kau tu baru dua minggu kahwin tau.... Ingat tu....,"
YOU ARE READING
EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKAN
FanfictionNovel yang diterbitkan semula dalam bentuk ebook. ~~~~~~~~~ Blurb ~~~~~~~~~ Munirah sudah penat. Hidupnya sering dalam kesedihan dan terpaksa membuat pilihan yang begitu mengelirukan dirinya. "Aku tak suka kau bawa sikap buruk kau itu kepada Sarah...