Bab 8

6 0 0
                                    



Sambil menunggu teman-temannya beredar, tangan Abang Izwan meraih jari-jemariku, menggenggam erat tanganku. Setelah mereka pergi, aku membisikkan tentang solatnya yang belum tertunai. Abang Izwan lantas menarik tanganku. Terkocoh-kocoh kaki ku melangkah untuk menuruti langkahnya. Sambil melalui tetamu yang memerhatikan kami, Abang Izwan menghadiahkan senyum kepada mereka. Ada yang senyum kembali dan ada juga yang memandang kami dengan pandangan sinis. Perlakuan polos Abang Izwan nampaknya tidak begitu disenangi oleh semua. Terutamanya emak mertuaku yang memandang kami dengan wajah yang tidak senang.

Begitulah adanya bila perlakuan ini berlaku antara suamiku dengan aku, seorang isteri kedua. Aku pasti, jika ini berlaku antara Abang Izwan dan Kak Reen di hari pernikahan mereka, yang melihat pasti akan tersenyum gembira. Turut sama bahagia bersama dengan kebahagiaan yang dirasakan oleh pasangan yang baru bernikah. Ah... beginilah hakikat kehidupan. Yang kedua sering dianggap buruk, jahat dan perampas. Tidak ada yang sanggup menyelami hatiku yang terus-terusan resah kerana tersepit dalam keadaan ini.

Setiba di bilik, Abang Izwan terus menarikku untuk bersamanya. Belum sempat pintu bilik ditutup rapat dia terus menolak tubuhku ke pintu. Merapatkan tubuhnya pada tubuhku hinggakan tidak ada sedikit pun ruang kosong antara tubuh kami. Debaran yang mengocak tangkai hati bercampur baur dengan rasa bahagia bila dibuat semesra itu. Perlahan sekali wajahnya dirapatkan ke wajahku. Hela nafasnya yang lembut menampar ke wajahku perlahan-lahan membawa senyum malu di bibirku. Lantas, tanpa sempat berkata apa-apa aku tenggelam dalam cumbuannya. Lupa aku seketika dengan dengan keresahanku sebentar tadi. Lupa juga dengan keadaannya yang belum bersolat.

"Abang cinta ... sayang.... rindu... pada Unie," bisiknya selepas seketika.

Aku yang masih lelah dan sesak nafas dengan perlakuannya sebentar tadi hanya mampu senyum malu. Terasa panas wajahku saat itu dek kata-katanya. Bahagia menyelubungi segenap jiwaku kerana dilayan dengan penuh kasih sayang oleh suami sendiri. Lantas dengan teragak-agak, jejariku menyentuh lembut di pipinya. Ah, sungguh syahdu perasaan itu. Di saat ini hanya dia yang mampu membuatkan aku rasa bahagia. Hanya ketika bersamanya begini, resahku bisa hilang. Walaupun hanya seketika waktu.

"Maaf dengan sikap mak dan adik-adik abang pada Unie, ye? Nanti, esok kita balik ke rumah kita. Tapi malam ni, kita terpaksa tidur kat sini. Nanti kecil pula hati mak abang. Dia dah siapkan bilik ni untuk kita. Boleh kan?"

Aku hanya menganggukkan kepala. Apa daya yang aku ada. Kehadiran yang tidak diinginkan ini tidak boleh aku jadikan alasan untuk tidak menghormati emak mertuaku. Sebagai anak, aku perlu mentaatinya seperti aku taat kepada emakku sendiri. Wajib aku melakukan itu untuk menyenangkan hati suami.

"Satu malam saja ye? Lepas tu, malam lain, kita berdua je. Tak akan ada gangguan lagi," bisiknya sambil merapatkan wajah kami sehingga dahinya menyentuh ke dahiku. Kemudian dia memelukku erat-erat. Aku mengeluh perlahan dan membalas pelukannya. Mendengarkan keluhan itu dia melonggarkan kembali pelukan. Merenung ke dalam mataku.

"Unie mengeluh?"

Aku senyum malu melihatkan kekeliruannya bila mendengarkan keluhanku itu. Mungkin dia menyangka aku mengeluh kerana terpaksa tidur di sini malam ini dan berdepan dengan keluarganya yang bersikap acuh tak acuh denganku.

"Unie rasa gembira sangat. Bila dengan abang, Unie tak kisah kat mana kita berada," ucapku dengan lembut sekali. Mataku aku larikan dari menatap wajahnya. Dia tertawa bahagia. Perilaku luar sedarku itu rupa-rupanya menggoda dan mengocak naluri lelakinya. Lantas dia dengan pantas sekali mengangkat dan mengendongku ke katil. Perlakuan yang cukup membahagiakan itu aku sambut dengan ketawa kecil. Tiba di katil dia perlahan sekali meletakkan aku di situ. Mula mengambil tempat di sebelahku. Cuba mencium bibirku. Tapi, pantas sekali aku meletakkan jariku di bibirnya.

EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKANWhere stories live. Discover now