Telefon bimbitku bergetar minta diangkat. Aku memandang paparan pada skrin. Nama Abang Izwan terpapar lagi di situ. Aku hanya memandang tanpa menjawab panggilan itu. Termasuk kali ini, sudah lapan kali panggilannya tidak aku jawab. Rasa tersinggung dan kecil hatiku masih lagi belum berlalu.
Selepas hari kedua aku di sini, baru dia menelefonku. Setahu aku semalam Suzana mengatakan yang dia tetap akan memberitahu Abang Izwan tentang keadaanku ini walaupun aku tidak membenarkannya.
"Kenapa tak jawab telefon tu," kata pembantu wad yang sedang berada hampir dengan katilku untuk membersihkan lantai dan mengambil sampah dari bakul sampah yang terletak berdekatan.
Bibirnya tersenyum melihatkan gelagatku. Riak simpati tergambar di wajahnya. Mungkin keadaan seperti ini sudah biasa baginya. Maklumlah, hari-hari dia berada di kalangan pesakit yang mengalami pelbagai jenis penyakit akibat dari kehamilan. Mungkin dia sudah lali dengan keluhan-keluhan pesakit di sini menyebabkan dia sudah tidak berminat lagi dengan masalah mereka. Dia hanya menjalankan tugasnya tanpa mahu bermesra dengan pesakit di sini.
Terkejut juga aku dengan pertanyaannya tadi. Mungkin dia memerhatikanku yang sejak dari tadi membiarkan telefon bergetar sendiri tanpa diangkat. Aku senyum kembali kepadanya. Dengan rasa malas aku menekan butang hijau untuk menjawab panggilan tersebut. Aku diam menantikan dia memulakan bicara.
"Hello Unie,"
Aku diam, menelan air liur yang kurasakan teramat pahit saat ini. Hatiku sebak kembali mendengarkan suaranya. Suara yang amat ku rindui. Terasa ingin sekali aku menyuarakan keinginanku untuk bersamanya saat ini. Namun suaraku tersekat di tekakku. Tak mampu untuk keluar dari bibirku.
"Suzana cakap Unie masuk wad...,"
Aku diam lagi. Cukup sedih hati ini bila mendengar suaranya yang cemas begitu. Untuk apa bertanya khabar kalaulah dia sibuk di sana? Lebih baik dia tumpukan dengan tugasnya di sana. Untuk apa dia menghubungiku? Ah... rajukku datang lagi.
"Unie, say something please... Abang rindu sangat pada Unie,"
Kenapa hari ini baru mahu menyatakan rindu di hati. Mengapa tidak waktu-waktu sebelum ini? Kalau biasanya bicaranya melalui telefon kedengarannya begitu ringkas sekali. Sedikitpun tidak pernah ingin membicarakan rasa hati.
Mengapa ketika aku dalam keadaan begini barulah dia mahu mengucapkan kata-kata rindu. Adakah hanya untuk memujuk hatiku yang sudah terluka ini? Atau adakah kerana sekarang kehamilanku telah disahkan, maka bicara mula kembali bersulam dengan kata-kata rindu?
"Unie ... janganlah macam ni. Unie tak sihatkan? Abang tahu... Esok abang balik, everything will be ok. Janganlah merajuk dengan abang macam ni," pujuknya lembut.
Aku diam lagi. Di dalam hati terdetik rasa gembira, dia akan pulang esok. Namun rajukku masih belum mahu membenarkan bibirku berkata apa-apa.
"Unie tak nak cakap dengan abang ye...? Marah pada abang ye...?"
Aku menarik nafas panjang. Rasa bersalah menghambat hati. Patutkah aku meneruskan rajukku ini?
"Unie...,"
"Abang kan sibuk... siapkanlah kerja abang kat sana tu." Akhirnya aku bersuara perlahan.
Kedengaran dia menarik nafas. Lega? Atau marah dengan sindiranku itu?
"At last... ada juga suara sayang abang ni...,"
Aku diam kembali.
"Semua kerja abang kat sini dah siap. Petang ni abang nak pergi shopping sikit. Unie nak pesan apa-apa ke?"
YOU ARE READING
EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKAN
FanfictionNovel yang diterbitkan semula dalam bentuk ebook. ~~~~~~~~~ Blurb ~~~~~~~~~ Munirah sudah penat. Hidupnya sering dalam kesedihan dan terpaksa membuat pilihan yang begitu mengelirukan dirinya. "Aku tak suka kau bawa sikap buruk kau itu kepada Sarah...