Hari ini aku menangis lagi ...
Wajah Mak Ngah yang kelihatan serba salah sejak aku mula tiba sebentar tadi aku tatap dengan perasaan yang berbelah bahagi. Pagi-pagi lagi aku sudah nekad bahawa hari ini juga aku akan pergi mencari Sarah. Rinduku padanya sudah aku rasakan begitu menbuak-buak. Wajahnya yang sering aku tatap dalam dinding facebook Kak Reen menyedarkan bahawa anakku itu kini sudah besar. Manis dan comel sungguh anak gadisku itu pada usia tiga tahun.
Pada waktu awal perpisahan dulu, aku dan Kak Reen begitu akrab berhubung melalui alam maya itu. Pada hari-hari permulaan aku menjejakkan kaki ke Australia untuk menyambung pengajianku, seperti yang dijanjikan, ada sahaja berita mengenai Sarah dan Abang Izwan yang disampaikannya untukku. Abang Izwan yang selalunya sibuk dengan tugasnya memang amat jarang sekali menghubungiku.
Janji Abang Izwan untuk membawa Sarah kepadaku rupanya tidak kesampaian. Ada sahaja alasan yang diberikan oleh Kak Reen untuk mengelak dari aku terus mendesak Abang Izwan menunaikan janjinya untuk membawa Sarah kepadaku. Dan aku yang sedar waktu itu betapa sukarnya jika aku membawa Sarah bersamaku terus membiarkan keadaan itu. Ya, mungkin aku tidak mampu untuk menjaga Sarah sendirian di sana. Rakyat Malaysia di Australia sememangnya ramai, tetapi tidak ramai yang aku kenali hati budinya. Dan rasanya waktu itu aku lebih mempercayai bahawa Sarah lebih selamat berada di bawah jagaan ayahnya sendiri.
Seperti biasa, dia dengan sikapnya yang tidak betah untuk berbicara melalui talian telefon. Setiap kali menelefonnya, pasti perbualan kami hanya setakat bertanyakan khabar dan menyampaikan apa-apa perkara yang penting sahaja. Terlalu cepat dia ingin memutuskan talian. Jadi, hanya bila rindu yang datang tak mampu aku bendung, barulah aku menghubunginya. Pun begitu bicara kami selalunya tidak lama. Selepas sahaja menyampaikan rasa rindu yang bersarang di hati, talian terus diputuskan.
Kak Reenlah yang menjadi penghubung tetap antara kami. Berkirim salam, menyampaikan berita dan sebagainya. Namun selepas enam bulan perpisahan berlaku, bicara antara aku dan Kak Reen mula menjadi semakin kurang. Kesibukanku dengan pengajianku menyebabkan aku jadi leka dan tidak menyedari akan tanda-tanda masalah itu mula timbul.
Kak Reen juga mula menyepikan diri. Ada ketikanya bila aku menegurnya di alam maya itu, dia hanya mendiamkan diri. Abang Izwan pula bagaikan sudah mula mengelak dari berbicara denganku melalui telefon. Bicaranya juga sudah tidak seromantis selalu. Dan entah mengapa aku tetap juga tidak mengendahkan perubahan ini. Sangkaku ini perkara biasa. Setiap kali aku bertanyakan khabar bila mereka akan datang mengunjungi aku, Abang Izwan bagaikan cuba untuk mengubah topik perbualan.
Setelah hampir tiga bulan aku bagaikan bercakap sendirian, aku mula berhenti menegur Kak Reen di alam maya. Seringkali aku hanya membiarkan sahaja facebook atau emailku sentiasa berada dalam talian. Menanti dan menanti setiap kali dia menghantarkan perkhabaran tentang dirinya dan Sarah di situ. Semua perubahan itu hanya mula aku sedari selepas setahun tempoh pemergianku ke sana. Setelah surat dari Abang Izwan yang sungguh tidak ku duga isi kandungannya tiba ke ribaanku.
Mengapa...? Mengapa aku diperlakukan sebegitu? Mengapa hanya melalui sekeping kertas? Sekeping kertas putih yang menjadi wakil darinya, melafazkan kata-kata yang cukup menggegarkan seluruh jantungku, memusnahkan harapanku dan meranapkan anganku. Bagaikan tercabut nyawaku saat aku membaca coretannya itu. Lafaz yang sesungguhnya tidak mungkin akan dapat diterima oleh seorang isteri yang tidak mengetahui apa alasannya si suami berbuat begitu.
Selepas dari itu, setiap kali aku cuba berhubung secara online dengannya, Kak Reen terus mengelakkan diri dan mematikan taliannya. Langsung tidak mahu menjawab semua persoalan yang aku berikan. Berdiam diri dari soalan-soalan yang memohon penjelasan darinya. Bila aku menelefon pula, ternyata dia telah menukar nombornya. Sama seperti Abang Izwan, yang terus dan terus mengelak dariku.
YOU ARE READING
EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKAN
FanfictionNovel yang diterbitkan semula dalam bentuk ebook. ~~~~~~~~~ Blurb ~~~~~~~~~ Munirah sudah penat. Hidupnya sering dalam kesedihan dan terpaksa membuat pilihan yang begitu mengelirukan dirinya. "Aku tak suka kau bawa sikap buruk kau itu kepada Sarah...