Bab 6

6 0 0
                                    




"Muhammad Izwan bin Muhammad Ali, aku nikah akan dikau dengan Munirah binti Muhammad Hanafi dengan mas kahwin seratus ringgit tunai...,"

Tangan yang digenggam oleh tok kadi itu dikocak lembut. Aku lihat Abang Izwan menarik nafas panjang lantas menjawab.

"Aku terima nikahnya Munirah binti Muhammad Hanafi dengan mas kahwin seratus ringgit tunai...,"

Dengan sekali lafaz yang begitu meyakinkan, aku sah menjadi isteri kepada Abang Izwan. Satu perasaan indah menyelirat bersama urat sarafku, menyuntik satu rasa bahagia yang tidak dimengertikan. Mungkinkah ini yang dirasakan oleh setiap gadis yang baru bergelar isteri? Namun dalam bahagia ada rasa gundah. Disebalik gundah ada lagi satu perasaan yang cukup membuatkan aku resah. Rasa bersalah bagaikan bergayut kemas di tangkai hati. Mana bisa bahagia itu aku kecapi sepenuhnya jika ianya dibina atas kesedihan orang lain? Mana bisa aku mampu tersenyum puas jika di luar sana ada hati yang terluka dengan senyuman yang terukir di bibir ini?

Setelah lafaz itu disahkan, tok kadi menghampiriku untuk menghulurkan beberapa dokumen yang perlu aku tandatangani. Mengesahkan aku kini sudah selamat diijab kabulkan dengan Abang Izwan. Selesai semuanya aku mula beredar. Bersedia untuk kembali semula ke rumah Mak Long. Upacara pernikahan ini dibuat di pejabat kadi dan sedikit kenduri kecil-kecilan dibuat di rumah Mak Long. Semuanya atas permintaanku. Mak Ngah sendiri yang meminta supaya kenduri ini tidak dijalankan di rumahnya.

Aku tak mampu untuk berhadapan dengan Kak Reen dan kesedihannya. Tidak mahu menambah luka di hati Kak Reen bila melihat persiapan perkahwinanku dibuat di situ. Aku akur. Pada mulanya Abang Izwan bercadang supaya kenduri ini dibuat di rumah emaknya. Tetapi, akhirnya Mak Long bersetuju dengan permintaanku. Apa gunanya ada emak saudara kalau saat begini tidak mampu untuk menolong anak saudaranya yang sebatang kara ini, kata Mak Long.

Saat keputusan di mana kenduri itu akan dilaksanakan, hatiku menangis lagi meratapi nasib diri. Kalaulah emak dan ayah masih ada, mungkin hatiku tidak sesedih ini. Mungkin perasaan resahku tidak sehebat ini. Di saat-saat begini, terasa diri ini bagaikan terbuang. Tiada tempat untuk aku mengadu. Yang tidak faham dengan tujuan pernikahan ini mengutuk aku kerana menganggap aku tergamak merampas Abang Izwan dari Kak Reen. Ada suara-suara halus yang kedengaran berbisik dan mengataku. Tergamak sungguh aku melukakan hati kakak sepupu sendiri, kata mereka. Walaupun ada suara-suara lain yang menjelaskan bahawa pernikahan ini adalah atas permintaan Kak Reen, masih lagi ada suara-suara sumbang yang menyalahkan aku.

Riak gembira di wajah Abang Izwan dapat ku lihat begitu jelas sekali. Matanya terus-terusan memandang diriku ini. Bagaikan tidak sabar untuk berada di sisiku. Namun kehadiran Mak Long dan Pak Long bagaikan menghalangnya dari mendekati. Atas permintaan Mak Long yang menemaniku ke upacara pernikahan ini, majlis membatalkan air sembahyang akan diadakan di rumahnya. Jadi buat masa ini, dia masih belum membenarkan Abang Izwan mendekatiku. Tunggu sehingga tiba di rumahnya nanti, katanya.

Suzana yang juga hadir bersama, memerhatikanku bagaikan ibu ayam memerhatikan anak-anaknya. Hatinya masih seperti tidak merelakan Abang Izwan mendekatiku. Bagaikan ada satu konfrontasi secara senyap antara dia dengan Abang Izwan. Dia seperti menyimpan dendam kepada lelaki yang kini bergelar suamiku itu. Memang sesungguhnya dia menentang keras keputusan yang aku ambil untuk memenuhi permintaan Kak Reen supaya aku menikahi Abang Izwan.

Setibanya kami di rumah Mak Long, Abang Izwan memohon untuk melakukan sembahyang sunat. Timbul rasa kagum di hati saat aku melihat dia menghadapi Allah dengan rasa syukur atas kemenangannya untuk memiliki diri ini. Kemenangan yang diraih atas kekalahan Kak Reen yang terpaksa akur dengan kehendak suaminya. Terpaksa makan hati dengan keputusan yang diambil atas dasar terpaksa begini. Mana mungkin ada isteri yang redha bila dirinya dimadukan. Aku sendiri tidak rela sebenarnya. Tapi apalah daya diri ini. Terhutang dengan budi yang dihulurkan padaku. Tersepit antara rasa cinta yang telah lama terpahat jauh di satu sudut paling sunyi dalam hati ini.

Sebuah pelamin simpuh kecil disediakan untuk upacara membatalkan air sembahyang. Aku bersimpuh di situ menanti kehadiran lelaki yang sudah bergelar suamiku untuk melaksanakan upacara itu. Ada debar dalam hati, ada resah dalam jiwa. Bercampur aduk dengan rasa gundah yang sudah lama bertapak dalam hati. Perasaan yang bagaikan menjeruk hati ini sejak mula Kak Reen menemuiku untuk meminta aku melaksanakan permintaannya. Membuatkan aku terus-terusan rasa bersalah dengan keputusan yang aku ambil itu.

Namun, saat ini mana mungkin aku tarik balik keputusanku itu. Keputusan yang aku buat atas dasar gerak hati yang diberikan oleh Allah. Saban malam selepas Kak Reen datang meminta aku menjadi isteri Abang Izwan, istikharah aku lakukan. Memohon petunjuk dari Allah dalam membuat keputusan. Bila gerak hati ini bagaikan berbisik untuk aku menerima, aku jadi akur kepadanya. Mungkin ini ketentuan Allah untukku. Mungkin ini takdir untukku. Menjadi isteri kedua bagi lelaki ini. Menjadi madu pada sepupuku sendiri.

Saat jejarinya aku salami, rasa gundah di hati ini bagaikan terbang melayang jauh. Bagaikan ada damai yang membaluti perasaan ini. Terasa bagaikan ada yang melindungi diri ini dari segala rasa gundah yang menyelubungi hati. Dia bagaikan menyuntik satu kekuatan untuk aku menghadapi semua ini. Ketika matanya melatari wajahku, ketika bibirnya menyentuh lembut di dahi dan ketika mata kami bertemu buat kali pertamanya selepas bergelar suami isteri, terasa bagaikan ada lafaz yang keluar dari bibirnya. Seolah-olah berbisik kepadaku bahawa semua ini adalah takdir yang terbaik untukku. Seolah-olah memberi keyakinan bahawa pernikahan ini sebenarnya mendapat redha Ilahi.

"Unie ...," sepatah bisikannya menyebut namaku memberikan kekuatan untuk aku mengukir senyum. Mungkin hambar, tetapi senyum itu aku zahirkan untuk menyatakan rasa damai yang ada di jiwaku saat itu. Perasaan yang hadir tatkala kehadirannya di sisi ini memberi sedikit kekuatan untukku menghadapi masa depan yang belum pasti. Ya, mungkin keputusan yang aku buat ini adalah yang terbaik untuk diri ini, untuknya dan untuk Kak Reen.

"Senyum sikit ye...," bisiknya lagi.

Lantas dia meraih jejariku. Menggenggam erat tanganku dan memberikan kekuatan untukku menghadapi semua ini. Kerdipan cahaya kamera yang merakam saat itu tidak lagi aku hiraukan. Yang aku tahu, aku kini berada di sisi suamiku. Seorang yang akan melindungiku saat aku dilanda kesusahan, yang akan mendamaikan resahku dan yang akan menyuntik kekuatan untuk aku menghadapi dugaan di masa hadapan. 


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Untuk Pembelian Ready E-book sila hubungi :

www.wasap.my/60197657415/SemalamYangKuTinggalkan

EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKANWhere stories live. Discover now