Aku tidak mampu untuk memujuk Kak Reen. Akhirnya aku cuma turut menangis bersamanya. Menyatakan kekesalan di hati melalui perlakuanku. Ketika remang senja menjelma, aku membawa dia pulang ke rumah sewaku. Langsung tidak menawarkan untuk menghantar dia pulang ke rumahnya. Pasti saat ini dia tidak mahu bertemu dengan Abang Wan. Pasti saat ini dia hanya ingin bersendirian. Aku hanya mampu memerhatikan semua perlakuannya. Selepas solat Maghrib dia mencapai naskah Al Quran milikku yang terletak di kepala katil. Naskah yang sentiasa berada dalam capaian tanganku. Salah satu dari alat untuk meredakan resahku pada saat ia datang bertandang.
Selesai solat Isyak aku mendekati Kak Reen dan duduk bersemuka dengannya. Nyata dia tidak mahu memandang ke wajahku. Dia melarikan matanya ke arah lain saat aku memandang tepat ke wajahnya. Marahkah dia padaku? Aku perlu perbetulkan apa jua tanggapan buruknya terhadapku. Aku tak mahu kata-kata Abang Wan mampu menyebabkan dia membenci diri ini. Sekali-kali aku tidak rela hubungan ini putus akibat salah fahamnya terhadapku.
"Kak Reen, akak jangan salah anggap pada Unie ye?" aku mulakan bicara.
"Sejak bila Unie ada hubungan dengan Abang Wan?" perlahan dia bertanya.
Suaranya kedengaran begitu sakit sekali untuk dikeluarkan dari bibir. Aku bagaikan terkedu. Mindaku ligat menyusun kata. Aku perlu berhati-hati menuturkan bicara. Perlu memujuk hatinya yang kini sedang terluka. Yang kini sedang menuntut jawapan dariku.
"Kak Reen, anggaplah perasaan budak kecil berumur 13 tahun tu hanyalah cinta monyet. Kisah tu dah lama berlalu. Waktu Unie kat sekolah menengah lagi," kataku sambil mata terus menatap wajahnya.
Aku ingin telus kepadanya hari ini. Aku ingin meluahkan segalanya. Biar dia tahu. Biar dia tidak menyalahkan aku. Perasan itu wujud lama dulu. Waktu mereka masih belum dipertemukan. Dan bila bertemu kembali, aku sedikitpun tidak pernah melayan perasaan Abang Wan. Walaupun dia memujuk rayu, itu hanya berlaku sebelum mereka berkahwin. Selepas perkahwinan mereka aku tidak pernah memberi peluang untuk Abang Izwan berbicara soal hati. Kalaupun ada berbalas kata, hanyalah untuk bertanya khabar. Tidak... tidak pernah kami berbicara tentang cinta yang telah hilang lama dulu. Hanya ekor mata dan renungannya sahaja yang menyedarkan aku bahawa dia masih memberi perhatiannya kepadaku.
"Unie kenal dia masa tingkatan satu Kak Reen. Kami dulu satu sekolah. Dia abang angkat Unie dulu. Lepas dia ambil STPM kami berpisah. Itu je. Cuma itu saja hubungan kami. Kami hanya jumpa seminggu sebelum Kak Reen kahwin. Ingat lagi kan masa Kak Reen balik dari pergi membeli-belah barang hantaran dengan dia?"
"Lepas tu apa hubungan Unie dia?" kelihatan wajah Kak Reen yang tadi tenang mula berubah riak. Kemarahannya sedikit demi sedikit mula terserlah. Aku menarik nafas panjang. Bersedia untuk menerima apa jua kemungkinan yang datang.
"Tak ada apa-apa hubungan kak. Dia ajak Unie keluar esoknya. Dia jelaskan semuanya tentang hubungan akak dengannya. Dia ... emmm..... ," aku terdiam seketika.
Hampir sekali aku menceritakan padanya bagaimana Abang Izwan memujukku untuk kahwin dengannya. Ah... aku tidak boleh ceritakan perkara itu. Biarlah kata-kata itu terus menjadi rahsia antara aku dan Abang Wan. Aku tak akan menyemarakkan lagi perasaan syak wasangka Kak Reen.
"Dia ajak Unie kahwinkan masa tu?"
Kata-kata Kak Reen melenyapkan tekadku sebentar tadi. Pasti, ya pasti Abang Wan yang memberitahunya tentang ini. Selain dari aku, siapa lagi yang tahu tentang rayuannya itu kalau bukan dia. Ah.... kejam sungguh lelaki itu. Mengapa mesti dia menceritakan semua. Tidakkah dia tahu betapa sakitnya hati seorang wanita jika mengetahui bahawa ada orang lain yang lebih dicintai oleh suaminya? Bahawa dirinya hanyalah pilihan kedua? Yang dinikahi hanya kerana memenuhi syarat tuntutan nafsu semata-mata? Ah... kejam sungguh Abang Wan.
YOU ARE READING
EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKAN
FanfictionNovel yang diterbitkan semula dalam bentuk ebook. ~~~~~~~~~ Blurb ~~~~~~~~~ Munirah sudah penat. Hidupnya sering dalam kesedihan dan terpaksa membuat pilihan yang begitu mengelirukan dirinya. "Aku tak suka kau bawa sikap buruk kau itu kepada Sarah...