Bab 12

6 0 0
                                    




Keesokan hari Abang Izwan menyampaikan satu berita yang amat mengecewakan. Dalam tempoh dua minggu lagi ia akan pergi meninggalkan aku selama sebulan. Dia terpaksa menghadiri satu kursus di United Kingdom. Tugasnya sebagai seorang pegawai penyelidik di sebuah institusi penyelidikan terkemuka, memaksanya mempelajari pelbagai teknik baru yang perlu digunakan dalam melaksanakan tugasnya.

Aku yang masih lagi lemah, mendengarnya dengan hati yang sungguh sayu. Kami baru sahaja berkahwin kurang lebih sebulan setengah ketika itu nanti, namun aku akan ditinggalkannya. Mana mungkin aku mampu gembira mendengarkan berita ini. Namun demi untuk menghalangnya dari menolak peluang ini, aku pamerkan senyuman di wajah. Walaupun saat itu hatiku merasa hampa yang amat sangat.

"Abang mohon kursus ni empat bulan lepas, sebelum Unie decide nak kahwin dengan abang. Kalau abang tau kita akan kahwin masa tu, mesti abang tak minta kursus ni. Tak sanggup rasanya nak tinggalkan Unie,"

"Pergilah bang... kursus tu penting bagi abang kan? Kenapa pula nak tolak. Insyaallah Unie kat sini tak apa-apa. Kak Reen ... dah tahu?" kataku sambil menahan batuk.

Aku bagaikan dapat merasakan keresahannya. Patutlah semalam, dia membisikkan rasa sedihnya untuk meninggalkan aku. Rupa-rupa berita ini yang akan disampaikannya. Dia mengeluh sambil memandang padaku. Mungkin risau melihatkan keadaanku. Demam yang aku alami semalam pula sudah sedikit lega. Cuma tubuhku masih lemah dan kepala masih pening.

Tekak pula terasa sakit sekali. Aku mula batuk dan bila aku banyak berkata-kata, batuk menjadi-jadi. Terlintas dalam hati kecilku bahawa kemungkinan besar aku tidak mengandung. Semua ini mungkin disebabkan kesihatan yang terganggu akibat demam dan selsema. Keadaan ini membuatkan makin bertambah rasa sayu di hati. Dalam keadaan aku lemah begini, dia akan meninggalkan aku keseorangan. Dan dalam tempoh yang begitu lama sekali.

"Unie ni kan... cakap sikit... mesti tanya tentang Kak Reen...,"

"Mestilah... dia kan...,"

"Isteri abang....," sampuknya pantas sebelum aku menghabiskan kata-kataku.

Tersentuh hatiku saat itu. Sungguh aku tidak mengerti mengapa perasaan itu harus hadir dalam hati. Aku redha dengan keadaan kami yang bermadu namun, bila ada kata-kata yang menyebut hakikat itu terutamanya dari bibir Abang Izwan, aku jadi tersentuh. Sungguh aku tersinggung dengan kenyataan itu.

Kalaulah begini yang aku rasakan, bayangkan perasaan Kak Reen. Pasti hatinya lebih terguris berbanding denganku tatkala ada seseorang yang menyentuh tentang diriku di hadapannya.

Abang Izwan mengangkat kedua-dua tangannya seolah-olah seperti menadah doa. Sambil itu matanya menengadah sekilas ke atas. Dia mengeluh lagi. Kemudian perhatiannya kembali padaku. Dia menarik tubuhku yang sedang berbaring di sofa sehinggakan aku jatuh ke ribaannya yang sedang duduk di atas lantai di sisi sofa.

Tergamam aku dengan perlakuan sepontannya itu. Tubuh kecilku didakap erat. Terasa seluruh kasih sayangnya dicurahkan kepadaku. Alangkah bahagianya. Pasti... aku pasti aku akan merindui saat-saat begini bila perpisahan tiba nanti. Lantas, air mataku bergenang di tubir mata. Aku menelan air liur, menahan sebak yang aku rasakan bila mengenangkan perpisahan yang bakal berlaku itu.

"Abang bukannya apa Unie, bila abang terpaksa pergi ke mana-mana, abang risaukan Unie. Kalau jadi apa-apa pada Unie, siapa yang nak tengokkan Unie. Kak Reen lain, dia ada Mak Ngah dan adik beradiknya. Unie, tak ada siapa-siapa kan?" keluhnya perlahan.

Makin sebak rasanya hati ini mendengarkan kata-katanya itu. Hakikat yang memang aku tak mampu hindari sejak aku berkahwin dengannya. Sememangnya kini aku terasa semakin dipinggirkan. Bukan saja dari keluargaku sendiri, malah juga dari teman-teman sekerja. Cuma Suzana sahaja yang masih ada untukku, melayan kerenahku.

EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKANWhere stories live. Discover now