Pemergian Abang Izwan aku hitung hari demi hari. Seminggu berlalu, aku sudah bagaikan separuh gila menanti dia menghubungiku. Sememangnya sebelum ini tidak pernah aku ketahui begini sikapnya. Bila dekat aku disayangi, namun bila jauh aku bagai dilupakan. Langsung dia tidak menghubungiku. Sebelum dia pergi meninggalkan ku seminggu yang lalu, dia membisikkan cintanya padaku. Meminta supaya aku cepat-cepat menyampaikan berita gembira tentang kehamilanku sekiranya doktor telah mengesahkannya.
Namun, setiap kali aku menghubunginya, dia sering saja sibuk. Perbualan hanya berkisar kepada perkara yang amat penting sahaja. Tiada lagi sikap romantisnya seperti yang ditunjukkan kepadaku setiap kali kami bersama. Ada saja alasannya sehinggakan aku terpaksa tamatkan talian telefon. Dia bagaikan terlalu sibuk dan tidak mahu melayan aku berbicara. Tambahan lagi bila ku katakan bahawa aku masih belum menemui doktor untuk mengesahkan kehamilanku.
"Unie, betul ke dia sayangkan kau ni. Bila jauh macam ni langsung tak telefon. Bila kau telefon pun cakap sekejap aje. Dia buat kat kau macam ni, bukan macam orang sayangkan bini ni," rungut Suzana bila aku mengadu hal ini kepadanya.
Aku menarik nafas panjang.
"Ada masanya terdetik juga di hati macam tu. Tapi masa dia dekat dengan aku dia sayang sangat pada aku. Walau pun dia selalu tak ada bila balik rumah Kak Reen, tapi bila dia balik rumah aku dia layan aku cukup baik. Sampaikan aku yakin sangat dengan perasaan dia pada aku,"
"Ye ke ni... atau sebenarnya dia hanya nak pujuk hati kau. Kan dia nakkan anak dengan kau, mungkin nak pujuk hati kau supaya sanggup beranak untuk dia dengan Kak Reen kau tu?"
Aku terdiam mendengarkan kata-kata Suzana. Benarkah begitu? Benarkah dia cuma mahukan anak yang ku kandungkan ini? Mungkinkah sebenarnya dia berpura-pura mencintai diriku untuk tujuan itu. Mungkinkah sebenarnya dia hanya inginkan anak ini tanpa memerlukan aku sebagai isterinya?
Atau dia terlalu sibuk di sana sehinggakan tiada masa untuk kami berbual mesra seperti selalu. Ah... sungguh aku tidak mengerti suamiku ini. Sikap ini menimbulkan rasa sebak di hati. Sungguh aku amat tersinggung dengan layanannya padaku ketika berjauhan begini.
Lalu akhirnya aku tidak lagi menelefonnya. Hanya menanti dan terus menanti dia menghubungiku. Terasa bagaikan menunggu buah yang tidak jatuh. Sesungguhnya dia terlalu komited dengan apa sahaja yang dilakukan di sana. Sehinggakan dia lupa ada hati-hati yang merinduinya di sini.
Selepas seminggu, demam sudah lama kebah. Tetapi, pening kepala sedikit pun tidak berkurangan. Tidak mampu untuk aku gambarkan betapa sakitnya ketika ia datang menyerang. Kesihatanku memang benar-benar terganggu, batuk dan sakit tekakku menjadi-jadi.
Walaupun dalam keadaan yang lemah begitu, aku tidak mengambil cuti sakit. Aku lebih rela menghabiskan masa di tempat kerja daripada tinggal di rumah sendirian. Lagipun terlalu banyak kerja yang aku perlu selesaikan memandangkan peperiksaan akhir semester akan berlangsung tak lama sahaja lagi.
Pelajar-pelajar Profesor Suriani pasti memerlukan bantuanku saat itu untuk kerana peperiksaan akhir semester akan berlangsung tidak lama lagi. Jawatanku sebagai Pembantu Penyelidik Prof Suriani merangkumi semua tugas-tugas membuat penyelidikan untuknya disamping membantu dia melayan kerenah pelajar-pelajarnya.
Selain dari itu, aku juga bertanggungjawab untuk menjadi pembantu pengajar bagi kelas tutorialnya. Tugas yang amat aku senangi. Dan sering dalam hati aku memasang angan-angan untuk menyambung pengajianku ke peringkat yang lebih tinggi.
Aku punya angan-angan untuk menjadi seorang pensyarah. Dan Abang Izwan begitu menyokong keinginanku itu. Tanpa ragu-ragu dia menggalakkan minatku untuk menyambung pengajian. Namun, saat ini aku rasakan masanya belum sesuai. Tunggulah, pasti masa yang sesuai akan tiba nanti.
YOU ARE READING
EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKAN
FanfictionNovel yang diterbitkan semula dalam bentuk ebook. ~~~~~~~~~ Blurb ~~~~~~~~~ Munirah sudah penat. Hidupnya sering dalam kesedihan dan terpaksa membuat pilihan yang begitu mengelirukan dirinya. "Aku tak suka kau bawa sikap buruk kau itu kepada Sarah...