Bab 16

1 0 0
                                    


Semalam, masih bagaikan mimpi.....

Kepulangan Abang Izwan aku tunggu penuh sabar. Sehingga malam dia masih lagi belum tiba. Menurut Kak Reen semalam, dia akan tiba dengan penerbangan jam 5.25 petang dari London. Namun hingga jam 12.00 tengah malam begini, dia masih lagi belum menghubungiku. Mungkin terlalu sibuk dengan sambutan Kak Reen atas kepulangannya hinggakan dia lupa pada diri ini.

Ada rasa terkilan di hati bila hakikat ini aku terpaksa terima. Aku hanya orang ke tiga dalam hubungan ini. Pastinya dia mendahului Kak Reen dalam apa-apa urusan. Aku akur dengan takdir itu. Namun, tak kanlah untuk menghubungiku dengan telefon pun dia tidak mampu?

"Awak tu perlukan rehat. Jangan disebabkan tak tidur malam ni, tekanan darah naik pulak. Lagilah lambat awak dapat keluar dari wad ni. Atau, memang awak nak terus tinggal kat sini?"

Leteran jururawat yang bertugas malam itu mengganggu ketenanganku. Ah, kenyataan yang menyakitkan hati itu aku buat tidak endah sahaja. Bukan aku tidak mahu tidur tetapi aku tidak mampu melelepkan mata. Namun aku diamkan sahaja. Malas aku untuk bertegang urat menjawab kata-katanya yang aku rasakan begitu menyakitkan hatiku ini. Ada masalah lain yang lebih besar untuk aku tangani sekarang ini daripada memeningkan kepalaku dengan sindiran-sindirannya itu. Ah... buat apa dilayan bicaranya itu.

Aku terlena juga akhirnya. Akur bahawa mungkin hari ini adalah hari giliran Kak Reen. Biarlah... apa aku boleh buat. Bak kata Suzana, bukankah aku yang menempah situasi begini? Entah berapa lama aku terlena aku sendiri tidak pasti. Tapi kekecohan yang berlaku di wad itu tiba-tiba mengganggu lenaku. Aku tersedar apabila kecoh suara para jururawat yang bertugas malam itu berbicara sesama mereka. Aku buka mataku perlahan.

Kelihatan beberapa orang jururawat yang bertugas sedang menolak salah seorang pesakit yang sama-sama ditahan di wad ini. Masalahnya aku tidak pasti, tetapi menurut salah seorang jururawat yang biasa datang berbual denganku, wanita itu mengandung dengan masalah placenta previa iaitu urinya berada di bahagian bawah rahim. Dia sering mengalami pendarahan dan sememangnya menunggu waktu untuk melahirkan anaknya itu melalui pembedahan. Mungkin malam ini sudah tiba masanya untuk dia di bedah.

Aku membetulkan kedudukkan baringku. Demi sahaja aku berpaling ke sisi sebelah kiriku, aku terpandangkan wajahnya. Dia sedang lena dibuai mimpi disebelahku. Dia sedang duduk di kerusi bersebelahan katilku. Kepalanya dilentukkan ke sisi katil dan matanya terpejam rapat. Ya Allah, suamiku yang baru sahaja pulang dari perjalanan yang cukup panjang kini sedang lena sambil melentukkan kepalanya di katilku.

Sungguh terharu aku melihatkan dia begitu. Sangkaku dia tidak akan datang malam ini. Sangkaku dia sedang gembira melayari malam nan indah ini bersama Kak Reen. Rupa-rupanya dia di sini, tidur dengan memanggung kepala di sisi katilku. Pastinya keadaan ini cukup tidak selesa baginya.

Rasa bersalah terus menyelinap masuk ke dalam hati. Kesihan dia kerana terpaksa tidur dengan keadaan yang tidak selesa begini. Perlahan, dengan cukup perlahan sekali jejariku mengusap lembut di pipinya. Tumpah segala rasa kasih sayangku untuknya. Bercambur baur dengan rasa bahagia yang begitu damai mengelus lembut di tangkai hatiku.

Tanpa ku duga, perlahan sekali dia membuka matanya. Mata kami bersatu. Membawa satu rasa yang sungguh aku tidak mengertikan. Satu rasa yang membawa seribu kebahagiaan di hati ini. Membasuh segala resah dan rindu yang aku simpan dalam hati. Dan senyuman yang aku rindukan sejak sekian lama perlahan terukir di bibirnya.

"Hai...,'" bisiknya perlahan. Hanya untuk pendengaranku sahaja.

"Hai...," jawapku juga dengan nada perlahan.

Kali ini jejarinya pula mengusap lembut ke pipiku. Mengelus semua anggota yang ada di wajahku. Mataku, hidungku, pipiku dan akhir sekali menyentuh lembut di bibirku. Lantas aku memegang tangannya, mengucup lembut jejari kasar itu. Meluahkan sejuta rasa yang ada di hatiku saat itu. Lama kami begitu. Meluahkah kerinduan tanpa bicara. Hanya mata yang mengucapkan segalanya.

EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKANWhere stories live. Discover now