BAB 1

11 0 0
                                    

Hari ini, detik sedih itu harus jua ku lalui ...



Seorang demi seorang penumpang MH124 dari Perth ke Kuala Lumpur bangun dan bergerak perlahan meninggalkan pesawat. Aku masih lagi melekat di tempat duduk. Kalau boleh tidak mahu rasanya aku meninggalkan pesawat ini. Kalau boleh ingin sahaja aku kembali semula ke Perth. Tak ingin rasanya aku untuk menjejakkan kaki ke bumi Malaysia yang telah tiga tahun aku tinggalkan. Kalaulah aku mampu berbuat begitu, pasti itulah yang akan aku lakukan.

Akhirnya aku turut bangun sebaik sahaja melihat semua penumpang sudah meninggalkan pesawat. Aku menarik nafas panjang-panjang. Kemudian perlahan-lahan nafas itu aku lepaskan. Mengumpul semua kekuatan yang ada dalam diri. Beg sandang yang terletak di tempat letak bagasi aku capai dengan perasaan serba-salah. Memang sejak semalam lagi perasaan ini melanda hatiku. Kalaulah bukan kerana aku terikat dengan kontrak perjanjian dengan universiti tempat aku bekerja, pasti aku teruskan dengan niatku untuk menetap di Perth. Tempat itu lebih memberikan ketenangan kepada diri ini. Walaupun sering rasa rindu itu terus-terusan mengganggu ketenangan yang aku kecapi di sana.

Rindu. Sememangnya itulah satu-satunya perkataan yang melekat dalam sanubari. Sejak tiga tahun pemergianku perasaan itulah yang kemas tertanam dalam hati. Tapi, rindu pada siapa? Pada dia? Atau pada Sarah? Pada Sarah sudah pasti. Ibu mana yang tidak merindui anaknya. Tambahan lagi bila anak kecil itu terpaksa aku tinggalkan pada usia yang terlalu kecil. Sering saban malam aku menangis meratap nasib diri yang telah ditentukan Allah. Sering kekuatan diri aku cari dengan terus bermunajat, meminta pada Allah. Ini ketentuannya. Maka aku akur pada ketentuan itu.

Tapi bagaimana pula dengan dia? Masih adakah lagi rindu ini pada dia? Sejak hakikat pernikahan kami aku ketahui, rasanya rindu itu sudah mati. Mati bersama dengan kata-kata Kak Reen yang diucapkan lama dulu melalui suratnya. Mati bersama sikapnya yang tidak mengendahkan diriku dulu. Mati bersama keengganannya mendengar kata-kata penjelasan dariku. Semuanya jelas tergambar di situ. Tidak perlu dijelaskan lagi. Dia sememangnya tidak memerlukan diri ini dalam hidupnya. Yang dia mahukan hanyalah Sarah. Bukan aku.

Senyuman pramugari yang memberikan ucapan terima kasih kerana menaiki pesawat ini aku sambut dengan perasaan hambar. Perlahan-lahan aku keluar dari perut pesawat. Pertama kali aku melangkah ke balai ketibaan KLIA, hatiku bagaikan sudah dipenuhi dengan satu tekad. Aku tidak akan diperalatkan lagi. Akan aku teruskan kehidupan ini. Tanpa dia? Itu sudah pasti. Tapi, tanpa Sarah ? Mampukah aku?

****

"Cik, rumah ni macam tak ada orang aje? Gelap aje?"

Aku senyum mendengarkan kata-kata pemandu teksi itu. Kerisauan jelas tergambar di wajahnya.

"Tak apa encik, kawan saya pergi kursus. Dia beritahu dia tinggalkan kunci pada jiran sebelah. Saya dah telefon akak tu masa mula-mula sampai tadi. Dia memang tengah tunggu saya," Jawabku dengan yakin.

"Baguslah kalau macam tu. Saya bukannya apa cik, malam-malam macam ni bahaya kalau tidak ada yang temankan. Sambil buka kunci rumah pun mungkin ada yang boleh datang cekup kita,"

Aku senyum lagi mendengarkan keprihatinan pemandu teksi yang tidak aku kenali itu. Rasa curiga yang bertandang dalam hati sejak dari mula-mula menaiki teksinya tadi terus hilang. Baik rupanya dia. Tadi, semasa menaiki teksi ini aku terus mengambil maklumat tentang teksi ini. Bimbang juga dalam hati kalau-kalau dia melakukan sesuatu yang tidak diingini. Sekurang-kurangnya jika ada apa-apa yang berlaku, dengan mudah aku boleh membuat laporan polis nanti. Kata-kata Suzana yang mengingatkan aku tentang situasi di bandaraya Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini masih lagi terngiang-ngiang lagi di telinga.

EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKANWhere stories live. Discover now