Kisah semalamku... mimpi indah kah itu...?
Memang sesungguhnya hidup bermadu bukanlah satu kehidupan yang semanis madu itu sendiri. Aku sendiri masih tercari-cari bagaimana mulanya nama itu boleh dipilih untuk menggambarkan kehidupan berpoligami. Mungkin itulah yang menyebabkan Allah telah menyediakan Payung Siti Fatimah untuk para isteri yang redha dengan kehidupan berpoligami. Derita hati tuhan sahaja yang tahu. Bisikan syaitan yang sering menggoda, supaya timbul rasa cemburu dan iri hati bukanlah mudah untuk disingkirkan dari mengganggu ketenteraman di jiwa. Sering ia merenggut-renggut perasaan ketika leka itu datang bertakhta di hati.
"Kau ni kenapa Unie, awal-awal lagi dah sampai kat rumah aku ni," tanya Suzana apabila aku melangkah masuk ke rumahnya pagi Ahad itu.
"Tak bolehkah aku datang? Atau kau ada plan lain ke hari ni?" kataku pantas. "Maaflah... sebab tak telefon dulu. Selepas mandi tadi aku terus bersiap dan datang ke mari,"
Saat itu hatiku merasa sungguh sebak dek rasa rindu yang membuak-buak pada Abang Izwan. Sudah dua hari dia di rumah Kak Reen. Hari ini hari Ahad. Kebetulan minggu ini adalah giliran Abang Izwan menghabiskan hujung minggunya di rumah Kak Reen. Termasuk hari ini sudah tiga hari dia di sana.
Awal pagi lagi dia sudah menelefonku bertanyakan khabar. Menitipkan rindu di skrin telefon bimbitku dalam keadaan bersembunyi. Katanya saat itu dia menelefonku dari dalam bilik mandi. Tidak mahu Kak Reen berkecil hati jika dia tahu kami berhubungan di kala Abang Izwan sepatutnya berada di sisinya. Dia terpaksa akur dengan janjinya untuk adil dalam menetapkan giliran kami. Walaupun saat ini dia juga merinduiku separuh mati katanya.
Sebelum dia menghubungiku pagi tadi, aku sudah akur dengan keadaan ini. Telah dapat menerima segalanya dengan penuh redha. Tapi, demi sahaja aku mendengar bicaranya, aku terus jadi sebak. Lantas aku mengambil keputusan untuk ke rumah Suzana. Menghabiskan hujung mingguku bersamanya.
"Tak ada... Cuma tengahari ni aku ingat nak pergi Mid Valley kejap. Dah lama tak pergi ronda-ronda kat sana. Bolehlah singgah MPH jap. Intai novel baru. Yang ada dalam koleksi semua dah dibaca,"
"Ok... bolehlah aku ikut nanti," jawapku sambil tersenyum puas.
"Eh... engkau tu dah jadi isteri orang. Tak marah ke Abang Izwan kau tu nanti kalau keluar merambu dengan anak dara macam aku ni. Hari ni giliran dia kat sana ye. Itu yang kau cari aku tu. Kalau tak, nak tanya khabar aku pun kau malaskan?"
Aku cuma senyum bodoh untuk menutup rasa bersalahku. Memang itu yang berlaku. Sepanjang tempoh dua minggu selepas bernikah, aku sekalipun tidak pernah menelefonnya bertanyakan khabar. Terlalu indah detik-detik bersama Abang Izwan aku rasakan. Hinggakan aku lupakan segalanya. Hanya dia yang memenuhi segenap ruang hidupku saat dia di sisi.
"Jom breakfast, aku beli nasi lemak ni tadi kat gerai dekat rumah aku tu. Sedap tau. Ada sambal tumis kerang ... ada rendang lagi....mmmm," kataku untuk cuba melarikan diri dari topik yang Suzana persoalkan.
"Itu nak lari dari topik la tu...," katanya sambil matanya menjeling padaku.
Bibirnya menguntum senyum. Biar pun betapa sinisnya aku rasakan senyuman itu, aku tetap membalasnya. Dia satu-satunya teman yang sanggup menerima keputusanku walau bagaimana bodoh sekalipun keputusan yang aku buat. Sesungguhnya dia memang tidak suka pernikahan ku dengan Abang Izwan. Dia menentangnya habis-habisan sebelum kami bernikah. Tetapi setelah keputusan itu aku ambil, dia akur. Malah dia sanggup mendoakan kebahagiaan untukku. Dan saat ini hanya dia yang ada untukku. Satu-satunya teman yang mampu menceriakan perasaanku.
Kami duduk menghadap sarapan pagi yang aku bawa. Dua cawan milo 'kaw' yang masih berasap dia sediakan untuk kami. Tanpa sepatah kata aku menikmati nasi lemak yang memang ternyata sedap itu. Nasi lemak Kak Timah ini diperkenalkan oleh jiranku kepada Abang Izwan semasa kami mula-mula berpindah ke rumah sewa selepas berkahwin tempohari. Dan disebabkan tidak mahu kehabisan nasi inilah, maka pagi-pagi lagi aku sudah keluar rumah. Selepas membeli, aku terus memandu ke rumah Suzana.
YOU ARE READING
EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKAN
FanfictionNovel yang diterbitkan semula dalam bentuk ebook. ~~~~~~~~~ Blurb ~~~~~~~~~ Munirah sudah penat. Hidupnya sering dalam kesedihan dan terpaksa membuat pilihan yang begitu mengelirukan dirinya. "Aku tak suka kau bawa sikap buruk kau itu kepada Sarah...