Bab 5

5 0 0
                                    




Mak Ngah merenung wajah Kak Reen dengan penuh rasa marah. Kami sama-sama tidak menyangka itu keputusan yang diambilnya dalam menangani kemelut dalam perhubungan ini. Mengapa begini cepat Kak Reen mengalah? Tidakkah dia tahu dia punya hak dalam sebuah perkahwinan. Tidakkah dia tahu bahawa mengikut syarat berpoligami di Malaysia, si suami tidak boleh berpoligami tanpa izin dari isterinya. Mengapakah dengan begitu mudah dia mengizinkan Abang Izwan mengambil kesempatan dari kekurangan dirinya?

"Reen tak boleh terus mengalah macam ni. Kan ada syarat-syarat kalau dia nak kahwin lagi satu. Sekurang-kurangnya Reen periksalah dulu syarat-syarat tu. Manalah tahu ada syarat yang tidak dia tak ada," kata Mak Ngah.

"Reen dah periksa mak. Apa daya yang ada pada Reen? Reen mandul mak, mandul. Doktor dah sahkan dua tahun yang lalu. Itu alasan utama dia untuk kahwin dengan Unie...."

"Tak boleh ke kalau Kak Reen pergi periksa balik? Sahkan semula? Get a second opinion. Mungkin doktor tu buat silap Kak Reen.,"

"Unie please, don't be ridiculous ok?" kata Kak Reen sambil memandangku dengan perasaan tak percaya. Dia diam seketika. Matanya dilarikan semula dari wajahku. Mungkin tidak sanggup menatap wajah yang menyiksa batinnya saat ini. Aku mengetap bibir menahan sebak. Kak Reen berhak untuk rasa benci dan sakit hati padaku. Aku yang saat ini, tanpa ku sedari, rupa-rupanya sedang merampas kasih Abang Izwan darinya.

"Kak Reen dah tak sanggup lagi nak lalui semua tu. Dulu, Kak Reen terpaksa sebab nak tahu. Sekarang .... kalau diminta lalui semua tu balik, akak dah tak sanggup Unie," katanya sambil menggelengkan kepada. Mak Ngah turut sama menggelengkan kepalanya.

Mungkin dia tidak mahu lagi melalui prosedur rawatan yang memalukan dirinya itu. Melihatkan resahnya itu aku jadi cukup simpati padanya. Ini satu-satunya ketentuan Allah yang tidak mampu untuk dia sangkal lagi. Wanita manakah yang sanggup untuk menerima hakikat yang dirinya mandul. Kalau aku berada di tempatnya pasti aku juga akan cukup sedih dengan kegagalan ini.

"Kalau ikutkan undang-undang di negara kita ni pun, itu salah satu syarat utama yang dia boleh jadikan alasan untuk dapatkan kebenaran untuk kahwin lain mak. Lagipun syarat lain semua dia ada. Dia mampu, zahir dan batin. Dia mampu beri layanan sama rata kepada isteri-isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak," kata Kak Reen dengan nada suara yang lemah. Lemah kerana sedikit pun dia tidak berupaya untuk menolak hakikat bahawa Abang Izwan layak untuk berkahwin lain mengikut syarak dan juga undang-undang di Malaysia.

"Tapi kak, Unie... boleh tolak. Unie boleh kata Unie tak setuju kak...,"

"Tolonglah Unie. Akak rayu pada Unie. Terima saja lah Abang Wan. Akak kenal Unie. Kalau Unie tak nak, dia mungkin akan kahwin juga dengan orang lain. Dengan siapa pun dia kahwin, hati akak ni memang tetap akan terluka. Akak tetap akan sedih. Jadi biarlah orang yang dia akan kahwini tu yang dia memang betul-betul suka..., sekurang-kurangnya berbaloilah kalau dia sakitkan hati akak ni...,"

Pada pendengaranku suaranya menggambarkan yang dia sedang berjauh hati. Sedih tak dapat aku bendung lagi. Perlahan-lahan airmata di pipi jatuh berjuraian. Kesian pada Kak Reen. Ini pengorbanan yang terpaksa dia lakukan demi untuk menzahirkan kehendak hati seorang suami. Sungguh aku kagum dengan pengorbanannya. Dalam hati aku berdoa semoga Allah mencucuri rahmat kepadanya. Dia isteri yang solehah. Cuma, aku cukup-cukup berharap supaya Abang Izwan menghargai pengorbanannya itu.

Bagaimana pula dengan aku? Bukankah aku juga terpaksa berkorban? Mana mungkin aku mampu menolak permintaan Kak Reen ini? Sudah terlalu banyak budi dan jasa yang diberikan untukku oleh Mak Ngah dan Kak Reen sekeluarga. Sejak dari kecil aku dijaga mereka dengan penuh kasih sayang. Tidak sedikit pun aku dibezakan dari anak-anaknya yang lain. Sejak kematian Pak Ngah tiga tahun yang lalu, aku masih terus dianggap seperti anaknya. Walaupun sebenarnya pertalian darahku adalah dengan Pak Ngah, abang kepada arwah ayahku.

EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKANWhere stories live. Discover now