Satu demi satu pakaian Abang Izwan aku susun dalam almari. Tertanya dalam hati, berapa lama dia akan bersama denganku. Melihatkan bilangan pakaian yang dibawa, aku meneka mungkin seminggu. Setahu aku mengikut sunnah Rasulullah sallallahu'alayhiwasallam, seorang lelaki yang menikahi seorang gadis, giliran malam pertama mereka adalah selama tujuh hari. Manakala jika dia menikahi seorang janda, gilirannya adalah tiga hari. Selepas pada itu lelaki itu perlulah memastikan gilirannya adalah adil untuk kedua-dua isterinya.
Aku pasti tidak akan mampu bertanya padanya tentang perkara ini. Jika dia ingin memberitahuku nanti, aku hanya mampu mendengar. Yang nyata aku akan pastikan bahawa dia tidak akan lupa akan gilirannya untuk Kak Reen bila tiba masanya nanti.
Selepas mengemaskan pakaiannya, aku mencapai baju kotor yang telah terkumpul di dalam bakul yang sedia ada di dalam bilik itu. Aku perlu mencucinya malam ini juga. Kenduri di pihaknya akan diadakan esok. Katanya majlis yang akan diadakan di rumahnya itu juga ringkas. Aku akur dengan kenyataannya itu. Mungkin untuk menjaga hati Kak Reen. Siapalah aku, cuma isteri kedua yang mungkin tidak layak untuk diraikan dengan meriah. Pernah dulu aku mengangankan, jika berkahwin aku akan adakan satu majlis perkahwinan yang gilang-gemilang. Yang akan terkesan di hati setiap yang mengunjunginya. Walaupun waktu itu langsung tidak pernah terlintas di hati ini siapa gerangan pengantin lelakinya. Pergilah... pergi semua angan-anganku. Jangan datang lagi jika hanya untuk membawa duka di hati.
Mengenangkan Kak Reen hatiku sebak lagi. Mataku liar mencari di mana letaknya telefon bimbitku. Akhirnya aku temui ia di atas meja solek. Perlahan-lahan aku meletakkan kembali bakul yang berisi kain kotor yang sejak tadi dalam genggamanku. Aku menghampiri telefon itu dengan rasa yang cukup serba-salah. Perlukah aku menghubunginya? Perlukah aku memberitahunya yang kami telah selamat diijabkabulkan? Bila aku kenangkan kesungguhannya untuk menyatukan kami, aku jadi serba-salah. Mungkinkah hatinya akan terguris jika aku tidak menghubunginya dan terus mendiamkan diri begini? Tapi jika aku hubunginya pula, aku yakin hatinya tetap akan terguris juga.
Pintu bilikku terkuak perlahan. Hatiku yang sejak tadi gundah mengenangkan Kak Reen jadi semakin resah bila susuk tubuh Abang Izwan aku lihat berdiri di muka pintu. Perlahan dia masuk dan menutup pintu bilik. Debaran di dada makin kencang. Hilang segala rasa gundah dek mengenangkan Kak Reen sebentar tadi. Timbul pula resah yang membadai hati kerana perlu berdepan dengan lelaki ini. Itulah pertama kali aku bersendirian dengannya dalam suasana yang penuh privasi. Sungguh aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Dia senyum sambil memandang dari atas ke bawah. Matanya yang disimbah rasa bahagia terus tertancap pada bakul kain kotor di sisi kakiku dan telefon bimbit di tanganku. Perlahan dia menghampiri diriku yang ternyata kini sudah tidak mampu untuk bergerak.
"Tengah buat apa ni?" dia bertanya perlahan. Telefon di tanganku diambil dan diletakkannya kembali ke meja solek.
"Nak telefon siapa? Atau ada yang call....? Nak ganggu kita?" Bibirnya terus menguntum senyum nakal. Mengusikku dalam diam. Aku cuma menggelengkan kepala.
"Ni... bakul kain ni kenapa pula ada kat sini?" tanya dia lagi.
"Unie ingat... nak basuh kain tadi...," ucapku perlahan.
Dia senyum. Mungkin dapat merasakan keresahan hatiku saat itu. Tanganku diraihnya, lantas menarikku untuk sama-sama duduk di sofa yang terletak bertentangan dengan katil.
"Tak sabar ye nak buat kerja rumah ...?"
Meleret suaranya berkata-kata. Aku diam, bibirku bagaikan beku saat itu. Hanya debar di hati yang aku dengarkan. Dup dap dup dap, membawa resah ke seluruh tubuhku. Renungannya yang tajam menggoda itu terus-terusan membuatkan aku serba salah. Tak pasti apa yang patut aku lakukan.
YOU ARE READING
EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKAN
FanficNovel yang diterbitkan semula dalam bentuk ebook. ~~~~~~~~~ Blurb ~~~~~~~~~ Munirah sudah penat. Hidupnya sering dalam kesedihan dan terpaksa membuat pilihan yang begitu mengelirukan dirinya. "Aku tak suka kau bawa sikap buruk kau itu kepada Sarah...