Semalam, segalanya bermula di sini ...
Keresahan hati Kak Reen dapat aku lihat ketika kami bertemu petang itu. Pertemuan yang mengundang seribu persoalan di hati ini. Untuk apa pertemuan ini? Saat dia meminta aku menunggunya di taman permainan di kawasan perumahan yang aku sewa ini, aku jadi terpana. Mengapa perlu di sini? Terlalu peribadikah persoalan yang ingin dibicarakan ini? Sehinggakan dia tidak mahu berbicara di rumah sewaku. Mungkin bimbang jika ada yang akan mendengar apa yang ingin disampaikannya itu. Bimbang rakan-rakan yang menyewa bersamaku akan dapat menelah masalahnya itu.
Tidak pernah kami bertemu di tempat lain selain dari waktu kebetulan kami sama-sama pulang ke rumah Mak Ngah. Sememangnya sejak lima tahun kebelakangan ini aku cuba mengelak dari bertemu dengannya. Bukan mengelak dari dia sebenarnya tetapi dari bertemu dengan Abang Izwan, suaminya.
Sejak mereka kahwin lima tahun lalu, hidup ku tak sudah-sudah diganggu oleh Abang Izwan. Seminggu sebelum mereka kahwin, Abang Izwan menjadi penunggu setia di hadapan rumah sewaku. Kebetulan tempat kerjanya di Bangi berdekatan dengan kampus pengajianku di Serdang. Pagi dia pasti akan menungguku di depan rumah sewa. Aku tidak tahu bagaimana dia tahu di mana letaknya rumah sewaku itu.
Masih ku ingat lagi, dalam pertemuan itu dia mengajak aku berkahwin. Dia sanggup meninggalkan Kak Reen katanya. Sanggup menghancurkan harapan kakak sepupuku itu. Sanggup memalukan emaknya yang mengatur pernikahannya dengan Kak Reen. Katanya, pasti nanti emaknya akan dapat menerima kami semula sekiranya kami pandai mengambil hati orang tua itu. Tapi, sanggupkah aku? Sanggupkah aku melukakan hati seorang yang aku hormati? Seorang yang sering menjadi tempat aku mengadu selama ini. Seorang yang amat mengambil berat pada diriku sejak semua ahli keluargaku pergi lama dahulu.
Tidak ... aku tidak akan sanggup melakukan itu. Kasihku pada Mak Ngah dan Kak Reen lebih dalam dari cintaku padanya. Memang dulu aku mencintai dirinya. Tapi, bagiku itu cuma cinta monyet yang aku lalui di zaman remaja. Hadirnya hanya seketika. Bagaikan monyet, melompat ke dahan yang lain, perasaan itu berubah. Tapi yang nyata dia tidak begitu.
Katanya cintanya bagaikan sungai yang mengalir ke lautan. Semakin jauh alirannya, semakin luas sungai itu. Dan bila tiba ke destinasinya, cinta itu menjadi seluas lautan. Sungguh hati ini jadi terpana dengan kata-kata itu. Hampir di luar sedar aku tergoda, terpesona dengan lembut bicaranya. Nasib baiklah aku mampu kembali ke alam nyata. Menolak cintanya yang hadir pada saat yang sungguh tidak sesuai.
Waktu itu aku baru sahaja memulakan pengajianku di tahun pertama. Tumpuan sepenuhnya adalah untuk pengajianku. Bukan untuk cinta, malah jauh lagi untuk berumah tangga. Dan waktu itu juga tidak sesuai untuk dirinya. Dia akan berkahwin dalam masa tujuh hari. Dengan kakak sepupu aku sendiri.
Kecewa Abang Izwan padaku waktu itu tidak lama. Selepas dari itu saban hari dia terus menungguku. Semua rutin harianku dalam pengetahuannya. Aku sendiri tidak tahu bagaimana dia mengetahui jadual waktu kuliah ku. Pagi dia setia menungguku di rumah sewa. Dia menghantar aku sebelum masuk kerja. Petang pula dia menungguku di pintu pagar fakulti. Seminggu dia lakukan itu. Dan aku dalam serba salah, tak mampu mengelakkan diri dari perhatiannya. Sehingga ke hari terakhir dia bekerja sebelum mula bercuti untuk majlis pernikahannya. Aku merayu supaya dia menerima takdir yang ditentukan ini.
Waktu itu, ada rasa hairan berbisik di hati. Mengapa dia tidak berterus terang sahaja pada Kak Reen. Kalau benar-benar dia cintakan aku mengapa dia tidak nekad untuk meneruskan hubungan kami seperti yang sering dikatakannya. Mengapa kata-kata itu hanya yang diluahkan padaku? Mengapa dia tidak berani untuk menghadapi semua orang terutamanya emaknya dan Kak Reen. Dia tidak berani meluahkan semua yang pernah diucapkan ke telingaku kepada mereka.
YOU ARE READING
EBOOK : SEMALAM YANG KUTINGGALKAN
FanfictionNovel yang diterbitkan semula dalam bentuk ebook. ~~~~~~~~~ Blurb ~~~~~~~~~ Munirah sudah penat. Hidupnya sering dalam kesedihan dan terpaksa membuat pilihan yang begitu mengelirukan dirinya. "Aku tak suka kau bawa sikap buruk kau itu kepada Sarah...