PROLOG

370 17 0
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

...

SELURUH dunia seakan terhenti. Perlahan-lahan air matanya jatuh melalui lekuk pipi. Wajah diraup namun tak mampu dia menahan esakan yang terbit dari celah bibir. Badannya terasa lemah. Sayf pejamkan mata. Liur ditelan payah. Rengkung terasa sempit. Tidak berdaya rasanya mahu bersuara. Dia benar-benar rapuh kala ini.

Ya Allah... hatinya menangis hiba.

Sungguh dia tidak kuat. Dia sudah mencuba tapi tak dia temui titik terang untuk menyelamatkan rumah tangganya. Entah sudah berapa kali dia memujuk, berbincang, malah sanggup bekerja dari rumah semata-mata mahu meluangkan masa bersama isteri. Namun, apa lagi hendak dia pertahankan jika ini adalah persetujuan mereka bersama. Tidak pernah terlintas di fikirannya akan jadi sebegini.

Enam tahun berkongsi hidup bersama Nufa membuatkan Sayf sangat bahagia. Menjalani hari-hari bersama wanita yang dicintai adalah hal yang mahu dia lakukan hingga hujung hayat. Tapi, tegakah dia melihat Nufa dihukum kerana satu kekurangan? Tidak. Hatinya turut sama hancur tatkala kutukan dan hinaan dilemparkan pada isteri. Apatah lagi ia keluar dari mulut keluarga sendiri.

"Abang minta maaf," ujarnya dalam nada perlahan. Bibir digigit. Dadanya sesak dan sebu. Tangan semakin kuat menggenggam fail berisi dokumen penceraian itu. Sayf menunduk, membiarkan air matanya jatuh menitik ke bawah.

"Saya juga nak minta maaf atas salah dan silap selama enam tahun kita bersama. Maafkan saya sebab banyak kekurangan..." Nufa tersenyum tawar menunjukkan dia ikhlas dan redha meskipun hatinya bagai ditumbuk lumat.

"Nufa jangan cakap macam tu. Abang yang banyak kekurangan..." Sayf panggung kepala. Saat ini, mahu sahaja dia tarik tubuh Nufa masuk ke dalam pelukan. Rindu sudah datang menerpa.

Nufa menggeleng. Tidak bersetuju dengan kata-kata Sayf. Butakah lelaki itu yang banyak cacat cela adalah dia? Butakah lelaki itu yang dipandang jelek adalah dia? Butakah lelaki itu yang tak mampu berikan zuriat adalah dia?

Kenapa Sayf menafikan jika yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka adalah dia? Atau Sayf pura-pura buta hanya kerana lelaki itu cinta mati padanya? Atau Sayf pura-pura lupa hanya kerana ingin menyedapkan hatinya yang sedia terluka?

Nufa tidak mahu memaksa Sayf terus bersamanya yang serba kekurangan ini. Benar kata ibu mentua, salah satu penyeri rumah tangga itu adalah anak dan dia tidak mampu berikan Sayf anak. Lima tahun dia diasak dengan soalan sama, dipulaukan oleh keluarga suami, dijadikan bahan ejekan dan digelar wanita mandul. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu.

Sekian lama bertahan, dia beralah, mengalah dan menyerah bila mana ibu mentua memintanya mengizinkan Sayf berpoligami. Isteri mana yang mahu berkongsi kasih suami dengan wanita lain?

Dia sudah banyak menjaga hati orang lain, lantas biarlah kali ini dia menjaga hati sendiri walau nyata dia dan Sayf sama-sama terluka. Perpisahan ini adalah jalan terbaik buat mereka berdua. Pasti ramai hati bersorak kemenangan dengan runtuntuhnya masjid yang mereka bina terutama dari pihak Sayf.

"Awak dah cukup sempurna di mata abang. Isteri yang baik dan solehah. Abang aje yang tak mampu jadi seorang suami yang baik buat Nufa." Suara parau Sayf kedengaran bergetar. Tenggelam timbul nadanya namun masih jelas didengari oleh Nufa.

"Abang berhak bahagia dan kebahagiaan abang bukan dengan saya."

Segala yang terjadi dalam kehidupan mereka adalah kehendak-Nya. Ikhlas dan redha, itu saja pilihan yang mereka ada.

Kembali Cinta | OGWhere stories live. Discover now