NUFA menoleh ke arah pintu apabila terdengar bunyi loceng angin bergema kuat. Loceng angin berbentuk kulit kerang itu akan menghasilkan bunyi apabila pintu dibuka. Nufa meletakkan sejambak bunga mawar putih yang belum siap digubahnya ke atas kaunter. Dari muka pintu, dia melihat Izham masuk sambil menjinjing beg kertas berwarna coklat.
Nabil Izham, satu-satunya abang yang Nufa ada. Dahulu sewaktu dia baru mula meningkat remaja, Nufa pernah bertanya pada ibu dan ayahnya mengapa dia hanya ada seorang abang sahaja sedangkan kawan-kawan yang lain mempunyai ramai adik-beradik.
Selepas tiga tahun melahirkan Nufa, Puan Dahlia disahkan mempunyai ketumbuhan fibroid sehingga mengalami komplikasi pendarahan berterusan tanpa henti. Atas saranan doktor serta persetujuan ayah mereka, rahim ibunya terpaksa dibuang sepenuhnya demi kebaikkan.
Encik Fadhil, ayah mereka berkata bahawa setiap ujian dalam dunia ini bukan sesuatu yang sia-sia melainkan ia adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Terimalah ujian itu dengan hati yang redha. Allah SWT tidak akan memberi ujian melebihi dari batas kemampuan seorang hamba-Nya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 yang bermaksud : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya."
Bermula pada saat itu, Nufa tidak pernah lagi mempersoalkan mengapa dia tidak mempunyai adik-beradik lain selain Izham.
"Assalamualaikum cik adik! Termenung jauh nampak. Fikir fasal apa tu?" Izham tersenyum seraya menjongketkan kening.
Nufa menggaru kepala yang dilitupi khimar. Dia tersengih malu apabila Izham perasan dirinya sedang termenung.
"Waalaikumussalam. Tak fikir fasal apa pun. Cuma teringat kenangan lalu." Ujarnya jujur.
"Kenangan dengan bekas suami ke?"
"Ish! Bukanlah!" Mata Nufa membulat. Tangannya laju mengambil sekuntum bunga mawar putih tadi lalu dipukul lembut ke arah bahu abangnya.
Izham tergelak dengan tindakan Nufa.
"Manalah tahu tiba-tiba ada rasa rindu."
Nufa mencebik. Dia tidak mengiyakan apa yang dikatakan oleh Izham, tidak juga menafikan.
"Dah jadi bekas suami." Ujar Nufa sambil menyambung kerjanya yang tertangguh.
"Tak salah rindu dia. Kalau masih ada jodoh, dari bekas suami pun boleh jadi suami balik." Gurau Izham seraya menghulurkan beg kertas yang dibawanya kepada Nufa. Beg kertas tersebut bertukar tangan.
Keluhan berat terlepas dari mulut Nufa. Secara jujur dia tidak mahu topik perbualan ini mengarah kepada kisah lalu. Namun, ada persoalan yang memerlukan jawapan ketika ini. Sudah dua tahun dia menahan diri, sekarang adalah masa yang sesuai untuk dia bertanya kepada Izham.
YOU ARE READING
Kembali Cinta | OG
Romance𝐒𝐀𝐘𝐅 𝐀𝐑𝐒𝐀𝐋𝐀𝐍 | 𝐍𝐔𝐅𝐀 𝐄𝐋𝐍𝐀𝐔𝐑𝐀 𝓜𝓪𝓼𝓲𝓱 𝓜𝓮𝓷𝓰𝓱𝓾𝓷𝓲 𝓗𝓪𝓽𝓲 𝓨𝓪𝓷𝓰 𝓢𝓪𝓶𝓪... Ini kisah cinta antara mereka. Pincang terhenti di tengah jalan, Pertemuan mereka tidak dirancang, Kembali cinta agar kisahnya sempurna. Jika...