ALEXANDRIA : KEMBALI CINTA
"Atas Izin-Nya Kita Dipertemukan"˖✿˖
PUAN Dahlia mendekati gazebo halaman rumah sambil membawa dulang. Hari ini dia dan suaminya mempunyai tetamu. Puan Dahlia meletakkan satu pinggan kecil berisi pisang goreng dan dua cawan kopi susu di atas meja. Dulang kosong dia letak di tepi meja.
"Ibu tak payahlah susah-susah buat semua ni." Sayf garu belakang tengkuk. Serba salah pula melihat Puan Dahlia menyediakan minum petang.
"Tak susah pun Sayf. Lagi pula ibu jarang dapat tetamu. Hari ini ibu bersyukur sangat kamu datang, ada juga ibu nak buat dekat dapur tu." Ujar Puan Dahlia seraya duduk di sebelah Encik Fadhil.
"Ayah pun bersyukur sangat kamu datang. Ada juga teman borak ayah walaupun tak lama." Kata Encik Fadhil pula. Perlahan saja nada suaranya, kedengaran sayu. Entah mengapa hatinya dirundung perasaan sebak. Semenjak kedua-dua orang anaknya tinggal di Alexandria, dia dan isteri sudah tidak berteman lagi di rumah ini. Berdua tanpa suasana riuh keluarga. Ibu bapa mana yang tak rindu suara gelak tawa anak apabila anak jauh beribu batu? Rindu itu pasti ada.
Sayf tersenyum. "Sayf minta maaf dengan ibu dan ayah sebab lama tak datang ziarah."
"Kenapa kena minta maaf? Sepatutnya ayah dan ibu yang minta maaf pada kamu sebab semenjak Nufa tak ada di sini, kamu selalu datang ziarah ayah dan ibu. Selalu ambil berat, tanya khabar, tak pernah lupakan kami. Segan ayah dibuatnya padahal kamu bekas suami Nufa tapi keprihatinan kamu pada kami berdua tak berkurang sedikit pun." Encik Fadhil menggosok bahu Sayf. Dia tidak akan lupa kebaikan yang dilakukan oleh Sayf. Sepanjang Sayf menjadi suami Nufa walhal sudah bercerai pun, Sayf tetap menganggap dia dan isterinya orang penting dalam hidup lelaki itu.
"Sayf anggap ayah dan ibu macam keluarga kandung Sayf. Sejak kecil Sayf tak pernah merasa kasih sayang seorang ayah. Bila kahwin dengan Nufa, Sayf beruntung sebab diberikan keluarga mertua yang baik. Sayf dapat menumpang kasih sayang ayah." Redup mata Sayf memandang Encik Fadhil dan Puan Dahlia. Dua insan yang sentiasa menerima kehadirannya.
Puan Dahlia menunduk. Bertakung air mata mendengar bicara Sayf. Menusuk ke hati. Dia faham apa yang Sayf rasa kerana dia juga melalui perkara yang sama. Ditinggalkan oleh ayahnya ketika masih berusia 2 tahun. Ketika di mana anak-anak seusianya sedang bermanja bersama ayah mereka, dia pula menangisi pemergian sosok seorang ayah.
"Ayah pun anggap Sayf macam anak kandung ayah. Bagi ayah Sayf, Nufa, Izham dan Nur tak ada beza. Tetap anak-anak kesayangan ayah...Eh! Sayf, minumlah. Sejuk kopi susu yang ibu kamu buat." Encik Fadhil ketawa, cuba menukar suasana. Dia perasan Puan Dahlia menyeka air mata. Tahu benar pasti isterinya teringat akan arwah ayahnya yang sudah lama pergi.
Sayf turut tergelak kecil. Dia menyisip kopi susu yang disediakan oleh Puan Dahlia lalu berdeham. Dia menziarahi Puan Dahlia dan Encik Fadhil hari ini sekaligus ingin menyampaikan hasratnya yang satu.
"Sayf ada terserempak dengan Nufa di Alexandria." Beritahu Sayf membuka topik perbualan baru.
"Ayah dan ibu dah tahu." Kata Encik Fadhil. Dia dan isteri sudah sedia maklum beberapa bulan lalu tentang Sayf dan Nufa yang secara tidak sengaja terserempak di Alexandria. Malah, anak lelakinya Izham turut memberitahu bahawa Sayf ingin kembali bersama Nufa. Jika nak tunggu Nufa buka mulut pasti sampai sekarang dia masih tidak tahu tentang perkara ini. Mujur juga Nufa tinggal bersama Izham dan Nur jadi apa-apa soal anak perempuannya itu, dia dan isteri sentiasa tahu.
"Oh. Err...Ayah dan ibu tahu fasal Sayf nak..." Sayf merapatkan kedua-dua jari telunjuknya. "Dengan Nufa." Sambungnya seraya tersengih.
"Kamu dah fikir panjang nak kahwin dengan Nufa balik? Kamu yakin ibu kamu boleh terima Nufa? Ibu tak nak ungkit kisah lama tapi ibu takut Nufa alami perkara yang sama. Kamu tahu sendiri macam mana teruknya Nufa dihina, dibahan dan dikutuk oleh keluarga kamu dulu. Lagi-lagi Puan Mariam. Dia tak akan berhenti buat Nufa makan hati selagi dia tak puas." Kedengaran risau nada suara Puan Dahlia.
![](https://img.wattpad.com/cover/360610495-288-k824858.jpg)
YOU ARE READING
Kembali Cinta | OG
Romance𝐒𝐀𝐘𝐅 𝐀𝐑𝐒𝐀𝐋𝐀𝐍 | 𝐍𝐔𝐅𝐀 𝐄𝐋𝐍𝐀𝐔𝐑𝐀 𝓜𝓪𝓼𝓲𝓱 𝓜𝓮𝓷𝓰𝓱𝓾𝓷𝓲 𝓗𝓪𝓽𝓲 𝓨𝓪𝓷𝓰 𝓢𝓪𝓶𝓪... Ini kisah cinta antara mereka. Pincang terhenti di tengah jalan, Pertemuan mereka tidak dirancang, Kembali cinta agar kisahnya sempurna. Jika...