AKC | 16

120 8 0
                                    

ALEXANDRIA : KEMBALI CINTA
"Atas Izin-Nya Kita Dipertemukan"

˖✿˖

LAPTOP dan buku teori arkeologi pra-islam dibawa masuk ke bilik bacaan. Tujuannya tidak lain tidak bukan ingin menyelesaikan kerja yang tertunda sepanjang dia berada di Mesir. Kerusi ergonomik menjadi tempat punggung berlabuh. Laptop dan buku tadi diletak atas meja kerja. Kerusi ditarik ke depan agar dia dapat posisi yang selesa. Sebelum pulang ke rumah, dia sempat singgah sebentar ke pejabat untuk mengambil beberapa laporan kajian. Dia lebih selesa melakukan kerjanya di rumah tanpa gangguan.

Jika Nufa masih isterinya pasti sekarang mereka akan berbual lama di dalam bilik sehinggalah wanita itu memejamkan mata tertidur di ribaannya. Dahulu meskipun Nufa seorang suri rumah, lelah wanita itu lebih teruk dari dia yang hanya duduk di pejabat menunggu laporan kajian pekerja lain.

Sayf pulang ke rumah, rumah sentiasa dalam keadaan kemas dan bersih, makanan terhidang di atas meja makan, pakaian kerja siap digosok dan paling penting wajah pertama yang Sayf nampak di depan pintu adalah wajah Nufa. Sentiasa tersenyum menyambut kepulangannya.

Rumah ini menjadi saksi kebahagiaan Sayf bersama Nufa. Dalam rumahtangga pasti ada pahitnya, tiada yang manis sahaja untuk ditelan. Seperti pasangan suami isteri lain mereka berdua juga melalui fasa pergaduhan besar namun tidaklah sampai bermasam muka berhari-hari. Dia tidak akan membiarkan Nufa merajuk terlalu lama kerana jika Nufa merajuk rumah ini seakan-akan sunyi tiada penghuninya.

Sayf membuka laptop lantas butang on ditekan. Beberapa saat kemudian, skrin laptop yang gelap tadi memaparkan gambar sebuah Piramid Giza. Jari-jemari laju menari di atas papan kekunci. Sayf tekun menumpukan perhatian pada skrin laptop.

Klik!

Sayf panggung kepala melihat ke arah pintu bilik. Kelihatan figura Puan Mariam sedang berdiri tegak sambil mengangkat sebuah kotak berwarna coklat. Kening Sayf berkerut. Kotak apa pulak ibunya bawa?

"Boleh ibu masuk?" Tanya Puan Mariam, meminta izin.

Sayf mengangguk tanpa menjawab soalan ibunya. Tertanya-tanya isi yang berada di dalam kotak besar tersebut.

Puan Mariam sengaja menghempaskan kotak besar yang dibawa ke atas meja kerja anak tunggalnya itu. Kotak tersebut dibuka kasar lalu sepasang kain telekung berwarna putih dikeluarkan.

"Ini apa?" Soalnya garang.

"Kamu ini sudah tak waras ke Sayf? Kamu dan Nufa dah bercerai, untuk apa kamu masih simpan semua barang-barang milik dia?!" Telekung kepunyaan Nufa dicampak ke atas lantai tanpa rasa bersalah.

Sayf berlari dan mencapai telekung tersebut. Apa lagi yang membuatkan ibu tak puas hati?

"Sayf dah cakap jangan sentuh barang-barang milik Nufa yang ada dalam bilik Sayf." Dia tidak suka jika barang milik Nufa disentuh oleh orang lain, tidak terkecuali ibunya sendiri. Bagi Sayf barang-barang milik Nufa harus dijaga elok seperti Nufa menjaga harta miliknya sebelum ini.

Puan Mariam tergelak sinis lantas sebotol minyak wangi dikeluarkan.

"Ini...." Minyak wangi itu diangkat tinggi.

PRANG!

Berkecai kaca menjadi serpihan. Isinya tumpah membasahi dinding dan lantai. Semerbak bau wangi memenuhi ruang bilik bacaan. Puan Mariam tersenyum. Puas hati merosakkan barang milik bekas menantunya. Barang-barang yang tidak sepatutnya berada dalam rumah ini lagi. Barang-barang yang sepatutnya lebih layak berada dalam tong sampah dan dilupuskan.

Sayf mengetap gigi. Nafas berhembus kencang. Kedua-dua tangan yang memeluk kain telekung Nufa menggigil kuat. Sepasang mata terpasak pada wajah ibunya.

"Apa yang kamu kejarkan sangat pada si Nufa tu sampai perempuan lain kamu tak pandang?! Dia bukan isteri kamu lagi! Minyak wangi itu..." Lurus jari telunjuk Puan Mariam mengarah ke serpihan kaca tadi.

Kembali Cinta | OGWhere stories live. Discover now