AKC | 21

303 8 1
                                    

ALEXANDRIA : KEMBALI CINTA
"Atas Izin-Nya Kita Dipertemukan"

˖✿˖

KELOPAK mata terbuka perlahan-lahan. Tidak sampai lima saat dia meringis sakit tatkala cahaya lampu menerobos masuk ke kornea. Spontan tangan naik menghalang cahaya dari terus menerpa. Dia mengeluh. Mata dibuka kembali. Siling putih adalah pemandangan pertama yang dia lihat. Mata dikerdipkan beberapa kali. Pedih.

Dengan kudrat yang masih tersisa, dia cuba beranjak ke belakang. Ingin bersandar di kepala katil. Namun, pergerakannya terbatas dari paras pinggang hingga ke hujung kaki. Terasa berat. Dia cuba menggerakkan kaki tak bergerak walau sejengkal. Hati mula resah. Nafasnya berhembus kencang. Mata meliar ke sekeliling ruang wad. Dia berseorangan.Toleh ke kanan, ada satu butang berwarna merah di pemegang katil. Tanpa menunggu lama, butang itu ditekan berkali-kali dengan kasar. Fikiran pula mengulang kembali detik terakhir yang dia ingat.

Pagi selepas subuh, dia meminjam kereta Izham kerana mahu menghantar gubahan bunga kepada pelanggan di Kaherah. Sekaligus ingin membeli barang kedai di kota tersebut. Jam 5 pagi sebelum dia bertolak dari rumah, Izham menghalangnya pergi sendirian dan menawarkan pertolongan untuk menghantar serta menjemput. Tetapi dia tolak memberi alasan tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Lagi pula kebetulan Izham cuti bekerja. Lebih baik abangnya duduk di rumah dan meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak.

Setelah mendapat kepercayaan dan keizinan dari Izham, dia segera bertolak ke Kaherah. Sebelum sempat dia masuk ke bandar Kaherah, dia memarkir kereta di bahu jalan kerana merasakan kereta yang dipandu mengalami kerosakan. Dia keluar dari kereta dan membuka bumper depan untuk memeriksa keadaan enjin. Memandangkan dia jarang memandu kereta, dia tidak pasti apa yang berlaku pada Toyota Corolla milik abangnya.

Tidak tahu harus berbuat apa, dia menutup bumper depan dan masuk semula ke dalam perut kereta. Dia hanya cuma terfikir untuk menelefon khidmat trak tunda. Namun, sebelum sempat dia membuat panggilan sebuah lori yang membawa muatan rod besi telah menghentam kereta dari arah bertentangan. Saat itu seluruh badan terasa amat sakit dan sebelum pandangan menjadi gelap, sempat dia melihat darah membuak-buak keluar dari dada. Dia tahu dia selamat dari kemalangan itu. Jika tidak, dia takkan berada di dalam wad ini. Dia masih bernafas. Tetapi mengapa kakinya tidak dapat digerakkan?

Klak!

Pintu wad dibuka dari luar. Dia panggung kepala. Seorang doktor perempuan serta seorang jururawat bergegas mendekatinya dengan riak wajah cemas. Tangan yang menekan butang kecemasan di pemegang katil tadi segera ditarik semula.

"Nufa. Alhamdulillah, you're awake." Ujar wanita yang memakai seragam doktor.

Nufa cuba tarik senyum tetapi kedua-dua belah pipi terasa kebas. Sudah itu dia hanya membisu tidak beriak sambil memandang doktor tersebut.

"Do you feel pain in any part of your body?"

Nufa kalih pandangan ke arah tag nama pada kot putih yang dipakai oleh doktor wanita itu. Dalam hati dia menyebut nama Akila Heba-seperti yang terpapar pada tag nama. Usai itu, Nufa pakukan pandangan kembali pada wajah bersih doktor tersebut.

Seolah-olah tahu pandangan keliru Nufa, Doktor Akila segera berdeham beberapa kali. Baru menyedari kesilapannya yang terus menyerang Nufa dengan soalan tanpa memperkenalkan diri terlebih dahulu. Doktor Akila tersenyum seraya memegang stetoskop yang bergantung elok di leher.

"Sorry. I'm Doctor Akila, in charge monitoring your condition. Is supposed to be Doctor Shankar who is monitoring you tonight but since he has an emergency case in red zone right now, I will take over his duties here." Jelas Doktor Akila.

Kembali Cinta | OGWhere stories live. Discover now