"AB-ABANG?"
Mulut melopong. Mata membulat. Terkejut melihat figura lelaki yang dirempuhnya. Itulah reaksi Nufa. Niat ingin membeli jus buah delima terbantut kerana insiden pelanggaran bahu yang berpunca dari orang belakang. Akibatnya, Nufa juga turut ditolak kasar sehingga merempuh orang yang berada di hadapan.
Mata Nufa mengimbas dari atas sampai bawah. Baju lengan pendek berwarna hitam tersarung di tubuh tegap lelaki itu. Seluar kargo bertona coklat muda dan sepasang kasut berwarna putih jenama New Balance. Di pergelangan tangan kiri pula dipakaikan jam tangan Tommy Hilfiger.
Nufa angkat kepala. Ditilik pula setiap inci wajah si lelaki. Dari rambut yang lebat dan hitam lalu turun ke kening serta bulu mata panjang melentik. Memiliki hidung yang mancung dan seulas bibir merekah tapi masih cantik kemerahan menandakan lelaki itu tidak merokok. Sekitar wajah ditumbuhi jambang halus menyerlahkan lagi aura maskulin.
Nufa alihkan pula pandangan pada lengan kiri lelaki itu. Mencari sesuatu yang boleh membuktikan bahawa manusia yang berada di hadapannya ini Sayf Arsalan atau bukan. Nufa picingkan mata, melihat dengan teliti sebelum matanya kembali membuntang apabila sesuatu yang dicari elok terpampang. Tanda lahir! Ada tanda lahir berbentuk mikrorganisma amoeba pada lengan kiri lelaki itu.
Nufa menggelengkan kepala. Mata dipejam rapat sehingga berkerut-kerut wajahnya. Nufa nak lari dan bersembunyi sekarang juga! Tapi dimatikan niat itu. Di sekelilingnya banyak mata yang memandang, mustahil untuk Nufa pergi dan berpura-pura tiada apa yang berlaku. Nanti kena cop sebagai wanita yang kurang ajar. Dah lah rempuh orang, tak membantu pula tu. Hah! Nufa tak nak!
"Dah kenapa pula geleng-geleng kepala, pejam mata sampai berkerut-kerut ni? Kite bukan hantu awak nak takutkan."
Mendengar suara garau itu, pantas Nufa membuka mata kembali. Dia berdiri lalu berdeham cuba menghapuskan rasa malu. Sempat Nufa melirik ke arah pelanggan-pelanggan yang beratur di gerai. Hembus nafas lega. Ucapan syukur dipanjatkan. Tiada siapa yang menghiraukan dia kecuali seorang hamba Allah yang masih lagi duduk di tepi gerai jus buah itu.
"Ehem! Tak percaya ke yang depan awak ni Sayf Arsalan?" Soal Sayf seraya berdiri menghadap Nufa.
Dia mengerutkan kening apabila perasan akan sesuatu. Nufa memakai abaya berwarna hitam serta tudung pula dipadankan dengan tona warna yang sama. Wanita itu memakai sepasang sandal berwarna putih. Tali beg yang bercorak bunga daisy disangkutkan di bahu kanan. Kenapa pakaian Nufa sama seperti wanita di kedai bunga seberang jalan tadi? Sembilan puluh sembilan peratus sama.
"Jangan nak gatal sangat tenung muka orang!" Tegur Nufa sambil berpeluk tubuh.
Sayf tersengih mendengar kata-kata Nufa. Garang. Tak pernah nak berubah. Segarang-garangnya Nufa pun, Sayf tetap sayang walaupun mereka tiada hubungan lagi. Bukan dia tidak mahu memberi peluang kepada wanita lain yang cuba mendekati tetapi kalau hatinya masih mahukan Nufa, beraturlah seratus orang wanita sekalipun Sayf tetap memilih Nufa Elnaura.
YOU ARE READING
Kembali Cinta | OG
Romance𝐒𝐀𝐘𝐅 𝐀𝐑𝐒𝐀𝐋𝐀𝐍 | 𝐍𝐔𝐅𝐀 𝐄𝐋𝐍𝐀𝐔𝐑𝐀 𝓜𝓪𝓼𝓲𝓱 𝓜𝓮𝓷𝓰𝓱𝓾𝓷𝓲 𝓗𝓪𝓽𝓲 𝓨𝓪𝓷𝓰 𝓢𝓪𝓶𝓪... Ini kisah cinta antara mereka. Pincang terhenti di tengah jalan, Pertemuan mereka tidak dirancang, Kembali cinta agar kisahnya sempurna. Jika...