ALEXANDRIA : KEMBALI CINTA
"Atas Izin-Nya Kita Dipertemukan"˖✿˖
LACI meja solek dibuka lalu sekeping gambar berukuran kecil dikeluarkan. Nufa melabuhkan punggung ke atas kerusi meja solek. Tersungging senyuman di bibir tatkala melihat gambar pernikahannya bersama Sayf lapan tahun lalu. Terpapar kebahagiaan di raut wajah masing-masing.
Dia dan Sayf sudah lama saling mengenali memandangkan abangnya berkawan rapat dengan lelaki itu. Mereka berdua mula menjalinkan cinta ketika tahun pertamanya di universiti. Setelah itu, dia dan Sayf berkahwin di kota Alexandria ini ketika mereka masih belajar. Sayf pada tahun akhir dan dia pada tahun keempat. Selepas tamat graduasi, mereka berdua pulang ke Malaysia.
Enam tahun tempoh yang lama berkongsi hidup bersama Sayf. Banyak perkara Nufa belajar ketika bergelar seorang isteri. Sering kali melihat kelemahan suami, namun dia tetap mengelak bercerita tentang kekurangan Sayf pada orang luar hatta keluarganya sendiri. Nufa sangat menjaga maruah Sayf, begitu juga dengan Sayf. Mereka sentiasa bicara hati ke hati jika timbul perselisihan faham dalam rumahtangga. Sepanjang bersama Sayf, dia tidak pernah menafikan lelaki itu adalah seorang suami yang baik.
Nufa mengeluh perlahan. Entah mengapa tiba-tiba hatinya rasa sebak. Dia dan Sayf saling mencintai, mereka nikmati hidup berdua tanpa ada rasa kekurangan walaupun belum dikurniakan cahaya mata. Namun, kata-kata jahat orang sekeliling membuatkan dia semakin tertekan. Apatah lagi kata hinaan dari seorang ibu mertua.
"Nufa tak kasihankah pada Sayf? Ibu tengok dia suka sangat bermain dengan anak-anak sepupu dia. Takkan selama-lamanya Sayf nak bermain dengan anak orang lain?"
"Nufa tak cuba pergi berubat kampung? Mana tahu ada hasilnya. Kasihan Sayf dia dah tunggu lama nak ada anak."
"Nufa kalau boleh ajaklah Sayf buat rawatan IVF. Kamu berdua mampu takkan nak buat rawatan IVF pun kamu nak berkira?"
"Nufa lain kali rajin-rajinlah bersama dengan Sayf. Jangan malas layan suami kamu tu. Ini tak, asyik nak terperap dalam bilik bacaan dari pagi hingga ke malam. Bilanya nak dapat anak?"
"Nufa ada cuba jamu yang ibu bagi? Berhasil tak? Dah lima bulan ibu tunggu. Masih tak ada berita baik?"
"Nufa, ibu nak kamu izinkan Sayf berkahwin dengan Khadeeja. Jangan risau. Ibu tak minta pun Sayf ceraikan Nufa sebab ibu tahu Sayf sangat sayangkan Nufa."
"Khadeeja perempuan baik dan ibu yakin dia akan lahirkan zuriat yang baik buat Sayf."
"Kenapa Nufa degil? Ibu tak suruh pun Sayf ceraikan Nufa, ibu cuma nak Nufa terima Khadeeja sebagai madu. Ibu nak anak tunggal ibu ada keturunan!"
"Semua usaha tak berhasil! Itu maknanya Nufa mandul! Bukan tak ada rezeki tapi memang mandul! Macam mana Sayf nak dapat anak kalau masalahnya berpunca daripada Nufa?!"
"Ibu nak Sayf berkahwin dengan Khadeeja! Nak tunggu Nufa lahirkan anak untuk Sayf umpama menunggu kucing bertanduk!"
"Sampai ibu mati pun belum tentu kamu mengandung! Sayf pun satu, dah tahu isteri mandul tak nak kahwin baru."
Mengalir deras mutiara jernih ke pipi Nufa apabila teringat akan kata-kata Puan Mariam dahulu. Hanya kerana dia tidak mampu melahirkan zuriat untuk Sayf, Puan Mariam menanam rasa benci dalam hati sehingga dicanangnya satu kampung tentang kekurangan Nufa. Setiap kali ada majlis yang mengumpulkan keluarga besar Sayf pasti ada saja mulut berkata tidak baik tentang dirinya.
Bahkan ada di antara sepupu Sayf cuba memperkenalkan Sayf dengan wanita lain. Hati isteri mana yang tidak hancur? Bertahun-tahun dia menahan rasa sampai akhirnya dia sudah terlalu penat mendengar hinaan. Di mana Sayf ketika itu? Sayf ada besama Nufa. Sentiasa menyokong Nufa. Sentiasa mengubati hati Nufa. Hanya saja, sampai satu tahap keputusan dibuat atas persetujuan masing-masing. Berpisah adalah jalan yang terbaik buat mereka meskipun hati masih terikat.
YOU ARE READING
Kembali Cinta | OG
Romance𝐒𝐀𝐘𝐅 𝐀𝐑𝐒𝐀𝐋𝐀𝐍 | 𝐍𝐔𝐅𝐀 𝐄𝐋𝐍𝐀𝐔𝐑𝐀 𝓜𝓪𝓼𝓲𝓱 𝓜𝓮𝓷𝓰𝓱𝓾𝓷𝓲 𝓗𝓪𝓽𝓲 𝓨𝓪𝓷𝓰 𝓢𝓪𝓶𝓪... Ini kisah cinta antara mereka. Pincang terhenti di tengah jalan, Pertemuan mereka tidak dirancang, Kembali cinta agar kisahnya sempurna. Jika...