AKC | 19

134 10 1
                                    

ALEXANDRIA : KEMBALI CINTA
"Atas Izin-Nya Kita Dipertemukan"

˖✿˖

CERMIN bilik rawatan rapi disentuh. Tangannya menekap lama di situ. Selepas tiga hari baru hari ini dia dapat melihat Nufa meskipun hanya berdiri di luar bilik. Sejujurnya dia sangat penat tiga hari tiada rehat yang cukup, ulang alik dari rumah mertua ke hospital. Nur dan anak-anak sudah berada di rumah ibu bapa wanita itu. Dalam situasi begini, dia tidak mahu isteri dan anak-anaknya tinggal bersendirian di Alexandria.

Melihat sekujur tubuh yang sedang terbaring di dalam membuatkan hati Izham bagai dicarik. Di tubuh itu terlalu banyak wayar berselirat yang bersambung pada mesin. Aurat adiknya kelihatan. Rambut, dada, lengan dan betis. Hanya dari bahagian bawah dada hingga melepasi lutut saja ditutupi dengan selimut tebal berwarna putih.

Jelas di mata Izham, tubuh si adik dipenuhi dengan bekas-bekas luka dan lebam. Kain kasa membaluti luka tusukan rod besi di dada Nufa. Wajah Nufa pula kurang jelas kerana topeng bantuan pernafasan menutupi separuh wajah Nufa. Apa yang Izham dapat lihat dari pipi sebelah kanan adiknya terdapat satu luka yang agak panjang seakan-akan seperti ditoreh pisau.

"Nufa kena kuat ya? Nufa tak boleh tinggalkan kami."

Pelbagai skenario negatif berlegar-legar di kepala Izham. Dia cuba bersangka baik tetapi melihat keadaan adiknya yang sangat kritikal itu tidak mampu menghadirkan rasa tenang di dalam hati.

"Nufa pasti sembuh kan Izham?"

Izham menoleh ke sebelah lantas tubuh ibunya dipeluk erat. Terhinjut-hinjut bahu Puan Dahlia dek kerana tangisan yang menjadi-jadi. Izham kucup kepala ibunya yang dilitupi tudung.

"Nufa itu kuat. Abang yakin dia akan sembuh. Kita jangan berhenti doakan dia." Encik Fadhil menggosok belakang Puan Dahlia. Dia juga sedih tetapi dia harus kuat di depan isteri dan anaknya.

"Dua tahun kita tak jumpa Nufa bang...bila dah jumpa dalam keadaan ma-macam ni...hancur hati saya. Ya Allah, anak ibu..."

"Sabar Lia. Kita tak minta semua ini berlaku pada Nufa. Tak ada ibu ayah mahu anaknya ditimpa kemalangan. Tak ada Lia. Tapi kita juga tak boleh menjangka apa akan berlaku. Baik atau buruk. Kita tak tahu. Rahsia Allah. Apa yang terjadi pada Nufa semuanya sudah tertulis." Pujuk Encik Fadhil lagi.

"Tapi saya tak sanggup te-tengok Nufa terlantar tak sedarkan diri dekat dalam tu."

"Ibu, kita serahkan semuanya pada Allah. Kita tak mampu buat apa-apa selain berdoa. Hanya pada Allah sahaja kita meminta supaya Nufa cepat sedar dan sihat seperti dulu." Ujar Izham perlahan.

"Betul kata Izham. Buat masa sekarang kita tak boleh buat apa-apa selain berdoa. Doktor akan sentiasa pantau Nufa. Selebihnya kita serahkan pada Allah."

"Sayf..." Terpacul nama Sayf dari mulut Izham. Lelaki itu akan sampai ke Mesir petang ini. Bagaimana pula penerimaan Sayf jika melihat keadaan Nufa nanti? Bagaimana jika Sayf menyalahkannya? Janji dia pada Sayf sebelum lelaki itu pulang ke Malaysia bermain di fikiran.

Izham menepuk bahu Sayf lalu senyum senget dihulur. Hari ini dia menjemput Sayf datang ke rumahnya untuk makan malam bersama. Tanpa pengetahuan Nufa. Dia nak buat kejutan buat adiknya itu memandangkan hari ini adalah hari ulang tahun Nufa yang ke 32 tahun.

Kembali Cinta | OGWhere stories live. Discover now