BAB 20

39 4 0
                                    

KEDAI makan berdekatan Pasaraya HL menjadi tempat menjamu selera mereka. Makanan dan minuman sudah pun dipesan. Tetapi, dua homo sapiens itu masih diam. Haidan mengerling Qharissa yang tampak tenang menghadap telefon pintar. Kenapa raut wajah Qharissa tenang? Sedangkan dia sudah gelisah. Dada seakan mahu pecah. Perasaan dia sekarang ini bercampur baur. Pertemuan yang tidak dijangka.

Aafan yang berada di meja belakang Haidan hanya menggeleng kepala melihat mereka berdua. Terus dia cuit bahu Haidan. Haidan paling ke belakang.

“Sampai bila nak diam? Kau ni pun satu, cuba mulakan perbualan. Takkan itu pun nak kena ajar?” bisik Aafan. Geram betul dia melihat kebisuan Haidan. Dulu cari sangat. Sekarang dah ada di hadapan mata, diam pula.

“Aku tak tahu nak mulakan perbualan macam mana? Aku terkejut lagi ni. Mulut kau tu masin sungguh. Tup... tup dia muncul,” balas Haidan juga dengan berbisik.

“Itu tandanya Allah mudahkan urusan kau. Sudahlah. Cepat selesai masalah kau orang tu,” gesa Aafan.

Haidan hela nafas berat. Dia pandang hadapan semula dan tersentak apabila Qharissa memandangnya bersama senyuman kecil.

“K... kau dah selesai dengan telefon pintar kau?” tanya Haidan. Rasa gementar cuba dibuang jauh. Qharissa angguk kepala.

“Maaf. Ada hal sedikit dengan kawan,” balas Qharissa.

Dia perasan Haidan nampak gementar. Dia juga sama gementar. Yalah, sudah sekian lama tidak bertemu. Tambahan pula mereka ada isu. Jadi tak tentu arah apabila bersua muka. Cuma Qharissa sedaya upaya mengawal rasa gementar itu. Tak mahu tunjuk sangat pada Haidan.

“Oh. Kau sihat?” tanya Haidan, berbasa-basi.

“Kau ada nampak aku macam sakit ke?” Sarkastik Qharissa membalas. Haidan tertawa kecil.

“Kau banyak berubah Rissa. Hampir aku tak kenal kau tadi,” kata Haidan. Gadis itu lebih matang dan cantik juga. Qharissa tersenyum kecil.

“Kau juga apa kurangnya,” balas Qharissa. Dia memandang wajah lelaki itu. Tidaklah berubah sangat. Tetapi, yang ini versi lebih matang dan sudah tentu lebih kacak.

Untung Naraliyana.

“Yang dekat belakang tu sapa?” tanya Qharissa. Aafan yang curi dengar perbualan mereka terus bangun dan mendekati meja yang diduduki Haidan dan Qharissa. Terkebil-kebil mata Qharissa memandang lelaki itu.

“Saya Muhammad Aafan. Kawan zaman kolej Haidan.” Aafan perkenalkan diri dan hulur tangan ke arah Qharissa. Gadis itu pandang tangan Aafan sebelum balas senyuman lelaki itu. Haidan peluk tubuh dan hanya memerhati.

“Mawar Qharissa. Maaf Aafan. Walaupun saya belum menutup aurat dengan sempurna tapi saya tak bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram saya,” kata Qharissa. Penuh berhati-hati menutur kata kerana tak mahu membuat Aafan tersinggung.

“Oh maafkan saya. Saya tak tahu.” Aafan garu leher tanda dia janggal. Haidan ukir senyuman kecil. Qharissa masih menjaga batas. Baguslah.

“Tak apa. Saya dah biasa kena macam tu.”

Aafan pandang Haidan. Tatapan geram di berikan. Haidan tahan gelak. Padan muka kau. Aafan kembali duduk di tempatnya. Buat malu sahaja.

“Macam mana kau tahu aku kerja dekat situ?” tanya Haidan. Dia pelik sebenarnya bagaimana Qharissa boleh cari dia di Pasaraya HL itu.

“Dua hari lepas aku jumpa Liyana. Dia yang beritahu aku kau kerja dekat pasaraya tu. Lagipun pasaraya tu kan milik keluarga kau.”

Haidan angguk kepala. Qharissa ada jumpa Naraliyana. Tetapi, tidak pula gadis itu berkata apa-apa tentang pertemuannya dengan Qharissa.

[COMPLETED] Dia, BUKAN UNTUK AKU Where stories live. Discover now