HAIDAN menapak ke ruang dapur apabila sistem pendengarannya menangkap bunyi bising di situ. Sampai sahaja di situ, Haidan disajikan dengan keadaan kaunter bar yang bersepah dengan perkakas bakeri. Kemudian, anak matanya memandang adik lelakinya, Harraz sedang mengacau sesuatu.
“Buat apa tu?” tanya Haidan seraya menjenguk ke dalam mangkuk adunan. Harraz angkat kepala dan ukir senyuman tipis buat si abang.
“Buat biskut,” balas Harraz.
Haidan angguk kepala. Antara dia, Haira dan Harraz, adik lelakinya itu yang paling rajin masuk dapur. Kalau ada masa lapang, pasti ada saja benda yang akan dibuat Harraz. Adik lelakinya itu tak akan duduk saja-saja dalam rumah tanpa berbuat apa-apa.
Sejak usia 10 tahun lagi Harraz dah minat buat biskut. Dan dia juga bercita-cita untuk membuka sebuah kedai menjual biskut dan kek suatu hari nanti. Walaupun jauh lagi perjalanannya, tetapi tidak salah simpan angan-angan. Mana tahu apa yang diinginkan, akan jadi kenyataan.
“Abang nak rasa satu boleh?” pinta Haidan. Bau biskut itu mengundang nafsu makannya.
“Ambillah. Harraz buat untuk kita makan,” kata Harraz. Haidan terus ambil satu biskut cip coklat dan disuap ke dalam mulut.
“Sedap tak?” tanya Harraz. Sabar dia menunggu respons abangnya. Haidan angguk kepala.
“Sedap. Tak manis dan tak tawar. Gebu dan cair di mulut,” kata Haidan. Serius dia tak tipu.
“Nasib baik. Harraz ingat biskut ni manis sebab terlebih gula tadi,” ujar Harraz.
“Serius Harraz. Tak manis pun. Abang cakap betul ni. Bukan nak jaga perasaan Harraz ke apa,” kata Haidan lagi.
“Ya Harraz tau. Abang boleh tolong Harraz?” tanya Harraz.
“Boleh. Nak abang buat apa?”
Harraz capai dua balang kosong dan diberikan kepada Haidan. Tak banyak kata, Haidan sambut huluran itu.
“Masukkan biskut tu dalam balang. Harraz ingat nak bagi dekat Kak Rissa juga,” kata Harraz.
“Boleh sangat.”
Balang jernih itu dibuka penutupnya. Biskut cip coklat itu dimasukkan ke dalam balang. Disusun cantik-cantik sehingga penuh satu balang. Kemudian, Haidan sambung masukkan biskut ke dalam balang kedua. Harraz diam-diam memerhati abangnya itu. Dia ada benda nak tanya abang dia, tapi dia takut menyinggung perasaan abangnya itu. Tapi... kalau tak tanya, sampai bila pun dia tak akan tahu.
“Abang dengan Kak Rissa cuma kawan ja ka?” tanya Harraz. Haidan yang sedang menyusun biskut dalam balang, tersentak hebat dengan soalan adik lelakinya itu.
“Kenapa tanya soalan macam tu? Mestilah abang dengan dia cuma kawan. Abang hanya anggap dia kawan baik. Tak lebih pun,” jawab Haidan.
“Itu kata abang, tapi Kak Rissa? Kalau Kak Rissa nafikan pun, kita tak tahu apa yang ada dalam hati dia,” ujar Harraz. Haidan terdiam.
“Memanglah lelaki dan perempuan tu boleh jadi kawan baik. Tapi abang kena ingat, salah seorang daripada mereka pasti akan ada perasaan lebih dari kawan.” kata Harraz lagi. Melihat si abang dalam kebisuan, Harraz menyambung bicara lagi.
“Harraz bukan nak buat fikiran abang kusut. Tapi Harraz nak ingatkan abang supaya berhati-hati nak bergaul dengan Kak Rissa. Jangan terlampau tunjuk sikap ambil berat abang tu dekat Kak Rissa. Perempuan ni mudah cair tau. Dan Harraz tak nak abang lukakan perasaan Kak Rissa kelak,” pesan Harraz.
“Hidup kita ni bukan mengundur tapi ke hadapan. Kita bukan selamanya hidup membujang. Mana tau, tiba-tiba abang jumpa dengan tulang rusuk kiri abang dekat sekolah tu,” sambung Harraz. Sempat dia nak bergurau pun. Haidan tergelak kecil.
YOU ARE READING
[COMPLETED] Dia, BUKAN UNTUK AKU
Novela Juvenil1st Malay Fiksyen 🌹🌹 Mereka sentiasa bersama sehinggakan ada yang menyangka mereka adalah pasangan bercinta. Tetapi, status hubungan mereka hanyalah sekadar sahabat baik. Berkawan sejak kecil sehingga mereka ke alam remaja. "Kau pandang aku lama...