BAB 10

1 0 0
                                    

GENAP dua puluh hari aku berkurung dalam bilik, hari ini aku ambil keputusan untuk pergi KL. Kalau tidak, bila dipanggil makan barulah aku keluar. Bila dipanggil keluar berjalan, aku berkurung. Hidup aku hanya makan, tidur dan menangis. Berat badan aku jatuh mendadak. Daripada 55 kilogram, sekarang 49 kilogram.

Aku dah macam bangkai hidup. Mata aku sentiasa sembab. Ibu dah nasihat banyak kali untuk tidak melayan perkara yang tak bawa untung dalam hidup. Ayah pun dah mengugut untuk hantar aku ke kaunseling.

Disebabkan tidak mahu pergi kaunseling, hari ini aku gagahkan diri untuk bangun. Telefon yang sudah dua puluh hari mati itu aku cas penuh. Berpuluh-puluh panggilan tidak dijawab. Antaranya Kak Pej, Nurin, umi dan Shadiq. Mesej juga beribu-ribu tak terjawab. Namun jari lebih memilih untuk menekan mesej dari Shadiq.

Tak banyak pun mesej Shadiq.

Salam. Jangan lupa amalkan Bissmillah 5.

Salam. Hari ini macam mana? Jangan lupa makan dan minum.

Salam. Mesej saya masih satu tick. Semoga awak akan disinari cahaya. Jangan lupa Al-Mulk dan Kahfi hari ini ya.

Salam. Boleh tinggalkan saya. Jangan tinggal Allah.

Salam. Saya undur diri dulu ya. Jangan sedih-sedih.

Lima hari pertama sahaja Shadiq nampak beria. Aku menutup telefon. Aku sudah biasa. Rata-rata lelaki yang pernah masuk meminangku, semuanya seperti ini. Selepas ditolak, hanya dua tiga hari je bertahan dalam misi memujuk-rayu, kemudian mereka semua give up. Rupa-rupanya Shadiq salah seorang daripada mereka.

Datang menghulurkan niat di hati. Bila ditolak, pergi dengan kekalahan. Di mana erti berjuang?

Atau aku terlalu kejam? Aku terlalu angkuh untuk menerima mereka. Aku terlalu memikirkan bahawa mereka harus memahami aku. Aku pula tak pernah memikirkan soal mereka.

Aku mengeluh.

Bukan aku nak tolak mereka suka-suka. Aku cuma mencari erti setia itu seperti apa. Aku ini buta dalam percintaan. Hati aku seakan ditutup. Aku tak pernah rasa tertarik dengan mana-mana lelaki.

Aku melangkah keluar dari bilik. Makhluk pertama yang membias di iris mata ialah wajah ibu. Ibu senyum. Gaya ibu seperti mahu menuju ke dapur yang terletak di sebelah bilikku.

"Hari ini nak keluar dengan siapa?" Ibu bertanya.

"Nurin." Sepatah keluar dari mulutku.

"Jam berapa balik?"

"Tak tahu lagi."

Ibu angguk. Tepat tekaanku, ibu berlalu masuk ke dapur. Peti sejuk ibu buka. Tumblr yang berada di dalam peti dikeluarkan. Pelik, tumblr yang tahan sejuk itupun ibu letak dalam peti.

"Nah, ni ayah suruh kamu minum."

"Air apa ni?" Tumblr yang dihulurkan aku sambut.

"Air kelapa muda. Kebetulan ayah ambil kelapa untuk anak jiran sebelah yang demam campak. Ayah suruh kamu minum sampai habis."

"Oh.." Aku memandang tumblr biru di tangan. "Okay."

Ibu angguk. Entah mengapa, ibu tiba-tiba menarik tangan kiriku. Pandanganku naik pada wajah ibu.

"Kecil dah anak ibu." Ibu senyum. "Kakak, berapa kali ibu ajar untuk lepaskan perkara yang dah berlaku. Kenapa terikut-ikutkan emosi?"

Aku terdiam. Wajah ibu walau masih manis dengan senyuman halusnya, namun terpancar kerisauan pada diriku.

"Hukum menggilakan diri sendiri itu haram kakak. Orang normal yang menjadi gila kerana sengaja berdosa kak. Nak masuk neraka ke?"

Aku menggeleng.

"Depression memang perkara yang kita tak boleh control. Tapi kita ada Tuhan, kak. Sehari dua bersedih tak apa. Tapi ini dah dekat sebulan kakak berkurung. Bila nak redha dengan takdir?"

"Bukan tak redha.." Perlahan suara aku keluar.

"Ibu nampak kakak dah mula solat hujung waktu. Kenapa ni? Besar sangat ke kesedihan yang kakak tanggung? Bukan ke semua ni Allah uji sebab Allah tahu kakak mampu handle."

Aku terkedu. Ibu tahu aku lengahkan solat? Aku sangka ibu tak peduli padaku. Sepanjang aku berkurung, ibu hanya menasihatkan aku untuk lupakan kesedihan. Ibu tak pernah tanya tentang emosiku. Ibu tak pernah tahu betapa sakitnya aku menanggung sakit ini.

"Jaga solat, kak. Jaga iman. Biarlah sebesar dunia pun masalah, solat jangan buat main. Biarlah orang buat kita teruk sekalipun. Jangan buat aci redah je dengan Allah. Ibu percaya, kakak lebih tahu hukum hakam. Kakak dah mengaji tinggi. Tak akan perkara macam ni pun nak ibu tegur? Kakak dah besar."

Dalam keperitan, aku gagahkan bibir untuk tersenyum.

"Kakak tahu." Aku menjawab perlahan. "Tak apalah. Insyaallah kakak dah okay. Kakak dah lambat ni. Nak salam."

Ibu menghulurkan tangan. Aku sambut dan segera cium. Kemudian, aku terus melulu keluar tanpa sebarang perkataan.

Bukan penat nak dengar ibu membebel.

Cuma nak elak banjir di hadapan ibu.

MomentumWhere stories live. Discover now