BAB 18

1 0 0
                                    


PAGIKU bermula dengan ucapan Alhamdulillah. Seperti biasa, selepas menggosok gigi, aku akan ke dapur untuk melihat bahan basah. Sebelum dua belas tengahari, sekurang-kurangnya sambal penyet aku sudah siap masak. Walaupun mata masih memberat dan kemalasan menguasai minda, aku tetap gagahkan diri untuk memulakan rutin hidup.

Tiba di dapur, aku merasa hairan. Pelik? Tak akan malam semalam aku tak keluarkan ayam? Peti sejuk aku buka. Ngaaa.. Empat ekor ayam masih beku di dalam peti.

Macam mana nak berniaga tengahari ni kalau ayam masih beku? Sempat ke aku nak pergi pasar? Stok sambal penyet pun sudah habis.

"Hari ini kakak tak payah berniagalah." Suara ibu menyapa dari belakang.

"Kenapa pula?" Aku berkerut dahi.

"Rehat dulu. Kakak bukannya sihat sangat tu."

"Kenapa cakap macam tu?" Aku bertambah hairan. "Kakak sihat je. Cuma letih sikit je. Semalam tidur lambat."

Sejujurnya aku tak ingat pun semalam aku tidur lewat sebab apa. Melukis kut.

"Sihat apanya? Sudah. Tutup kedai sehari bukannya mendatangkan miskin."

"Memanglah tak miskin. Tapi daripada duduk rumah melepak tak buat apa, baik kakak buka kedai." Aku masih tak faham dengan ibu.

"Tak payah buka kedai. Hari ni teman ibu keluar."

"Oh, ibu nak keluar." Aku tergelak. "Nak pergi mana?"

"Pergilah mana-mana. Nak pergi barang basah juga."

"Kalau macam tu, kita pergi Mydin tengahari ni. Nanti siap-siaplah. Kakak okay je." Aku senyum.

Ibu mengangguk.

"Jangan lupa sarapan. Ibu ada masak mihun goreng."

"Baik."

Selesai bicara, ibu pun berlalu pergi. Aku kembali masuk ke dalam bilik. Mata sempat memerhati seluruh bilik. Meja tulis penuh dengan kertas lukisan. Cadar berwarna merah jambu elok tersarung. Almari masih guna almari rapuh. Entah bila nak tukar. Selagi tak tertanggal pintu almari, selagi itu aku pakai.

Badan direbahkan di atas katil. Serentak itu juga aku mengaduh sakit. Entah mengapa badan aku terasa sengal dari pagi tadi.

Aku mengambil keputusan untuk membuka baju. Tubuhku telek melalui cermin meja solek. Terbeliak mataku melihat kesan lebam yang penuh pada badan terutamanya di dada.

Kenapa boleh lebam sampai macam ni sekali?

Baju kembali aku sarung. Aku kembali baring di atas tilam.

Semalam aku tidur lewat sebab apa ya? Betul ke aku melukis?

Mata aku jeling pada meja tulis. Macam tak bersentuh je kertas-kertas atas meja tu. Rasanya dah seminggu kertas-kertas tu bersepah gaya tu.

Habis tu, semalam aku tidur lewat sebab apa?

Mataku pejam. Secara rawak, mataku terlihat susuk tubuh Ahmad dalam keadaan cemas.

"Pa'e, aku minta maaf sebab pegang kau."

Mataku terbuka tiba-tiba. Adrenalina meletup tanpa terkawal. Darah bergemuruh kuat. Laju aku mencapai telefon. Sejarah panggilan aku cari.

Last contact, Shadiq Hairudin.

Tangan aku serta merta menggeletar. Jadi.. mimpi ngeri semalam.

Bukan sekadar mimpi?

BERHADAPAN dengan ibu hari ini membuatkan jantung aku tak henti-henti berdebar. Ibu nampak bersahaja. Bawang merah ibu pilih penuh tenang. Kemudian ibu pergi ke bahagian cili pula. Cili masak, cili api dan cili kering dimasukkan ke dalam plastik.

Aku hanya menjadi tukang timbang sahaja.

Selesai membeli barang kering, ibu ke bahagian barang basah pula. Mata memandang ayam yang tergolek di atas papan pemotong.

"Ayam ada lagi dalam peti." Ibu membisik.

Ibu berjalan ke kawasan ikan. Ikan kerisi menjadi tumpuan utama. Beberapa ekor ikan kerisi masuk ke dalam plastik. Kemudian ikan keli juga dipilih. Stok untuk seminggu.

Habis membeli barang dapur, aku membawa ibu makan di D'Santai Galena.

"Kakak ada apa-apa nak bercerita dengan ibu ke?"

Aku diam. Bibir diketap rapat. Tangan saling menggenggam. Wajah ibu kalah peguam sekarang ini. Membuatkan rama-rama dalam perutku kecut.

"Agak-agak, ibu ni siapa pada kakak?"

Terasa nafasku tersekat di kerongkong.

"Ibu berkali pesan, kalau ada apa-apa masalah, jangan simpan sorang-sorang. Ibu ada dengan kakak. Ramai manapun anak ibu, ibu tetap ada masa untuk kakak. Ibu tak pernah bosan nak dengar cerita kakak. Tapi kenapa kakak sampai macam ni sekali?"

Perlahan-lahan tanganku melingkar belakang tengkuk.

"Dah lama ke kakak macam ni?" Ibu bertanya.

"Tak tahu." Aku geleng.

"Pernah check?"

"Pernah." Kalini aku angguk.

"Kenapa tak bagitahu ibu?"

"Sebab kakak tak percaya." Aku tersenyum hampa. "Semua ni karut. Kakak tak nak reputasi kakak jatuh disebabkan semua ini."

"Hakikatnya reputasi kakak dah jatuh, kan? Kakak dah dibuang kerja yang kakak kejar-kejarkan dulu. Kakak dah tak de rasa nak kerja. Kakak tak de rasa nak hidup. Ni semua effect dari itu, kan?"

"Ibu jangan letak kepercayaan pada benda tu boleh tak?" Aku menarik nafas dalam-dalam. "Memang betul kakak mengalami kemurungan. Tapi itu sebab mental kakak. Doktor sendiri mengesahkan kakak ada masalah Bipolar."

"Tapi kakak yakin yang kakak bukan Bipolar, kan?"

Aku terdiam. Bibir aku menggeletar.

"Nak ibu bawa kakak buat rawatan?"

Kali ini aku geleng.

"Kakak dah buat. Tapi sampai hari ini kakak tetap macam ni. Makin teruk adalah. Semua rawatan ni menghabiskan duit je. Buang masa. Once kita dah terkena, selamanya kita menanggung sakit."

"Kakak give up?"

"Ibu.. kakak dah bertahun hadap benda ni." Aku menarik nafas dalam-dalam. "Ibu kalau rasa bosan dengan kakak. Malas nak layan sakit kakak. Kakak akan keluar dari rumah. Kakak akan cari rumah lain. Kakak akan hidup sendiri."

"Kakak merepek apa ni?" Ibu bersuara tegas. "Patutlah ibu dengar dari kawan kakak yang kakak ni kuat merepek. Dalam diri kakak tu yang dah give up. Sebab tu semua benda kakak tak boleh nak terima. Dengar sini, dalam dunia ni bukan kakak seorang je hidup.Semua orang sayang kakak. Bukan semua orang nak buang kakak. Ibu sekarang ni nak dengar apa masalah kakak. Bukan ibu nak buang kakak."

Aku tersenyum pahit.

"Kakak give up sangat." Suaraku menggeletar. "Kakak tak boleh bercinta. Kakak tak boleh mencintai. Kakak tak boleh dicintai." Air mata terasa bertakung di tubir mata. "Kakak tak boleh sayang orang. Orang pun tak boleh sayang kakak. Kakak tak boleh rasa disayangi."

"Itu yang kakak rasa selama ini?" soal ibu lembut.

Aku angguk perlahan.

"Allahu.. apa yang kakak hadap selama ini? Mengapa ibu tak pernah tahu?"

Hanya senyuman pahit menjadi jawapan.

MomentumWhere stories live. Discover now