BAB 27

1 0 0
                                    


AHMAD bertandang seperti biasa. Aku dah puas membebel pada Ahmad untuk kurangkan aktiviti berjumpa aku di kedai. Apa kata orang nanti? Tak fasal viral lagi cerita pasal aku. Kali ini tagline mengeluarkan tajuk, Peniaga Nasi Ayam Penyet Afa Fair Dengan Laki Orang.

Tak fasal Kak Nisa bakar kedai aku walaupun Kak Nisa memang dah tahu perangai Ahmad macam mana.

Tapi Ahmad tetap Ahmad yang degil. Setiap kali waktu lunch, pasti motornya akan tersidai di depan kedai aku. Tak tahulah apa yang seronok sangat lepak dekat bawah kanopi kecil ini. Yang bangga itu, Ahmad tak pernah bosan dengan nasi ayam penyetku.

"Kau sihat hari ini?"

Aku mengangguk perlahan. Tangan sibuk mengemas meja letak barang. Sesekali aku melihat Ahmad membetulkan posisi di atas motor.

"Aku nak tanya sikitlah.." Ahmad bersuara penuh serius.

"Tanya apa?" Wajahku angkat.

"Iskandar tu sebelum ini kawan kau ke?"

Pekerjaanku terhenti serta-merta. Setelah sekian lama nama lelaki itu terhapus dari kotak memoriku, kini Ahmad mengungkit semula.

"Maaf kalau kau tak suka dengan soalan aku." Ahmad menggaru pipi. "Aku curious. Dah lama aku nak tanya tapi aku rasa waktu tak sesuai lagi untuk ungkit hal ni."

Adakah sekarang ini waktu yang sesuai untuk bertanyakan soal ini?

"Iskandar bukan kawan saya." Aku memberi pandangan sepenuhnya pada Ahmad.

"Habistu, mana kenal lelaki gila tu?"

"Saya tak kenal dia."

"Tapi cara dia obses kat kau tu macam suspicious. Tak akan tak pernah kenal tapi boleh jadi kes macam hari tu? Tapi aku dengar, dia mutawwif freelance, kan?"

"Ya." Aku angguk. "Saya jumpa dia beberapa tahun lepas. Kebetulan saya sedang berborak dengan Nurin dan Airil dan dia turut sama ada sekali. Dia yang beria nak kenal saya walaupun saya berkali-kali ignore kewujudan dia. Dulu dia intern bawah Andalusia."

"Oh budak intern. Kiranya kau kenal dia sebagai kawan Nurin dan Airil?"

Aku angguk. "Tapi tak kenal sangat. Wajah dia pun ingat-ingat lupa."

"Tapi kenapa dia obses macam orang tak waras bila nampak kau?"

"Saya tak tahu. Saya ni nak kata cantik, tak adalah cantik sangat. Mungkin dia tak obseskan saya sebab dia suka saya. Mungkin sebab dia berdendam dengan saya sebab saya tolak dia berkali-kali sebelum ni."

"Itu firasat kau?"

Aku angguk.

"Kenapa kau tolak dia?"

Aku terdiam sejenak. Pandangan serius Ahmad aku pandang lama.

"Sebab dia tak handsome ke?"

"Bukan pasal rupa." Aku geleng. "Honestly, saya ada masalah dengan diri saya sendiri. Saya tak pernah ada perasaan dengan mana-mana manusia sama ada lelaki mahupun perempuan. Saya tak senang nak bergaul dengan orang baru. Saya tak suka berkawan. Saya tak suka duduk dalam crowded."

"Aik? Sejak bila? Bukan dulu kau paling hyper ke? Kau dengan kitorang okay je berkawan?"

"Itu dulu. Saya pun tak tahu bermula dari bila. Yang saya perasan, banyak benda saya tak boleh buat. Kalau dulu saya seorang yang extrovert dan menonjol. Sekarang saya lebih suka menyendiri dan duduk jauh dari kerumunan manusia. Kalau dulu saya suka served jemaah dengan senyuman, sekarang saya layan bila saya rasa saya perlu layan je. Saya dulu suka kerja travel tapi lama-lama saya rasa takut untuk kerja travel padahal kerja saya tiptop. Saya rasa takut nak jumpa jemaah. Saya rasa takut nak bekerja. Saya rasa takut nak masuk ofis. Hari-hari saya berzikir nak berhenti sampailah kes viral haritu muncul. Dan saya di terminated. Walaupun saya rasa bebas bila saya diberhentikan kerja, tapi saya tetap tempias rasa kemurungan akibat reputasi saya rosak."

MomentumWhere stories live. Discover now