BAB 19

2 0 0
                                    

ABANG membawa aku ke rumah teres sederhana besar. Bawa pergi merawat. Berkali-kali aku enggan untuk pergi mana-mana rawatan namun bila abang dah masuk campur, aku tak mampu nak tolak. Mahu atau tidak, aku ikutkan sahaja.

Seperti yang dijangka, yang paling utama ialah kos. Kos nak bayar ustaz dan juga kos peralatan yang mahu digunakan. Bohonglah ada perawat yang buat seikhlas hati tanpa bayaran. Tak wujud dah zaman sekarang manusia berhati mulia seperti itu. Yang minta bayaran seikhlas hati pun paling kurang lapan puluh ringgit di tangan. Sampai ke hari ini, aku tak percaya ada ustaz yang ikhlas nak merawat.

Kalau dah nama rawatan, memang meraung sahajalah kerja aku. Dirasuk itu ibarat perkara yang sudah aku lali. Terpekik terlolong sana-sini macam orang tak waras. Eh, memang tengah tak waras pun! Anak tekak pun rasa dah hilang. Aku dah kehabisan suara dan tenaga. Rasa nak balik tidur je.

Apa yang aku dapat untuk rawatan hari ini? Hanya pergaduhan antara aku dan abang.

"Abang bukan tak nak dengar cakap kakak. Cuma rawatan yang kakak buat hari ini sebagai ikhtiar. Sekurang-kurangnya kita cari ikhtiar untuk pulihkan kakak."

Aku buat pekak. Memang tak ada tenaga nak berdebat dengan abang.

"Biasalah tu. Hari ini baru pertama kali buat. Rawatan ni bukan buat sekali je. Kena selalu buat. Kena selalu ada effort."

"Jangan terpedaya." Aku menjuling. Dalam serak, aku gigihkan juga untuk bersuara. "Kakak sikit pun tak percaya dengan ustaz tadi."

"Kenapa tak percaya pula? Abang tengok elok je."

"Dalam dunia ni, mana ada ustaz yang boleh dipercayai."

"Habis tu. Kakak nak percaya siapa? Shadiq?"

Mata aku membesar.

"Dah kenapa nama Shadiq timbul?" Suaraku naik seoktaf.

Abang menoleh memandang aku.

"Orang tak faham betullah. Semua benda nak kaitkan dengan Shadiq. Semua Shadiq. Nama lelaki tu tak habis-habis berzikir kat mulut," sambungku.

"Macam mana nama Shadiq tak naik. Bila ada dalam masalah, bukan kami yang kakak cari."

"Ada bukti ke kakak cari Shadiq selama ini?" Wajahku mula merah menahan marah. Lantaklah tekak calar-balar pun.

"Even rawatan hari ini pun Shadiq yang pujuk, kan?"

"Isu yang itupun kakak diam je. Sampai hatikan buka aib kakak? Sampai ke orang luar tahu apa masalah kakak, kan? Nak pakai orang tengah pujuklah bagai."

"Tapi kalau tak disebabkan Shadiq, kakak masih tak nak buat rawatankan?"

Aku merengus geram.

"Sekarang ni, rawatan pun kelaut mati, kan? Nothing happen! Tetap jugak kakak sakit macam ni. Shadiq pun dah tahu yang kakak ni macam mana. Tak nak dengar cakap famili. Abang pun satu. Taksub sangat dengan ustaz tu dah kenapa? Siapa mencanang cerita kat Shadiq yang kakak ni ketegaq."

"Kakak merepek apa ni?" Abang menyoal. Matanya kembali pada jalan raya. "Abang tak taksub dengan ustaz tu pun. Abang tak mencanang cerita dekat Shadiq juga. Abang cuma ada mesej Shadiq untuk pujuk kakak pergi rawatan je. Abang tak cakap apa-apa pun."

"Tipu." Aku mendengus. Bila masa abang dapat nombor Shadiq pun aku tak pasti. Mungkin sewaktu hari Shadiq melamar aku kut.

"Adik ni kenapa? Nak marah benda yang tak sepatutnya. Terikutkan emosi?"

Amarah aku semakin meninggi. Marah benda yang tak sepatutnya? Ada ke patut Shadiq tahu hari ini aku ada temu janji untuk rawatan? Sampaikan pagi-pagi aku dapat mesej dari Shadiq supaya tak buat perangai.

Salam Fairuza. Jangan lupa buat rawatan dengan abang hari ini. Jangan buat mogok pula. Saya ada dengan awak. Always. Kalau ada cerita, nanti bagitahu saja ya.

Tak patut langsung! Shadiq itu tetap orang luar yang tiada apa-apa hubungan dengan aku! Kenapa sampai nak kena libatkan orang luar?

"Asal orang naik angin je tuduh orang terikutkan emosi. Hantu merasuk. Padahal diri sendiri ada salah!" Tepik aku. Terus aku palingkan wajah ke tingkap. Malas nak layan abang. Malas nak layan orang!

Akhirnya, kita memang hanya diri kita sahaja!

Rawatan tadi okay?

MESEJ dari Shadiq aku tak balas. Entah mengapa hati aku bengkak semacam. Aku rasa menyampah tiba-tiba dengan Shadiq. Aku tak tahu kenapa Shadiq perlu masuk campur hal aku. Shadiq itu siapa sebenarnya untuk aku?

Tak akanlah disebabkan sekali aku call Shadiq untuk comfort diriku, terus Shadiq merasakan dia terpaling penting untuk diri aku?

Sekarang ini, semua orang tak habis-habis memaksa aku untuk pergi buat rawatan seterusnya. Suka agaknya melihat aku dirasuk berkali-kali. Suka sangat melihat aku mengilai tak berhenti. Suka tengok aku terkulai lemah.

Air mata aku jatuh.

Kenapa aku lemah sangat? Kenapa aku kuat menangis? Kenapa aku selalu menyisihkan diri? Kenapa aku suka bergaduh dengan orang?

Telefon aku berdering tiba-tiba. Nama di atas skrin aku pandang lama. Shadiq Hairudin. Aku benci nama itu tapi jauh disudut hati aku seakan terpanggil untuk mengangkat panggilan Shadiq.

Akhirnya gagang aku angkat.

"Fairuza okay?"

"I don't know." Aku menekup wajah dengan lengan. "Kenapa saya macam ni?"

"Awak tak sihat lagi, Fairuza."

"Macam mana nak sihat?" Aku mengeluh perlahan.

"Kahwin dengan saya."

"Ceh." Aku mencebik. Shadiq tergelak.

"Guraulah." Shadiq ketawa. "Awak kalau tanya saya pun, saya tak tahu nak tolong macam mana. Dalam diri awak tu yang kena kuat. Saya memang tak boleh buat apa-apa."

Aku menarik nafas dalam-dalam. Betul kata Shadiq. Diri aku yang kena kuat. Orang lain tak dapat bantu apa-apapun kalau diri aku sendiri dah menyerah kalah.

"Shadiq, saya nak tidur. Saya letak panggilan dulu."

"Okay baik. Rehat dulu ya. Ada apa-apa nanti bagitahu orang terdekat. Jangan pendam. Janga.."

Panggilan diletak sebelum Shadiq habis berkata. Aku melemparkan telefon ke tepi. Mata aku pejam rapat-rapat.


MomentumWhere stories live. Discover now