Memasuki tahun baru, terasa ada sesuatu yang berbeza dalam hidup ku. Melangkah ke kawasan sekolah sahaja aku sudah di sambut dengan suasana baru. Bangunan utama sekolah sudah dicat baharu dengan beberapa penambahan struktur di beberapa sudut sekolah.
"Ziela...! " aku disapa dari belakang. Aku segera menoleh.
"Tahniah ya..., semoga terus berjaya tahun depan.. " Cikgu Rosnah dengan setulusnya mengucapkan tahniah kepada ku.
"Ooo.. Terima Kasih, Cikgu......" jawabku gembira dengan sedikit menunduk. Cikgu Rosnah adalah guru matematik ku. Dalam perjalanan menuju ke medan perhimpunan, aku menerima beberapa lagi ucapan tahniah dari guru dan rakan-rakan.
"Uihh... famous kau Ziela hari ini.. " kata Mimi sambil menepuk-nepuk bahuku. Aku cuba menunjukkan wajah selamba walaupun hatiku berbunga-bunga.
Aku adalah antara 12 pelajar yang mendapat markah terbaik dalam peperiksaan PT3 tahun itu. Pencapaian ku itu sedikit sebanyak mengubah pandangan orang-orang di sekeliling terhadap ku. Aku dilihat sebagai "budak pintar" dan berhak menerima sedikit penghormatan.
Tahniah dari nenek hanyalah berbentuk senyuman, namun nenek sentiasa mengingatkan aku bahawa perjalanan ku masih panjang, setiap orang itu ada masa gemilangnya dan pasti akan ada masa terburuk dalam perjalanan hidup mereka. Cabaran ku yang terbesar bukanlah mendapatkan keputusan terbaik dalam setiap peperiksaan, katanya lagi. Aku mendengarkan kata-kata nenek sama seperti mendengar celotehan hariannya, masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Ketika waktu makan malam, Mak Lang berpendapat sudah sampai masanya aku memiliki sebuah telefon bimbit sendiri dengan harapan ia dapat membantu ku menghadapi peperiksaan SPM tahun depan dan memudahkan komunikasi harian. Dia mengarahkan Pak Lang mencari sebuah telefon yang sesuai untuk aku. Pak Lang hanya mengangguk bersetuju. Beberapa hari kemudian, Pak Lang menyerahkan kepadaku sebuah kotak yang berupa sebuah telefon baru. Aku membukanya, lalu Pak Lang menerangkan beberapa panduan pengunaan telefon itu.
Pada umur 16 tahun, boleh dikatakan akulah yang paling lambat memiliki sebuah telefon sendiri. Ramai di antara rakan sekelas sudah memilikinya sejak tingkatan 1. Mimi pula telah mendapat telefonnya sendiri sebaik tamat peperiksaan tahun lalu. Walaupun sekolah tidak membenarkan pelajar membawanya ke sekolah, namun ia tetap menjadi sumber popular bahan perbualan di sekolah. Ketika itu aku hanya tumpang mendengar kerana aku tiada tempat untuk meminta-minta barang yang semahal itu.
Orang pertama yang aku hubungi adalah emak ku. Dia pastinya gembira dapat berbual denganku dengan lebih kerap.
Memiliki telefon sendiri mendedahkan aku kepada satu gerbang baru kepada dunia. Keghairahan itu pada mulanya membuat aku merasa manusia tidak perlu ke sekolah untuk mendapatkan ilmu. Namun tidak aku sedari ketika itu, ia juga mendedahkan aku kepada elemen yang lebih gelap.
Aku memberi kejutan kepada Mimi dengan menelefonnya. Dia melompat kegembiraan kerana aku sudah memiliki telefon sendiri. Dia mengajar aku menggunakan Whatsapp, lantas bergossip panjang dengan cara baru itu. Di akhir chatting, dia menghantar gambar dirinya bersama seorang lelaki agak kacak yang aku tidak kenali. Mereka sedang tersenyum gembira, berlatar-belakangkan menara KLCC. Aku cuba mengecam jika lelaki itu seorang artis yang Mimi temui di situ.
* Siapa tu Mi? * tanya ku.
* Itu lah Rosli..* balas Mimi. Terus terang aku terkejut, langsung tidak terlintas di fikiran ku kerana memang sudah lama dia tidak bercerita tentang Rosli, sejak sebelum peperiksaan lagi.
* kau tak cakap dengan aku dia hensem, aku ingat artis mana tadi.. * balas aku.
* hensem ke? di mata kau dia hensem, di mata aku biasa aje * balas Mimi.
YOU ARE READING
Empat Belas
RomanceKisah seorang gadis yang melalui detik kekeliruan di dalam hidupnya. Desakan naluri dan nafsu membelah jiwanya menjadi dua personaliti yang bertentangan yang harus mengharungi hidup dengan konfik jiwa yang sukar. Kemampuannya bertahan teruji setiap...