Ketika sampai di sebuah kawasan parking, sudah banyak gerai-gerai yang berdiri, walaupun masih belum ramai pengunjung. Terdapat gerai yang menjual ikan, daging, bahan memasak, barangan dapur dan bermacam-macam gerai yang menjual makanan siap. Jam sudah menunjukkan pukul 7:15.
"Kita dah terlambat ni...." kata ayah sambil mengundurkan van itu. Aku menjadi risau melihat kebimbangan di wajah ayah. Aku cepat-cepat turun dan mengejar ayah ke belakang van.
"kita lambat ke?....Ila kena buat apa ayah?..." tanya ku dengan cemas. Ayah hanya tersenyum melihat aku terlalu panik. Dia menerangkan kepada aku perlahan-lahan apa yang aku dan Aziq harus buat sementara dia memasang payung dan meja.
Ayah memasang 3 payung dan 5 meja lipat dalam masa tak sampai 5 minit. Susunan meja itu membentuk sebuah meja panjang yang muat-muat berada dibawah 3 payung itu. Aku dan Aziq membahagi-bahagikan limau kasturi dan cili padi ke dalam bakul-bakul kecil.
Ayah menyusun sayuran itu di dalam beberapa dulang plastik yang sudah tersusun di atas meja dan meletakkan sebuah timbang di bahagian paling tengah pada susunan meja panjang itu. Sebuah meja di letak paling belakang untuk diletakkan peti wang kecil, kalkulator dan sekeping kad A4 dengan senarai harga sayur.
Wang pecahan kecil di dalam peti duit itu berjumlah 100 ringgit terdiri dari not 20, 10, 5 , 1 ringgit dan duit syiling. Wang terkumpul lebih dari itu adalah hasil jualan, kata ayah. Dia juga menunjukkan kepada aku cara menggunakan timbangan untuk menimbang sayur, dan merujuk kepada kad senarai harga.
Aku kagum dengan kepantasan kerja ayah mendirikan sebuah gerai sayur dalam masa 15 minit.
Pada mulanya aku hanya memerhati cara ayah membuat jualan, dia langsung tidak merujuk kepada kad itu kerana harga setiap jenis sayur sudah ada di kepalanya. Setiap transaksi berlaku dengan cepat.
Dalam masa sejam berikutnya ketika pasar pagi itu semakin sesak, aku mula faham dengan rentak ayah, aku cuma perlu mendengar harga yang disebutkan oleh ayah pada pembeli, aku harus bersedia dengan plastik pembungkus, kemudian bila pembeli itu menghulurkan wang, aku cuma perlu mengira wang kembalian dan mengembalikannya.
Ketika tiada pelanggan, ayah menegur aku sambil tersenyum.
"Bagus cara Ziela jadi kashier, tapi muka tu jangan tension sangat, sentiasa senyum pada pelanggan...." kata ayah. Aku hanya tergelak dan melepaskan nafas lega. Aku sempat mengambil gambar selfie bersama gerai dan ayah lalu menghantarnya kepada Mimi.
* Aku meniaga sayur hari ni, kau nak sayur apa semua ada... mari..mari... * mesej dari aku, tapi Mimi tidak menjawab.
Suasana menjadi paling sibuk kira-kira pada jam 10 pagi, aku tidak lagi menggunakan kalkulator untuk mengira kembalian wang, aku sudah yakin dengan hanya mengira di kepala, seperti yang ayah lakukan. Aku gunakan kalkulator sekadar memastikan aku tidak silap.
Sekali sekala ayah merenjiskan sayur-sayur hijau dengan air supaya tidak cepat kering. Aziq membantu memastikan bakul-bakul kecil itu sentiasa terisi dengan sayur jualan longgokan seperti limau, cili kecil, kacang bendir dan kacang buncis. Bila suasana sudah lega, aku lihat dia mula merayau-rayau mengelilingi kawasan pasar pagi itu.
Menjelang jam 12, suasana sudah agak lengang. Ada peniaga yang sedang berkemas-kemas menamatkan jualan untuk hari itu. Bila sayur-sayur daun hijau banyak yang dah habis terjual, ayah sudah merasa lega kerana sayuran jenis itu tidak boleh disimpan lama.
Dari pemerhatian aku, kira-kira 80 peratus sayuran yang ayah bawa terjual pada pagi itu. Bakinya hanya sayuran buah yang boleh disimpan untuk jualan akan datang.
"10 minit lagi kita boleh kemas lah Ziela..." kata ayah. Aku merasa senang melihat wajahnya yang berpuas hati dengan jualan hari itu. Aku memanggil Aziq supaya bersedia untuk mengemas.
YOU ARE READING
Empat Belas
Storie d'amoreKisah seorang gadis yang melalui detik kekeliruan di dalam hidupnya. Desakan naluri dan nafsu membelah jiwanya menjadi dua personaliti yang bertentangan yang harus mengharungi hidup dengan konfik jiwa yang sukar. Kemampuannya bertahan teruji setiap...