Nampak si kecil dari tadi berselera makan makanan yang disuap rakan, Puan Khadijah ambil juga sandwich telur. Tangannya melambai-lambai, mulut memanggil nama cucu.
"Emir, sini, dekat nenek. Sini, sini. Nenek suapkan."
Terkebil-kebil Emir bergerak dari hujung meja ke Puan Khadijah. Baru aja nak disuap lagi, terkejut dia bila Emir seakan menjeluak. Tergesa-gesa dia kosongkan tangan, tapak tangan menadah pada bahagian mulut si kecil.
"Mir anyak...Mir ni...." Bersungut si kecil, tangannya mula menggosok kelopak mata.
Tumpuannya tidak lagi tersangkut pada perbualan rakan-rakan. Puan Khadijah pangku si kecil, diusap pipi cucu yang kemerahan. "Kenapa ni, sayang. Jangan gosok mata."
Cawan berisi air masak pula dihulur. Menggeleng kepala Emir, genggaman tangannya menolak tawaran dari wanita itu.
"Mir anyak..."
"Emir, tengok atuk jumpa apa." Puas Encik Ilham selongkar bahagian belakang rumah untuk bawa keluar basikal bayi milik salah seorang ahli keluarga jauh. Nak duduk sekali dengan tetamu, dia tak biasa pula berborak dengan yang lain. Tujuan dia hanya hendak mengajar Emir menunggang basikal berdua di kawasan luar rumah.
"Bang, muka Emir merah," adu Puan Khadijah.
"Ha? Kenapa?" Tergantung soalan Encik Ilham bila tiada yang menjawab. Dia terus masuk ke rumah untuk ambil cucu daripada isteri. Wajah Emir dibelek-belek. Emir terus menerus menekap tangan tembamnya pada pipi.
Tersangkut tawa Amsyar dan Haura bila dengar tangisan si kecil. Amsyar terus letak pinggan yang terakhir dibasuh pada rak pinggan sebelum mengesat tangannya pada tuala tangan.
"Emir nak susu lah tu. Haura pergi tengok dia sekejap tau!" Langkah disusun Haura terlebih dahulu, senyumannya masih melekat di wajah.
"Come here, sayang." Haura hulur tangan, si kecil diambil dari mentua. Bertaut keningnya bila dia perasan kulit pada bahagian leher Emir yang mula timbul kesan seakan digigit nyamuk.
Amsyar turut datang ke ruang tamu. Dia nampak Puan Khadijah yang turut sama gelisah. "Kenapa dengan Emir, ma?"
"Mama tak tahulah... Tadi dia elok je." Puan Khadijah toleh pada rakan, sandwich telur di tangan Cik Yang kini hanya tinggal suku.
Timbul rasa cuak bila Haura nampak cebisan makanan dalam mulut Emir. Semakin lebat tangisan Emir bila Haura masukkan jari ke dalam mulut untuk menguis keluar cebisan tersebut. "Mama bagi Emir makan apa?"
"Tak bagi makan apa pun. Sandwich tu je yang dia makan."
"Haura dah cakap dekat mama jangan bagi dia makan apa-apa!" Terang-terangan Haura nampak tersinggung. Si kecil yang menangis didakap erat.
"Emir— sini, sayang." Amsyar ambil Emir dari isteri, lengannya menahan tangan si kecil daripada menepis. Sisa makanan yang masih ada dalam mulut Emir dikuis sekilas.
Terkelu Haura bila dia kenal pasti makanan tersebut, matanya mendarat tepat pada Puan Khadijah. "Mama bagi Emir makan telur? Ma, Emir allergic! Daripada hari tu lagi Haura dah pesan, Emir allergic! Emir allergic! Kenapa mama susah sangat nak faham!"
Tergamam Puan Khadijah, dipandang pula rakan-rakan yang lain. Segan bila dia diherdik menantu.
"Bukan...bukan mama yang bagi."
"Tak kisahlah siapa yang bagi! Haura dah pesan jangan bagi dia makan!"
Kali terakhir dia beri Emir makan telur, kulit Emir juga kemerahan cuma tidaklah seteruk ini. Hanya beberapa jam sahaja diambil untuk kesan alergi itu menyurut.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku (S2)
RomanceKehidupan Amsyar Dizhwar dan Haura Mikayla semakin penuh dengan kemanisan selepas hadirnya cahaya mata pertama, Emir Raees. Namun bagi Haura, masih ada beberapa perkara yang diidamkan dalam hidup. Walaupun dikurniakan suami yang memahami, tanggapan...