Pinggan mangkuk telah dicuci, baju yang akan dipakai esok juga telah digosok. Setiap perkara yang tersenarai dalam kertas memorinya sudah ditanda. Barang-barang keperluan untuk Emir bawa ke taska juga telah siap disusun.
Dan yang paling penting, Emir dah lelap.
Dapatlah berdua dengan suami!
Cahaya daripada skrin televisyen menyorot pada wajah Amsyar dan Haura. Ruangan di sofa masih lagi lapang tapi kaki yang menjulur itu tetap juga direhatkan atas paha Amsyar. Sambil anak mata Amsyar mengekori gerakan bola yang disepak para pemain, tangannya ligat menekan buku jari pada tapak kaki sang isteri. Haura pula leka dengan telefon sambil mulutnya mengunyah keropok.
"Oh! Abang nak tengok tak video Emir yang cikgu dia bagi dekat Haura?" Belum buka lagi video, dia dah mengekek. Badannya kekal di posisi, hanya telefon sahaja yang dihulur.
Amsyar tekan butang pada skrin. Video si kecil sedang menikmati makanan bersama rakan semeja diteliti. Setiap kanak-kanak dipakaikan bib bagi mengelakkan makanan terkena pada baju. Sementara yang lain mulai menjamu selera, Emir pula sibuk memberi isi bekal pada rakan-rakan. Sampai satu tahap, guru yang bertugas terpaksa masuk campur. Kedengaran suara Emir membidas, berulang kali mulut kecil itu menyebut perkataan kongsi.
Haura yang sudah melihat video tersebut buat beberapa kali masih lagi ikut mengekek bila lihat Amsyar melepaskan tawa.
"Sibuk betul dia nak berkongsi." Tawa Amsyar masih bersisa.
"Comel kan?" Haura tolak badannya bangun, lengan suami dipaut erat. "Haura selalu ajar dia untuk kongsi rezeki tapi tak sangka pula dia nak kongsi semua benda."
"Nanti dua minggu dia tak ada, kawan-kawan mesti rindu dia." Amsyar gelung tangannya pada pinggang isteri, menarik wanita itu lebih rapat.
"Dua minggu Haura tak ada, abang pun mesti rindu Haura, kan?" Senyuman kecil terukir di wajah, dia lentokkan kepala pada bahu suami.
"Haura pun mesti rindu abang, kan?" soal Amsyar semula.
"Mestilah! Abang jangan tak datang pula waktu call day Haura!"
"Insya Allah. Abang dah minta perlepasan untuk hari tu. Harap-harap tak ada pertukaran waktu hari kejadian. Abang mana boleh terlepas tengok si cengeng ni jadi peguam secara rasmi. Pejam celik, dah sembilan bulan Haura mula chambering. Sekejap je rasa, sayang. Betul tak?" Ulas bibirnya dibiarkan pada kepala isteri. Rasa macam baru semalam dia bincang dengan Aniq soal ini.
"Semua sebab abang. Sebab abang, Haura berani untuk mula kerja semula, berani untuk kejar balik cita-cita Haura walaupun Haura rasa Haura dah terlambat. Kawan sekelas Haura...Aina semua dah lama kerja sebagai peguam. Haura je yang masih menunggu call day Haura." Haura herotkan bibir, pandangannya jatuh ke paha. "Haura tahu, abang selalu ingatkan Haura yang setiap orang ada garis masa kita sendiri. Setiap orang, Allah dah atur jalan hidup kita. Tapi susah untuk Haura buang rasa ketinggalan bila Haura tengok orang lain dah kerja, dah ada itu, dah ada ini. Tapi bila Haura fikir balik...orang lain dah kerja, tengah menunggu rezeki anak. Ada yang tengah jaga ibu bapa, tengah menunggu rezeki untuk sambung belajar. Nikmat Allah tu hadir dalam pelbagai bentuk."
"Masuk umur 20-an, 30-an ni...abang rasa bukan Haura seorang, sayang. Ramai lagi orang dekat luar sana rasa...keliru. Rasa macam kita tak tahu ke mana hala tuju kita. Bila tengok orang lain dengan hidup masing-masing, kita nampak macam mudahnya perjalanan diaorang. Kenapa perjalanan aku rumit? Bila kita berjaya capai sesuatu dalam hidup, kita pandang kiri kanan, kita tengok orang lain punya kejayaan berkali ganda lebih besar...serta merta apa yang kita rasa besar tadi jadi kecil." Amsyar cantumkan tangan dia dan isteri. "Waktu kecil, kita tak rasa terkejar-kejar sebab semua orang lalui benda yang sama. Pergi sekolah, balik sekolah. Bila habis sekolah, barulah masing-masing masuk ke dunia luar, mula dengan hidup sendiri. Waktu tu, barulah kita nampak. Orang ni, habis sekolah terus kerja. Yang itu, habis sekolah, belajar luar negara, yang ini buka bisnes, yang sana kahwin. Kita berlumba dengan diri kita sendiri. Habis sekolah, kita pass baton pada diri kita yang remaja untuk sambung larian. Habis zaman remaja, zaman dewasa pula. Penat, rehat. Sambung balik. Jangan banding diri kita dengan orang lain. Haura rasa, diri Haura waktu zaman remaja dulu bangga tak dengan Haura yang sekarang?"

YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku (S2)
Roman d'amourKehidupan Amsyar Dizhwar dan Haura Mikayla semakin penuh dengan kemanisan selepas hadirnya cahaya mata pertama, Emir Raees. Namun bagi Haura, masih ada beberapa perkara yang diidamkan dalam hidup. Walaupun dikurniakan suami yang memahami, tanggapan...