Riuh keadaan sekeliling dengan terikan daripada para penjual. Dari awal lagi Haura ada minta izin nak ke bazar tapi untuk Amsyar biarkan Haura dan Emir keluar berdua, dia yang tak senang duduk jadi memandangkan kerjanya habis tengahari tadi, isteri dan anak terus dibawa ke bazar berdekatan dengan kuarters.
Tangan kanan mendukung si kecil, tangan kirinya pula memaut erat tangan isteri. Toleh ke sisi, Amsyar lihat kepala Haura bergerak-gerak, anak mata mengimbas setiap gerai jualan di bahagian kiri dan kanan bahu jalan.
Pergi dengan Aniq, awal-awal lagi mereka dah ada kata putus. Kepala dah disemat dengan makanan apa yang patut dibeli. Bila sampai di bazar, hanya cari makanan yang ada dalam senarai, tambah dengan beberapa jenis makanan yang diidam, selesai. Terus boleh gerak balik.
Pergi dengan Haura, lain pula jadinya. Dia diajak berjalan dahulu sehingga ke hujung bazar. Patah balik, barulah boleh mula membeli. Wajib bagi Haura untuk lihat setiap gerai yang ada baru boleh buat keputusan.
Sentuh sahaja tapak kasut LIEWOOD ke tanah, Emir angkat kepalan tangannya tinggi. Amsyar dan Haura ketawa kecil. Sejak dapat kaki, sibuk nak berjalan. Nak dibiarkan berjalan dari awal, bazar ramadan ini sesak dengan orang ramai. Tak sesuai pula nak biar Emir terkedek-kedek di antara kumpulan manusia yang mengejar masa.
Jika mereka berhenti di salah satu gerai, barulah Amsyar turunkan Emir. Itu pun hanya untuk beberapa minit sahaja.
"Yesh!" ujar Emir. Tangannya menepuk kuat. "Tank adda!"
Haura betulkan abah-abah pada badan si kecil yang bersambungan dengan tali keselamatan di pergelangan tangan Amsyar. Dia berdiri di belakang Emir supaya tidak menghalang laluan pembeli yang lain.
"Terima kasih, kak." Wang kertas yang dihulur Amsyar diganti dengan plastik berisi ayam gunting. Dari tepi mata, dia nampak tangan Emir kembang kucup.
"Mir wan! Here, here!"
Dah berjalan, nak pegang pula makanan. Bukan tak nak bagi tapi apa sahaja yang dipegang Emir akan menyeret tanah.
Nampak Amsyar menggeleng, Emir mula mencebik bibir. Haura melepaskan tawa.
"Bagilah Emir pegang, abang. Kesian dia. Kan? Kesian budak comel ni."
"Shian Mir..." Dengan bibir yang menjuih, Emir tepuk dadanya sendiri. Tangan kiri masih menjulur.
Tak cukup dengan wajah sedih Emir. Tambah pula dengan wajah si isteri. Amsyar akur juga. Dia masukkan tangan si kecil di antara lubang pemegang pada plastik makanan.
Haura toleh pada jam di pergelangan tangan. Sedar tak sedar, kurang dari satu jam lagi masuk waktu berbuka puasa.
"Kita dah kena balik ni! Haura nak panaskan lauk lagi."
"Jom, Emir—"
"Anyak!" Emir tarik tangannya daripada dipaut Amsyar. Ditepuk pula kakinya sendiri. "Mir oyeh walk!"
"Okey, okey. Emir ikut mommy. Kita jalan dekat situ." Enggan meleretkan keadaan, mereka hala ke bahagian luar bazar menuju ke ruangan parkir kereta.
Dalam masa yang sama, telefon Amsyar berbunyi. Mata Haura mengikut tangan suami yang memancing keluar telefon dari poket seluar. Nama pada skrin dibelek Amsyar sebelum dia tekan butang silent pada telefon.
Haura jongket kening. "Siapa tu?"
"Tak ada siapa, sayang."
Semakin berkerut kening Haura. "Tak ada siapa tu... siapa?"
"Tak ada siapa—" Terhenti langkah Amsyar bila tali keselamatannya tertarik. Tumpuan Haura dan Amsyar beralih pada Emir. Kelam-kabut masing-masing bila Emir hulur plastik makanan pada salah seorang lelaki berjubah yang sedang mengutip sumbangan untuk pembinaan masjid.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku (S2)
RomanceKehidupan Amsyar Dizhwar dan Haura Mikayla semakin penuh dengan kemanisan selepas hadirnya cahaya mata pertama, Emir Raees. Namun bagi Haura, masih ada beberapa perkara yang diidamkan dalam hidup. Walaupun dikurniakan suami yang memahami, tanggapan...